Tuesday, August 10, 2010

Selamat Berpuasa...


Sudahkah anda bersedia untuk berpuasa? Sudahkah anak-anak dan keluarga anda telah bersedia untuk berpuasa? Eh! nak berpuasapun kena bersedia ke?

Sebenarnya persediaan untuk melaksanakan ibadat puasa memang perlu. Kita sememangnya memerlukan persediaan fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadat puasa bagi menjamin kesempurnaan ibadatnya.

Malangnya, ramai yang merasakan mereka sudah 'mahir' dalam ilmu puasa. Ya lah telah banyak kali Ramadhan dilalui mereka. Perlukah kita terus belajar tentang ilmu puasa lagi? Jawapannya, ya, memang perlu dan sangat-sangat perlu. Galilah ilmu tentang amalan berpuasa yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW setiap saat baginda melalui Ramadhan. Kalaupun kita tidak mampu mengikuti Sunnahnya 100% tetapi cukuplah kalau puasa yang bakal dijalani nantinya menjanjikan sedikit peningkatan daripada puasa pada Ramadhan yang lalu. Sesungguhnya itulah orang yang akan beroleh kejayaan. Susunlah jadual untuk menghidupkan amal ibadat di bulan yang penuh keberkatan ini. Rebutlah peluang yang hanya datang sekali dalam setahun ini. Rancanglah 'program ihya' Ramadhan' untuk diri dan keluarga.

Alangkah amat menyedihkan jika perancangan untuk menyambut Ramadhan hanya terhad kepada persediaan untuk menyediakan juadah berbuka, bersahur dan persediaan menyambut raya sahaja. Tidak dinafikan sememangnya persediaan berbuka, bersahur dan menyambut raya itu penting sebagai galakan untuk meneruskan ibadat puasa, tetapi janganlah semua itu menjadi satu keutamaannya.

Sebaliknya, tanamkan azam dan buat perancangan apakah yang akan dilakukan bagi memastikan kesempurnaan ibadat puasa. Jangan biarkan Ramadhan kali ini berlalu dengan kelesuan akibat tidak makan dan minum di siang harinya, atau keletihan 'berbuka' di malam harinya.

Justeru, buatlah jadual waktu peribadi. Misalnya aturkan masa khusus untuk membaca al-Quran, tetapkan target ayat atau jumlah juzuk yang hendak dibaca dalam sehari dan patuhilah apa yang dirancang. Demikianlah dengan lain-lain ibadat yang digalakkan seperti solat terawih, zikir dan sedekah. Pastikan setiap saat di bulan Ramadhan dipenuhi dengan zikrillah.

Namun, bagi para ibu dan bapa, jangan lupa untuk melakukan 'aktiviti ihya' Ramadhan' ini bersama-sama anak-anak juga. Satu amalan terpuji yang biasa berlaku di bulan Ramadhan ialah amalan berbuka dan bersahur bersama keluarga. Tetapi jangan terperanjat, ada juga mereka yang gagal berbuat demikian. Adatlah, manusia kan rambut saja sama hitam, tetapi hati lain-lain. Walau bagaimana sekalipun, apa yang kurang baik dalam keluarga perlulah dihindari lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Sebaliknya setiap keluarga perlu merancang untuk melakukan sedikit perubahan atau peningkatan dalam hidup. Dan seandainya jika belum bermula, maka waktu yang tepat untuk melakukan perubahan tersebut ialah sekarang. Usah ditangguh-tangguhkan lagi niat untuk melakukan kebaikan. Ajaklah anak-anak bertadaarus al-Quran, melaksanakan solat sunat terawih bersama-sama. Jadikan ia sebagai satu aktiviti keluarga yang 'wajib' dilakukan.

Alangkah bermaknanya 'berpuasa' jika kita dapat menahan diri bukan sahaja dari makan dan minum di siang harinya tetapi kita juga dapat menahan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak berfaedah seperti menonton telemovie di televisyen, atau berchatting di Facebook. Alangkah berertinya 'puasa' jika 'jadual' peribadi kita dapat diuruskan dengan baik dan bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Bersama-sama kita 'menghidupkan' bulan Ramadhan dengan amalan-amalan 'mendekatkan diri kepada Allah'. Dekati Allah, nescaya Allah akan dekat dengan kita. Cintai Allah, nescaya Allah akan menyinyai kita. Buktikan padaNya, melalui amalan, lisan dan hati kita. Katakanlah yang kita 'menyintaiNya', simpanlah di dalam hati dan pamerkan melalui tindakan kita. Mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa-dosa kita yang telah lalu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuni segala dosanya yang lalu”.( Riwayat al-Nasaie, Ibn majah dan al-Baihaqi)




No comments:

Post a Comment