Showing posts with label Ibadat Islam. Show all posts
Showing posts with label Ibadat Islam. Show all posts

Monday, November 19, 2012

Doa Solat Tasbih



اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ تَوْفِيْقَ أَهْلِ الْهُدَى وَأَعْمَالَ أَهْلِ الْيَقِيْنَ وَمُنَاصَحَةَ أَهْلِ التَّوْبَةِ وَعَزْمَ أَهْلِ الصَّبْرِ وَوَجَلَ أَهْلِ الْخَشْيَةِ وَطَلَبَ أَهْلِ الرَّعْبَةِ وَتَعَبُّدَ أَهْلِ الْوَرَعِ وَعِرْفَانَ أَهْلِ الْعِلْمِ حَتَّى نَخَافَكَ .

اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مَخَافَةًَ تُحْجِزُنَا عَنْ مَعَاصِيْكَ حَتىَّ نَعْمَلَ بِطَاعَتِكَ عَمَلاً نَسْتَحِقُّ بِهِ رِضَاكَ وَحَتَّى نُنَاصِحَكَ فِيْ التَّوْبَةِ وَخَوْفًا مِنْكَ حَتَّى نُخْلِصَ لَكَ النَّصِيْحَةَ وَحَتَى نَتَوَكَّلَ عَلَيْكَ فِيْ اْلأُمُوْرِ كُلِّهَا وَحَتَّى نُحْسِنَ الظَّنِّ بِكَ ، سُبْحَانَ خَالِقِ النُّوْرِ.

Ya Allah, ya Tuhan kami,  kami memohon taufik daripada-Mu sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk 
Dan jadikan amalan kami ini seperti mana amalan ahli yakin 
Dan jadikanlah kami dari golongan orang yang menerima nasihat 
orang-orang yang bertaubat 
Dan keazaman kami seperti mana orang-orang yang sabar 
Dan gementar kami seperti mana orang-orang yang takut 
Dan kami memohon seperti mana permohonan orang yang suka kepada kebaikan 
Dan beribadat seperti orang-orang yang warak 
Dan jadikanlah pengetahuan kami ini sebagai ahli-ahli yang berilmu
 sehingga kami termasuk ke dalam orang yang takut kepada Engkau.

Ya Allah, kami memohon kepada-Mu, 
Jadikan kami golongan yang takut yang menghalang kami daripada melakukan maksiat sehinggalah kami beramal dengan taat kepada-Mu
 amalan yang kami merasakan perlu mendapat keredhaan-Mu 
Dan juga sehingga kami bersungguh-sungguh pada bertaubat serta takut kepada-Mu 
Dan juga sehingga kami betul-betul ikhlas dan tawakal kepada-Mu dalam setiap perkara Dan supaya kami menjadi orang yang baik sangka terhadap Engkau,
 Maha Suci Engkau sebagai Pencipta.


Sunday, May 6, 2012

Solat Secara Duduk




Menyentuh soal tajuk di atas, sebenarnya masih terlalu banyak yang saya belum tahu pasti...Itulah sekarang ni, saya dok sibuk cari info tentang kaedahnya. Kalau solat secara baring tu tak ada masalah sangat...sudah pasti lah orang yang mengerjakannya sudah tidak boleh bangun, atau tidak boleh duduk apalagi berdiri. Masalahnya sekarang bagi orang yang masih boleh bangun dan berjalan tetapi ada maslah sendi lutut tak boleh bengkok dan sebagainya.Dari sembang-sembang dengan beberapa rakan, rupanya ramai juga antara kita yang belum betul2 faham tentang solat yang sempurna dan diterima, khususnya tentang mereka yang solat duduk atas kerusi, alasan sakit sendi, sakit belakang, sakit kaki atau apa sajalah..yang menyakitkan kalau berdiri lama, tak boleh  rukuk, sujud dan sebagainya..

Menurut seorang Ustaz, ramai yang mampu jalan kaki, mampu naik tangga, mampu melangkah, mampu berdiri, tapi bila nak solat, duduk atas kerusi dan angkat takbir...itu menyebabkan solat tidak sah...kerana mampu angkat takbir berdiri, tapi tidak melakukannya...elok je jalan tak pakai kerusi roda, elok je naik tangga, elok je melangkah walaupun slow, elok je berdiri, tapi time nak solat, terus duduk atas kerusi dan angkat takbir ketika duduk, itu menyebabkan solat tersebut menjadi TIDAK SAH...

Apa yang perlu dibuat adalah, berdiri dulu, angkat takbir sambil berdiri, habiskan bacaan, pastu time rukuk, bolehla duduk atas kerusi, tunduk lah sikit, lepas tu time sujud, tunduk lebih dari tunduk rukuk tadi...dan kalau boleh berdiri, bangunlah semula dan baca fatihah...tapi kalau bangun tu buatkan jatuh, tak payahlah bangun...cuma time angkat takbir tu pastikan berdiri...kerana apa? kerana tadi masuk masjid elok je jalan, naik tangga semua..cuma sakit ketika rukuk dan sujud..maka dibolehkan duduk ketika rukuk dan sujud saja..ini tidak..mampu berdiri tapi terus duduk dari awal sampai akhir..pasal itu solat tidak sah..

Baru2 ini pun saya ada perhati sorang jemaah kat sebuah masjid, yang saya singgah nak solat Asar ..dia jalan masuk dalam masjid menggunakan tongkat yang siap ada kerusi tu..dia buka tongkat tu, jadi kerusi...dia berdiri tegak, angkat takbir, saya ingat dia nak duduk terus lepas takbir...rupanya dia habiskan al fatihah dulu..time rukuk baru dia duduk kat kerusi sambil tunduk badan sikit, time sujud dia tunduk juga...ingatkan dah lepas, rupanya dia kembali berdiri lepas tu dan baca fatihah sampai habis, time rukuk  baru dia duduk..saya tengok macam orang jakun je..itu pertama kali saya perasan orang buat begitu..sebelum ni biasanya saya tengok orang naik tangga masjid, tongkat pun tak ade..jalan hinjut2 sikit...pastu cari kerusi terus duduk dan angkat takbir ketika duduk...rupanya itu menyebabkan solat tidak sah...kerana mampu berdiri..bukan sejam pun angkat takbir tu...3 saat je kot..kalau tak tahan berdiri lama sangat, baru buleh duduk, tapi pastikan takbir tu ketika berdiri..melainkan dari awal lagi memang dah tak boleh berdiri..

Sebelum saya terlupa, ini untuk solat fardhu je tau, kalau solat sunat, ikut lah nak duduk ke baring ke walaupun sihat..bagi solat sunat, duduk tu separuh pahala dari berdiri, baring separuh dari duduk...kerana kita mampu berdiri, tapi kerana malas sangat..kita solat sambil baring je..penuh perut ketika berbuka, terawih sambil baring..ianya sah..cuma pahala kurang...

Ada banyak lagi info solat ni..yang mana orang tak mau ambil tahu, itu pasal solat tak pernah tinggal tapi masih buat dosa besar dan buat maksiat...rupa2nya kalau diselidik, solat tidak sempurna, tomakninah tak ada, bacaan tak betul ....ilmu solat ni fardhu ain..wajib kita belajar, itu pasal kalau solat tak sempurna, kita solat pun masih berdosa, kerana solat tak betul dan kita tak mahu betulkan, atau tanya pakar, solat kita ni dah sempurna ke? 

Saya sendiri pun mesti banyak mencari ilmu tentang solat lagi...banyak lagi yang saya sendiri belum tahu...mdah-mudahan Allah berikan taufiq dan hidayahNya...kearah menyempurnakan solat...takut rasanya...solat tidak diterima Allah... 

Tuesday, November 1, 2011

Kesempurnaan Solat...

"Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku adalah keranaMu ya Allah Tuhan sekelian alam." Sekian lama kata-kata itu terucap dibibir sekian ramai umat Islam...tetapi sedarkah kita, betapa beratnya 'memikul' tanggungjawab 'perjanjian' itu dengan yang Berhak...Jika diimbaukan kembali, terasa amat kerdil dan hinanya diri kita yang seringkali melafazkan kata-kata janji tersebut tetapi dalam pada itu seringkali juga 'lalai' dalam menyempurnakannya dalam erti kata sebenar....atau mengaplikasikan sebagai satu bukti atau simbol tentang sejauhmana pengabdian kita kepada Allah. Bahkan setiapkali ketika kita berdiri untuk memperbaharui ikrar kita kepada Pencipta kita sekalipun, kita masih 'lalai' atau 'gagal' untuk menghadirkan hati batin kita sepenuhnya...Astaghfirullah....

Menyedari kenaifan dan kehinaan diri...maka amat terasa sekali akan kesuntukan waktu untuk menjadi yang terbaik di 'mata' Allah...Namun kehambatan masa sebegini, jangan dibiarkan diri terus hanyut dan leka dengan kehidupan dunia....Masa tidak menoleh ke belakang lagi...manusia tidak mungkin akan menjadi muda kembali...dan ia akan lebih cepat berlalu seandainya kita mensia-siakannya....Astaghfirullah...

Merenung dan menginsafi tentang kewajipan Solat yang difardukan ke atas umat Islam yang menjadi satu-satunya alat pengukur kepada keseluruhan kebajikan yang manusia lakukan...terasa amat TAKUT untuk menghadapi majlis 'bertemu' Allah nantinya...maka usaha untuk memperbaiki kesempurnaannya harus dilakukan sedikit demi sedikit...Sebenarnya terlalu besar bezanya antara SAH SOLAT dengan SOLAT SEMPURNA...Astaghfirullah...

Rata-rata solat yang dikerjakan oleh kita adalah sah dari segi syarat-syaratnya...namun adakah kita pasti solat yang kita tunaikan itu sempurna dan benar-benar diterima oleh Allah? Umar bin al-Khattab r.a pernah berkata: "Adakalanya seorang Muslim mencapai usia lanjut hingga janggutnya beruban, namun solatnya tidak ada yang sempurna untuk Allah S.W.T. Kemudian ada orang bertanya: "Apa sebab solat orang itu tidak sempurna?. Umar menjawab :"Kerana ia tidak menyempurnakan khusyuk dan tawadhuknya serta tidak pula menghadapkan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T...

Terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Saidina Abu Bakar r.a. ketika berdiri mengerjakan solatnya laksana patung, manakala Ibnu Zubair bagaikan sebatang pokok. Dan terdapat juga ahli ibadah yang sangat tenang ketika rukuknya sehingga burung hinggap di atasnya kerana menyangka benda 'mati'. Demikianlah contoh-contoh orang yang khusyuk dalam solatnya. Bagaimana dengan kita? Hal yang sedemikianlah yang kita TAKUTkan...Takut kalau-kalau solat tidak sempurna...bahkan tidak diterima oleh Allah s.w.t. Nauzubillahi min zalik.... Astaghfirullah...

Justeru, marilah sama-sama kita berusaha ke arah KESEMPURNAAN SOLAT.

Kita barangkali sering mendengar atau membaca tentang bagaimana mendapat solat yang sempurna. Solat yang sempurna bermula daripada bersuci yang sempurna. maksud bersuci ini sangat luas jika hendak di bincangkan secara terperinci. Untuk perbincangan yang serba ringkas ini, cukuplah rasanya diutarakan tentang konsep bersuci seperti istinjak, mandi wajib, suci daripada najis dan berwudhuk. Untuk mendapat solat yang sempurna maka ke semua konsep bersuci mesti dijaga dengan sempurna bagi menjamin SAH SOLAT. Bertitik tolak dari situlah, kesempurnaan dalam solat akan tercapai.

Rentetan dari cita-cita untuk mencapai solat yang sempurna marilah sama-sama kita hayati maksud firman Allah s.w.t yang berbunyi: "orang-orang yang LALAI dalam solat" : Surah al-Maaun : ayat 5.

Hassan al-Basri berpendapat, firman Allah s.w.t tersebut membawa maksud " orang yang lalai waktu solatnya hingga hampir habis waktu." Ada pula sebahagian pendapat yang lain menyatakan maksudnya ialah " Orang yang bila solatnya di awal waktu ia tidak merasa senang dan bila solatnya di akhir waktu ia tidak merasa sedih. Bahkan ia tidak menganggap menyegerakan solat sebagai suatu kebaikan dan tidak pula menganggap penundaannya sebagai suatu dosa." Justeru, latihlah diri dan hati batin untuk mempunyai niat atau keazaman untuk sentiasa solat di awal waktu dan menyedari keburukan solat di akhir waktu atau yang terlebih baiknya elakkan diri dari terbiasa dengan tabiat solat di akhir waktu...Mudah-mudahan solat diterima...Amin.

Dan alangkah indahnya iman seandainya kita dapat menyahut panggilan azan dengan menghadirkan ke dalam hati keDAHSYATan panggilan Hari Kiamat. Lantaran itu, maka kita akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi panggilan tersebut secepat mungkin. Ingatlah bahawa orang-orang yang cepat menyahut seruan azan itu kelak, pada Hari Mahsyar, Hari kebangkitan Akbar maka dia akan dipanggil dengan suara yang lemah lembut...Oleh itu, perhatikanlah bagaimana hati kita menyahut panggilan azan....dan bersegeralah untuk mengerjakan solat untuk mencapai kesempurnaan dalam mengerjakannya...Astaghfirullah...

Imam al-Ghazali berkata, ketika mula berdiri untuk menunaikan solat, hendaklah kita ingat (sebagai peringatan) tentang betapa dahsyatnya saat-saat berdiri di hadapan Allah s.w.t. pada Hari Akhirat. Jika kita boleh berdiri tegak, sopan dan penuh penghormatan bila berdiri di hadapan pemimpin atau raja...apatah lagi berdiri menghadap Allah s.w.t. Kita juga mungkin boleh membayangkan sedang berdiri untuk suatu sesi 'soal jawab' di hadapan Allah s.w.t. Untuk itu sudah tentu kita berdiri dalam keadaan TAKUT . Dan dalam erti kata lain takut ketika solat ialah KHUSYUK .

Jika direnung dengan mata hati, sebenarnya Khusyuk akan terhasil sekiranya orang itu solat dengan penyertaan hati batin.Apakah maksud penyertaan hati batin? Menurut Imam al-Ghazali lagi, solat ialah suatu ibadat yang penuh dengan kata-kata doa dan munajat serta zikir-zikir pujian terhadap Allah s.w.t. Oleh yang demikian ketika bersolat, seseorang itu bukan sahaja melakukan rukun-rukun af'al mahupun rukun qauli...tetapi memerlukan juga kesedaran hati (Qalbi) agar sentiasa sedar dan ingat bahawa Allah melihat gerak geri hambaNya. Kita juga hendaklah sentiasa sedar tentang keagungan Allah serta sedar juga tentang kekurangan diri sebagai hamba Allah dalam melaksanakan perintahNya (solat). Bermula dengan kesedaran tersebut maka akan timbullah perasaan khusyuk di dalam solat bahkan di luar solat....Astaghfirullah...

Ringkasnya, untuk mencapai Kesempurnaan Solat, ada beberapa perkara yang perlu dijaga, iaitu menjaga syarat-syarat SAH SOLAT, menjaga WAKTU SOLAT dan berusaha untuk KHUSYUK SOLAT...Selebihnya berdoa dan menyerahkan segala urusan kepada Allah s.w.t. Mudah-mudahan SOLAT SEMPURNA dan diterima Allah s.w.t. Amin...ya Rabbal Alamin....

Tulisan ini bukanlah tulisan yang terbaik untuk dijadikan sebagai rujukan untuk usaha mencari cara-cara ke arah kesempurnaan solat, tetapi ia lebih kepada membuka minda dan mencuit hati tentang kemungkinan ada kekurangan dalam solat kita seharian... Seperkara yang perlu kita ingat, sekiranya kita menganggap solat kita sudah sempurna tanpa sebarang kekurangan, yang sebenarnya adalah sebaliknya....tetapi selagi kita mahu mencari kesempurnaan solat, maka kita akan menemui dan merasai masih terlalu banyak solat kita yang kurang sempurna...Ilmu tentang solat perlu digali dan dicari sehingga ke akhir hayat. Solat kita perlu diperbaiki dari semasa ke semasa demi mencapai KESEMPURNAAN yang sebenar dan apa yang penting diTERIMA ALLAH...Orang yang sentiasa memperbaiki diri dalam ibadatnya demi mencari keredhaan Allah s.w.t adalah orang yang diberikan Taufik dan Hidayah olehNya, kerana Hidayah Allah s.w.t adalah hanya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Harapan kita Allah s.w.t meredhai usaha kita dan menerima segala ibadat kita.

"Rabbana taqabbal minna solatana tammah...waj 'allana muqimassolah da iman abada." Amin.


Thursday, September 8, 2011

Carilah kemanisan dalam beribadat...

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Solat itu tiang agama (sesiapa mendirikannya bererti dia mendirikan agama, dan sesiapa yang meninggalkannya bererti dia meruntuhkannya) – Riwayat al-Dailami

Untuk mendapatkan khusyuk dalam solat, kita perlu:

1. Sentiasa melaksanakan solat berjemaah (yang afdalnya di masjid)
2. Menjaga makanan dan minuman agar terjamin halalnya.
3. Membanyakkan sedekah kepada fakir miskin.
4. Jangan bersolat dengan menangguh untuk membuang air besar atau air kecil.
5. Memahami segala bacaan dalam solat.
6. Membaca surah al-Nas, selawat dan istighfar sebelum mengangkat takbir.
7. Mengingati mati dan membayangkan bahawa itulah solat yang terakhir.

Monday, May 2, 2011

Indahnya Dhuha...

Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fekah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan makin panas sinarannya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.

Cara melaksanakannya

Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.

Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.

Doa yang disarankan

“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”


Kepada orang yang tidak menghafal surah-surah yang disarankan iaitu surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. Bacaan solat boleh dibaca apa-apa surah yang penting niat kita adalah IKHLAS untuk Allah SWT, bukan kerana berkehendakkan harta dan rezeki yang banyak tetapi salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah…

Kita rujuk kepada Hadith Qudsi yang mengatakan, Firman Allah, “ Wahai anak-anak adam (sebut-sebutkan) zikirkan akan AKU selepas sembahyang subuh barang sekejap dan selepas sembahyang asar barang sekejap, maka AKU cukupkan engkau apa yang ada diantara dua waktu tersebut maka apabila naik matahari sembahyang dhuha sebanyak lapan rakaat”

Pada rakaat pertama bacalah ayatul kursi kerana ayutul kursi terlalu banyak keistimewaannya, semasa surah itu diturunkan beribu-ribu malaikat sebagai perantaranya. Didalamnya juga terkandung KURSI (kerajaan) ALLAH yang sangat besar meliputi 7 lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadish yang menerangkan akan fadhilat ayutul kursi.

Rakaat kedua bacalah surah Al-Ikhlas sebab surah Al-Ikhlas merupakan 1/3 dari Al-Quran. Surah yang cukup besar maknanya sebab mengandungi sifat-sifat Allah yang Esa dan siapa Allah yang sebenar iaitu yang tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNYA. Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.

Berkenaan doa… boleh baca doa mana-mana yang berkaitan tetapi lebih afdal baca doa solat dhuha yang khusus… doa itu sememangnya cukup baik dan sempurna untuk memohon keberkatan rezeki dari ilahi… Manakala bilangan rakaat pula adalah mengikut kemampuan. Bila masa terhad dengan kerja seharian boleh dilakukan dengan 2 rakaat dan bila waktu cuti lakukanlah dua-dua rakaat sehingga 4, 6 atau 8 rakaat dan boleh sehingga 12 rakaat. semua mengikut kemampuan… Amal yang sedikit dan istiqamah (berterusan) adalah lebih baik dari amal yang banyak tetapi jarang-jarang… fikir-fikirkan… semoga dengan membudayakan solat dhuha, kita akan lebih disayangi oleh Allah SWT dan sentiasa didalam naunganNYA..


Ibadat...pengabdian diri kepada Pencipta.

Tuesday, August 10, 2010

Selamat Berpuasa...


Sudahkah anda bersedia untuk berpuasa? Sudahkah anak-anak dan keluarga anda telah bersedia untuk berpuasa? Eh! nak berpuasapun kena bersedia ke?

Sebenarnya persediaan untuk melaksanakan ibadat puasa memang perlu. Kita sememangnya memerlukan persediaan fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadat puasa bagi menjamin kesempurnaan ibadatnya.

Malangnya, ramai yang merasakan mereka sudah 'mahir' dalam ilmu puasa. Ya lah telah banyak kali Ramadhan dilalui mereka. Perlukah kita terus belajar tentang ilmu puasa lagi? Jawapannya, ya, memang perlu dan sangat-sangat perlu. Galilah ilmu tentang amalan berpuasa yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW setiap saat baginda melalui Ramadhan. Kalaupun kita tidak mampu mengikuti Sunnahnya 100% tetapi cukuplah kalau puasa yang bakal dijalani nantinya menjanjikan sedikit peningkatan daripada puasa pada Ramadhan yang lalu. Sesungguhnya itulah orang yang akan beroleh kejayaan. Susunlah jadual untuk menghidupkan amal ibadat di bulan yang penuh keberkatan ini. Rebutlah peluang yang hanya datang sekali dalam setahun ini. Rancanglah 'program ihya' Ramadhan' untuk diri dan keluarga.

Alangkah amat menyedihkan jika perancangan untuk menyambut Ramadhan hanya terhad kepada persediaan untuk menyediakan juadah berbuka, bersahur dan persediaan menyambut raya sahaja. Tidak dinafikan sememangnya persediaan berbuka, bersahur dan menyambut raya itu penting sebagai galakan untuk meneruskan ibadat puasa, tetapi janganlah semua itu menjadi satu keutamaannya.

Sebaliknya, tanamkan azam dan buat perancangan apakah yang akan dilakukan bagi memastikan kesempurnaan ibadat puasa. Jangan biarkan Ramadhan kali ini berlalu dengan kelesuan akibat tidak makan dan minum di siang harinya, atau keletihan 'berbuka' di malam harinya.

Justeru, buatlah jadual waktu peribadi. Misalnya aturkan masa khusus untuk membaca al-Quran, tetapkan target ayat atau jumlah juzuk yang hendak dibaca dalam sehari dan patuhilah apa yang dirancang. Demikianlah dengan lain-lain ibadat yang digalakkan seperti solat terawih, zikir dan sedekah. Pastikan setiap saat di bulan Ramadhan dipenuhi dengan zikrillah.

Namun, bagi para ibu dan bapa, jangan lupa untuk melakukan 'aktiviti ihya' Ramadhan' ini bersama-sama anak-anak juga. Satu amalan terpuji yang biasa berlaku di bulan Ramadhan ialah amalan berbuka dan bersahur bersama keluarga. Tetapi jangan terperanjat, ada juga mereka yang gagal berbuat demikian. Adatlah, manusia kan rambut saja sama hitam, tetapi hati lain-lain. Walau bagaimana sekalipun, apa yang kurang baik dalam keluarga perlulah dihindari lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Sebaliknya setiap keluarga perlu merancang untuk melakukan sedikit perubahan atau peningkatan dalam hidup. Dan seandainya jika belum bermula, maka waktu yang tepat untuk melakukan perubahan tersebut ialah sekarang. Usah ditangguh-tangguhkan lagi niat untuk melakukan kebaikan. Ajaklah anak-anak bertadaarus al-Quran, melaksanakan solat sunat terawih bersama-sama. Jadikan ia sebagai satu aktiviti keluarga yang 'wajib' dilakukan.

Alangkah bermaknanya 'berpuasa' jika kita dapat menahan diri bukan sahaja dari makan dan minum di siang harinya tetapi kita juga dapat menahan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak berfaedah seperti menonton telemovie di televisyen, atau berchatting di Facebook. Alangkah berertinya 'puasa' jika 'jadual' peribadi kita dapat diuruskan dengan baik dan bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Bersama-sama kita 'menghidupkan' bulan Ramadhan dengan amalan-amalan 'mendekatkan diri kepada Allah'. Dekati Allah, nescaya Allah akan dekat dengan kita. Cintai Allah, nescaya Allah akan menyinyai kita. Buktikan padaNya, melalui amalan, lisan dan hati kita. Katakanlah yang kita 'menyintaiNya', simpanlah di dalam hati dan pamerkan melalui tindakan kita. Mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa-dosa kita yang telah lalu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuni segala dosanya yang lalu”.( Riwayat al-Nasaie, Ibn majah dan al-Baihaqi)




Monday, July 26, 2010

Malam nisfu Syaaban...

Semalam saya berkesempatan untuk melayari beberapa laman blog yang saya sering ikuti...ya, kebanyakannya post-post terakhir mereka ialah berkaitan dengan bulan Syaaban....memang pun, sekarang ni kan sudah pun pertengahan bulan Syaaban, dan besok 15 Syaaban 1431H. Banyak juga ilmu-ilmu yang saya pelajari mengenai bulan Syaaban ni, terutamanya mengenai amalan-amalan yang sering diamalkan sempena bulan ini.

"Benarkah pada malam nisfu Syaaban, kita mesti baca Yasin sebanyak 3 kali?"saya dihujani soalan daripada pelajar-pelajar sekolah siang tadi. "Mak saya kata, tak baik kalau tidak habiskan bacaan Yasin sampai tiga kali", sambung mereka.

"Wah, hebat benar ilmu mereka...",detik hati saya. "Bagaimana harus saya jawab persoalan yang mereka timbulkan ini", saya berhati-hati untuk menjawab soalan mereka.

Sebenarnya inilah kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat Islam. Mereka suka mengada-adakan sesuatu yang tidak sewajarnya. Baca surah Yasin tak salah. Baca surah apa pun tak salah. Itukan namanya baca al-Quran. Persoalannya benarkah amalan membaca Yasin 3 kali pada malam nisfu Syaaban satu kemestian? Mengapa hanya malam nisfu Syaaban? Mengapa 3 kali? Mengapa Surah Yasin?

Biasanya diadakan majlis bacaan surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti : Pada bacaan Yasin pertama, diniatkan memohon panjang umur. Pada bacaan Yasin kedua, diniatkan memohon dijauhkan bala. Pada bacaan Yasin ketiga, diniatkan memohon murah rezeki yang halal.


Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia melainkan di Malaysia dan sekitar Nusantara. Jika kita lihat di Malaysia ramai orang-orang Melayu kita berebut-rebut memenuhi masjid dan surau semata-mata untuk merebut fadhilat malam Nisfu Syaaban. Saya perhatikan ada disesetengah tempat pada malam Nisfu Syaaban, mereka membaca Surah Yasin dengan begitu pantas sehingga mengabaikan hukum-hukum tajwid. Ini berlaku semata-mata ingin mengejar bilangan 3 kali bacaan.


Sebetulnya kita perlu membaca al-Quraan dengan cara yang betul dan bertepatan dengan bacaan sebagaimana ianya diturunkan oleh Allah Taala. Jadi manakah pilihan terbaik; membaca Yasin 1 kali dengan bertajwid, ataupun membaca surah Yasin sebanyak 3 kali dengan mengabaikan tajwid?
Allah Taala berfirman di dalam Al-Quraan :
“Dan bacalah Al-Quran dengan penuh tartil (bertajwid)”. (QS 73 : 4)


Sebenarnya muslim sejati tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dia menghadap Allah nanti.


Sememangnya terdapat juga himpunan hadis menerangkan keistimewaan Syaaban, kelebihan malam Nisfu Syaaban dan keutamaan amalan tertentu pada bulan itu. Tetapi kebanyakan daripada hadis itu adalah hadis daif menurut pandangan ulama. Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis daif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan seperti hadis ini:

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain].

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi S.A.W.

Sebenarnya, adalah lebih baik kita membaca al-Quran atau membaca Yasin dengan cara yang lebih baik daripada selalunya, seperti membaca al-Quran mengikut hukum tajwid yang betul, atau cuba membaca dan memahami isi maksud surah Yasin termasuk surah-surah yang lain juga. Seperkara lagi, jadikan semua amalan itu menjadi amalan setiap malam, bukannya pada malan nisfu Syaaban sahaja. Sesungguhnya sesuatu yang diamalkan secara berterusan akan menimbulkan 'kelazatan' dalam beribadat. Jadilah umat Islam yang beristiqamah dalam ibadatnya, dan bukannya umat Islam yang 'bermusim' khususnya dalam perkara-perkara yang tidak jelas asal kesahihannya.


Ibadat...pengabdian diri kepada Pencipta.

Wednesday, June 16, 2010

Hidupkan Solat Witir


Salam Ukhuwah. Selawat serta salam buat Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman:
“Katakanlah (Wahai Muhmmad): Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah s.a.w.), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali 'Imraan, 3: 31)

dan firman Allah SWT lagi:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab, 33: 21)

Sejujurnya jika kita mampu memahami dan menghayati kedua-dua maksud firman Allah SWT di atas, ia sudah cukup untuk menggambarkan bahawa kita sebenarnya telah berada di jalan yang benar...tinggal lagi, kita harus mencuba untuk melangkah ke arah yang seterusnya supaya ianya lebih maju dan lebih bermanfaat. Memahami dan menghayati itu bermaksud seseorang itu telah beriman kepada Allah dan RasulNya, tetapi itu saja belum menjadikan seseorang itu benar-benar beriman selagi dia belum beramal, kerana ilmu, iman dan amal adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan untuk menjamin kesempurnaan seorang Muslim yang sejati.

Solat Sunat Witir merupakan salah satu Sunnah Rasulullah SAW dan ia merupakan salah satu solat yang paling disukai baginda.
Abu Hurairah berkata: "Telah berwasiat kepadaku kekasihku SAW dengan tiga perkara: Berpuasa pada setiap bulan tiga hari, solat dhuha dua rakaat dan supaya aku solat witir sebelum aku tidur”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Solat Sunat Witir merupakan solat sunat yang dilakukan selepas solat Isyak dan kebiasaannya dirangkaikan dengan solat Sunat Tarawih. Walau bagaimanapun Solat Sunat Witir ini , sebenarnya menjadi amalan Rasulullah SAW pada setiap malam. dan bukanlah diamalkan hanya di bulan Ramadhan sahaja. ‘Aisyah ra meriwayatkan: "Dari kesemua malam sesungguhnya Rasulullah SAW mengerjakan solat witir iaitu dipermulaan malam, ditengah malamnya dan diakhir malamnya dan (waktu) witir berakhir sampai sahur (terbit fajar)”. (H/R Bukhari, Muslim, Ahmad, )

Bilangan rakaat solat Sunat Witir ialah ganjil iaitu 1, 3, 5, 7, 9 atau 11 rakaat. Biasanya dilaksanakan secara berjemaah dan boleh juga dilakukan secara bersendirian. Marilah kita sama-sama mempelajari cara Solat Sunat Witir sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Pada kebiasaannya, apabila bersolat witir baginda tidak memisahkan antara rakaat kedua dengan rakaat ketiga tetapi ada kalanya baginda melakukannya satu rakaat.‘Aisyah ra meriwayatkat, katanya: "Adalah Rasulullah SAW berwitir tiga rakaat, baginda tidak memisahkan antara rakaat-rakaat tersebut”. (H/R Ahmad)

Walaubagaimanapun menurut Syeikh Nasruddin al-Albani, sanad hadis ini lemah ضعيف “dhaif” kerana Nabi SAW pernah bersabda: “Dan sesiapa yang mahu berwitir satu rakaat, maka lakukanlah”. (H/R Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan Nasaii) .

‘Aisyah ra juga pernah berkata bahawa: Rasulullah SAW pernah solat (tahajjud), iaitu selepas solat ‘Isyak sehingga fajar sebanyak sebelas rakaat, baginda salam setiap dua rakaat dan berwitir dengan satu rakaat”. (H/R Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud, Nasaii dan Ibnu Majah)

"Maka baginda memulakan dengan solat dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat dan kemudian berwitir satu rakaat”. (H/R Bukhari dan Muslim )

Ada kalanya baginda SAW mengerjakan solat witir sembilan rakaat, tujuh rakaat, lima rakaat dengan satu salam. Dan ada kalanya tiga dan pernah juga satu rakaat sebagaimana dijelaskan di dalam hadis-hadis sahih di bawah ini:

“Abi Ayyub berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: Solat witir itu adalah haq. Maka sesiapa yang suka berwitir dengan lima rakaat, maka lakukanlah, sesiapa yang berwitir dengan tiga rakaat maka lakukanlah dan sesiapa yang solat witir dengan satu rakaat maka kerjakanlah”. (H/R Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan Nasaii)

“Ummi Salamah pula meriwayatkan bahawa: Rasulullah SAW pernah solat witir tujuh rakaat dan lima rakaat dengan tidak memisahkan antara rakaat-rakaat tersebut dangan salam atau perkataan”. (H/R Ahmad, Nsaii dan Ibnu Majah)

“Saad bin Hisyam meriwayatkan bahawa sesungguhnya ia pernah bertanya kepada ‘Aisyah: Khabarkanlah kepadaku tentang witirnya Rasulullah SAW: Maka ‘Aisyah berkata: Kami biasa menyediakan untuk baginda gosok gigi dan air wuduknya, maka kemudian Allah akan membangunkan baginda jika Ia kehendaki untuk membangunkannya diwaktu malam. Kemudian baginda bersiwak lalu berwuduk, kemudian solat sembilan rakaat yang baginda tidak duduk (tasyahhud) di rakaat tersebut kecuali di rakaat yang kelapan, maka baginda duduk berzikir kepada Allah dan memujiNya, berdoa kepadaNya, kemudian baginda bangun dan tidak salam, kemudian baginda berdiri melanjutkan solatnya kerakaat yang kesembilan. Kemudian dirakaat yang kesembilan baginda duduk, berzikir, memujiNya dan berdoa (iaitu bertasyahhud), kemudian baginda memberi salam yang benar-benar baginda dengarkan kepada kami. Sesudah salam baginda solat dua rakaat sambil duduk. Maka yang demikian berjumlah sebelas rakaat wahai anakku. Maka setelah Nabi SAW sudah tua dan gemuk, baginda witir tujuh rakaat, baginda tidak duduk tasyahhud, kecuali dirakaat keenam dan ketujuh, dan tidak salam kecuali dirakaat yang ketujuh. Dan baginda lakukan dua rakaat sambil duduk seperti yang ia kerjakan tadi. Maka yang demikian itu semuanya berjumlah sembilan rakaat wahai anakku”. (H/R Muslim 2/169. 179. Abu Daud no 1342. Ahmad dan Nasaii)

Semasa mengerjakan solat Sunat Witir ini juga Rasulullah SAW membaca ayat-ayat dan doa-doa yang tertentu. Ubay bin Ka’ab meriwayatkan: "Sesungguhnya Nabi SAW membaca dalam solat witir (dirakaat pertama): Sabbihisma Rabbikal A’la. Dirakaat kedua: Qul Ya ayyuhul Kafirun. Dirakaat yang ketiga: Qul Huwallahu Ahad”. (H/R Nasaii, Abu Daud, Ahmad dan Ibn Majah)

Dan sekiranya kita khuatir tidak dapat bangkit dari tidur pada malamnya ,solat Sunat Witir boleh juga dikerjakan sebelum tidur . Itulah yang sebaik-baiknya, Jabir ra berkata: "Telah bersabda Rasulullah SAW: " sesiapa yang takut tidak dapat bangun diakhir malam, maka hendaklah ia solat witir pada awal malamnya dan sesiapa yang dapat bangun diakhir malamnya, maka hendaklah ia witir di akhir malamnya kerana sesungguhnya solat diakhir malam itu disaksikan dan yang demikian itu lebih utama”. (H/R Muslim)

Solat yang paling sempurna adalah mencontohi Rasulullah SAW sama ada cara-caranya, wakktunya, bilangan rakaatnya dan bacaannya.Untuk itu sama-samalah kita menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW ini kerana selain daripada menghidupkan sunnah, kita juga melakukan sesuatu yang sangat disukai oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah itu witir (ganjil), dan Dia menyukai witir, maka lazimkanlah solat witir, wahai ahli Al-Quran." HR Abud Dawud dan Tirmizi.



Sekian, Wallahu'alam.


Ibadat...pengabdian diri kepada al-Khaliq


Monday, June 14, 2010

Kelebihan Bulan Rejab

Salam Ukhuwah.

Salam Rejab buat semua. Rejab bulan yang mulia, bulan penuh keberkatan...sebenarnya semua bulan adalah mulia kerana semuanya dibawah pengawasanNya dan pentadbirannya. Namun, kita tidak boleh menafikan keistimewaan yang terdapat pada bulan-bulan tertentu berdasarkan yang pernah diberitahu oleh junjungan mulia Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW; Kamu hendaklah memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah SWT akan memuliakan kamu dengan seribu kemuliaan pada hari kiamat. Sabda baginda lagi, Bulan Rejab, bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.

Kemuliaan Rejab dengan malam Isra' Mikrajnya, bulan Syaaban dengan malam Nisfunya dan bulan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya.

Oleh yang demikian, kita ditunjuk ajarkan oleh Rasulullah SAW sendiri dengan amalan-amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Rejab ini. Antaranya ialah banyakkan berdoa,amalan berpuasa dan juga bersedekah.

Amalan pada Bulan Rejab:

1. Doa pada malam 1 Rejab

Dimulakan dengan malam pertama bulan Rejab, kita digalakkan berdoa pada malamnya dengan doa yang bersungguh-sungguh., kerana malam ini dikatakan malam yang mustajab doanya. Dan pada setiap malam Rejab, banyakkanlah berdoa dan beristighfar (mohon ampun) kerana sesiapa yang berdoa dan memohon ampun sebanyak 70 kali dan 100 kali pagi dan petang pada bulan Rejab maka Allah akan haramkan tubuhnya dari api Neraka

2. Berpuasa

Seterusnya diikuti dengan puasa sunat pada keesokan harinya dan hari-hari seterusnya. Dikatakan bahawa puasa tiap hari pada bulan Rejab dan tiap satu sedekah, menyamai dengan seribu ibadat haji dan umrah.

Sesiapa yang berpuasa di bulan Rejab, maka Allah akan berseru padanya; Telah wajib hakmu ke atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demikianlah ketinggian dan kebesaranKu, tidak akan Ku tolak hajatmu, engkau adalah jiranKu, dibawah arasyKu, engkaulah kekasihKu dari segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu, sukakanlah kamu dan tiada dinding antara engkau dan Aku.

Sebenarnya terlalu banyak pendapat yang menerangkan tentang kelebihan berpuasa di bulan Rejab ini, namun semuanya tidaklah menjadi keutamaan untuk dihuraikan di sini. Cukuplah sekadar sama-sama kita cuba berkongsi tentang apa yang perlu diamalkan dengan ikhlas. Manakala soal ganjaran daripada Allah, kita serahkan saja kepadaNya.

3. Bersedekah

Bagi orang yang mampu berpuasa, maka sangat digalakkan berpuasa. Manakala orang yang tidak mampu berpuasa, maka bersedekahlah setiap hari walaupun sekurang-kurangnya sekeping roti. Sesiapa yang bersedekah seperti bersedekah seribu dinar, akan ditulis kepadanya setiap helai bulu roma yang terdapat dibadannya seribu kebajikan, diangkat seribu darjatnya dan dihapuskan seribu kejahatan. Bersedekah pada bulan Rejab juga dijauhkan daripada api Neraka, kerana Rejab adalah bulan Allah.


Jika pada bulan-bulan sebelumnya kita sudahpun melakukan amalan-amalan tersebut, maka di bulan Rejab ini, kita cuba perhebatkan lagi amalannya. Lakukan sedikit amalan yang luar dari kebiasaan yang kita lakukan. Jika pada bulan-bulan sebelumnya, kita hanya berpuasa 3 hari setiap bulan, maka bermula bulan Rejab, tingkatkanlah kepada berpuasa setiap Isnin dan Khamis. Jika sudahpun membiasakan diri berpuasa pada Isnin dan Khamis pada bulan sebelumnya, maka tingkatkanlah pada bulan Rejab ini kepada sekurang-kurangnya setiap hari ganjil secara berselang-selang harinya, atau cubalah membuat jadual tersendiri yang lebih baik dari bulan sebelumnya.

Demikian juga dengan semangat bersedekah dan juga beristighfar (berzikir). Tingkatkanlah dari semasa ke semasa. Semoga segala amalan yang kita lakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT, benar-benar diterima di sisi Allah SWT. Dan mudah-mudahan kita benar-benar menjadi hambaNya sekaligus kekasihNya. Amin.


(sempena 1 Rejab 1431H / 14 Jun 2010)


Ibadat...pengabdian diri kepada al-Khaliq

Friday, May 21, 2010

Hayya 'ala Solah...




"Marilah mengerjakan solat." Sebenarnya ayat ini hampir setiap hari kugunakan sebagai kata-kata untuk mengajak pelajar-pelajarku mengerjakan solat...Sejak lama dulu lagi kugunakan ayat ini...sejak aku mula bergelar guru...

Rupa-rupanya agak sukar juga untuk menyuruh seseorang mengerjakan solat...Sukarnya itu dapat dilihat dari beberapa sudut; antaranya:
1. Nak ajak mereka ke surau pun liat.
2. Nak pastikan mereka solat betul-betul pun susah.
3. Nak pastikan bacaan solat mereka betul pun bukanlah sesuatu yang mudah.

Pendek cerita, kesusahan yang pertama tadi, boleh di atasi tetapi masalah yang kedua dan ketiga itu teramatlah susahnya. Kadang-kadang, kebanyakan mereka ni tahu solat, tahu bacaan tetapi 'malas' solat, lalu mereka main-main dlam solat. Ataupun terkadang mereka sebenarnya 'tidak tahu' bacaan dalam solat lalu merekapun main-main dalam solat.

Entahlah dimana silapnya...kalau berkenaan dengan bacaan dalam solat, masih lagi boleh diusahakan dengan 'memaksa' mereka menghafaznya dengan pelbagai cara yang boleh dilakukan, tetapi untuk memastikan mereka solat dengan ikhlas?...adalah sesuatu yang 'sukar' kerana biasanya orang solat, mereka semuanya bagaikan 'diam' je...tak tahulah sama ada dia baca ataupun tidak...?

Apapun, tugas kita yang menyuruh mereka ini solat agaknya sudah terlepas daripada 'dakwaan' kut...memandangkan usaha kita telah dijalankan...tinggal saja untuk kita berdoa agar mereka diberi taufik dan hidayah oleh Allah swt.

Kalau nak ikutkan hati...teramatlah sedihnya mengenangkan semua ini...apapun hanya doa kepada Allah swt saja yang mampu mengubat hati dan jiwa ini, mudah-mudahan semua anak bangsa seagama sama-sama diberi Nur Hidayah daripada Allah dalam semua aspek kehidupan...Puas sudah digunakan kaedah memujuk supaya jangan meninggalkan solat, bosan juga dengan cara 'mengancam' dengan ancaman azab neraka....tapi bagaikan ada yang tidak kena dengan mereka ini...seolah-olah tiada sedikitpun rasa gentar atau takut untuk semua itu....Mudah-mudahan Allah membuka pintu hati mereka suatu hari nanti dan mengampunkan segala dosa-dosa yang telah dilakukan....




Ibadat...pengabdian diri kepada al-Khaliq.

Jom Solat Tahajjud...


Ya Allah, bangkitkan aku dari tidurku...untukku sujud kepadaMu...untukku sebut-sebut namaMu tanda cintaku padaMu...kuatkanlah semangatku untuk bangkit dari lenaku...

Marilah kita sama-sama berdoa untuk bangkit menunaikan solat Tahajjud, bermunajat kepada Allah...Sesungguhnya solat tahajjud ini merupakan solat sunat yang paling afdhal untuk diamalkan. Solat Tahajjud adalah solat sunat yang sering disebutkan dalam al-Quran. Allah swt seringkali menyeru hambanya untuk bangkit pada waktu malam...

Firman Allah swt dalam Surah al-muzammil : 6-7 yang bermaksud;
"Sesungguhnya, bangun pada waktu malam adalah lebih tepat untuk khusyuk dan bacaan pada waktu lebih berkesan. Sebaliknya, pada waktu siang hari, kamu mepunyai banyak urusan".

Manakala Rasulullah saw sendiri ada bersabda:
"setiap dua pertiga terakhir, Allah akan turun ke langit dunia sambil berseru, "Hambaku yang malam ini menjauhkan rusuknya dari tempat tidur kerana mendirikan solat tahajjud, aku merasa malu padanya sekiranya aku tidak mengampunkan dosanya, mengabulkan doanya dan memberikan apa yang mereka minta," Solat sunat utama selepas solat fardhu adalah solat sunat tahajjud."


Sesiapa sahaja yang berjaya bangkit pada waktu malam untuk bersolat tahajjjud dan mengerjakan lain-lain ibadat adalah orang-orang yang berjaya dengan cemerlang kerana jika kita renungkan untuk mengerjakan solat tahajjud. seseorang itu terpaksa berkorban dan melawan hawa nafsu tidurnya...

Bangkit mengerjakan solat tahjjud pada waktu malam adalah seolah-olah seperti bangkit pada hari Mahsyar....maka sesiapa yang berjaya bangkit pada malam hari untuk solat tahajjud, maka seolah-olah dia telah menempah kejayaan apabila bangkit pada hari Mahsyar nanti...Pasti Allah swt amat menyukainya....

Marilah sama-sama kita bertekad untuk bangkit pada malam hari dan sekurang-kurangnya mengerjakan solat tahajjud dua rakaat ini....Semoga hasrat dan niat suci kita, diberkati Allah swt dan Allah swt mengurniakan kita taufiq dan hidayah serta kekuatan untuk menyempurnakannya....Amin ya Rabbal Alamin.

by;