Monday, July 26, 2010

Malam nisfu Syaaban...

Semalam saya berkesempatan untuk melayari beberapa laman blog yang saya sering ikuti...ya, kebanyakannya post-post terakhir mereka ialah berkaitan dengan bulan Syaaban....memang pun, sekarang ni kan sudah pun pertengahan bulan Syaaban, dan besok 15 Syaaban 1431H. Banyak juga ilmu-ilmu yang saya pelajari mengenai bulan Syaaban ni, terutamanya mengenai amalan-amalan yang sering diamalkan sempena bulan ini.

"Benarkah pada malam nisfu Syaaban, kita mesti baca Yasin sebanyak 3 kali?"saya dihujani soalan daripada pelajar-pelajar sekolah siang tadi. "Mak saya kata, tak baik kalau tidak habiskan bacaan Yasin sampai tiga kali", sambung mereka.

"Wah, hebat benar ilmu mereka...",detik hati saya. "Bagaimana harus saya jawab persoalan yang mereka timbulkan ini", saya berhati-hati untuk menjawab soalan mereka.

Sebenarnya inilah kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat Islam. Mereka suka mengada-adakan sesuatu yang tidak sewajarnya. Baca surah Yasin tak salah. Baca surah apa pun tak salah. Itukan namanya baca al-Quran. Persoalannya benarkah amalan membaca Yasin 3 kali pada malam nisfu Syaaban satu kemestian? Mengapa hanya malam nisfu Syaaban? Mengapa 3 kali? Mengapa Surah Yasin?

Biasanya diadakan majlis bacaan surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti : Pada bacaan Yasin pertama, diniatkan memohon panjang umur. Pada bacaan Yasin kedua, diniatkan memohon dijauhkan bala. Pada bacaan Yasin ketiga, diniatkan memohon murah rezeki yang halal.


Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia melainkan di Malaysia dan sekitar Nusantara. Jika kita lihat di Malaysia ramai orang-orang Melayu kita berebut-rebut memenuhi masjid dan surau semata-mata untuk merebut fadhilat malam Nisfu Syaaban. Saya perhatikan ada disesetengah tempat pada malam Nisfu Syaaban, mereka membaca Surah Yasin dengan begitu pantas sehingga mengabaikan hukum-hukum tajwid. Ini berlaku semata-mata ingin mengejar bilangan 3 kali bacaan.


Sebetulnya kita perlu membaca al-Quraan dengan cara yang betul dan bertepatan dengan bacaan sebagaimana ianya diturunkan oleh Allah Taala. Jadi manakah pilihan terbaik; membaca Yasin 1 kali dengan bertajwid, ataupun membaca surah Yasin sebanyak 3 kali dengan mengabaikan tajwid?
Allah Taala berfirman di dalam Al-Quraan :
“Dan bacalah Al-Quran dengan penuh tartil (bertajwid)”. (QS 73 : 4)


Sebenarnya muslim sejati tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dia menghadap Allah nanti.


Sememangnya terdapat juga himpunan hadis menerangkan keistimewaan Syaaban, kelebihan malam Nisfu Syaaban dan keutamaan amalan tertentu pada bulan itu. Tetapi kebanyakan daripada hadis itu adalah hadis daif menurut pandangan ulama. Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis daif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan seperti hadis ini:

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain].

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi S.A.W.

Sebenarnya, adalah lebih baik kita membaca al-Quran atau membaca Yasin dengan cara yang lebih baik daripada selalunya, seperti membaca al-Quran mengikut hukum tajwid yang betul, atau cuba membaca dan memahami isi maksud surah Yasin termasuk surah-surah yang lain juga. Seperkara lagi, jadikan semua amalan itu menjadi amalan setiap malam, bukannya pada malan nisfu Syaaban sahaja. Sesungguhnya sesuatu yang diamalkan secara berterusan akan menimbulkan 'kelazatan' dalam beribadat. Jadilah umat Islam yang beristiqamah dalam ibadatnya, dan bukannya umat Islam yang 'bermusim' khususnya dalam perkara-perkara yang tidak jelas asal kesahihannya.


Ibadat...pengabdian diri kepada Pencipta.

No comments:

Post a Comment