Showing posts with label Islam dan Sains. Show all posts
Showing posts with label Islam dan Sains. Show all posts

Saturday, October 23, 2010

Ajaibnya kejadian manusia...



Maha Suci Allah, Yang Maha Besar lagi Maha Agung. Yang Menciptakan segala yang ada dilangit dan dibumi. Mencipta manusia dan seluruh isi alam. Ajaibnya setiap kejadian ciptaanNya. Hebatnya kekuasaan yang dimilikiNya. Tetapi mengapakah masih ramai manusia yang sanggup engkar terhadap suruhan dan laranganNya? Tidak tersisakah rasa takut dan gerun terhadap kehebatan kuasanya Allah?

Lihat saja kepada penciptaan manusia itu sendiri. Yang hanya berasal dari setitis air mani yang kemudiannya bercampur dengan benih perempuan. Yang pada asalnya tidak mempunyai apa-apa bentuk dan rupa sama sekali.

Tetapi melalui proses dan perjalanan masa yang ditentukan oleh Pencipta dan Pengurusnya, maka sedikit demi sedikit ia bertukar menjadi segumpal darah. Segumpal darah ini pun tidak ada apa-apa yang dapat dibayangkan....cuma segumpal darah.

Namun dengan kuasa Allah yang Maha Hebat, dari hari ke hari segumpal darah tadi kemudiannya bertukar menjadi segumpal daging yang sangat kecil, hampir saja tidak kelihatan dengan mata kasar. Sangat kecil, mungkin cuma sebesar hujung jari.

Namun, sekali lagi Allah menunjukkan kehebatanNya dengan hanya 'memerintahkan' agar segumpal daging tadi membentuk beberapa bahagian dan 'memainkan' peranannya masing-masing. Ada yang membentuk sebagai jasad atau lembaga menyerupai manusia yang ditumbuhi pula tulang-belulang sebagai 'penyokong' bagi menguatkan ciptaan jasad tadi. Ada pula yang 'berperanan' sebagai tali pusat dan juga plasenta. Subhanallah!

Dan akhirnya, dengan sempurnanya kejadian seorang yang bernama manusia di alam rahim, maka Allah sekali lagi menunjukkan keagunganNya dengan meniupkan ruh ke dalam jasad ciptaan terbaruNya.

Dengan melalui beberapa fasa kejadian yang menakjubkan, ciptaan Allah yang terbaru tadi menjalani proses pembesaran dengan 'berenang-renang' dan 'bermain-main' di dalam 'dunianya' sebelum tiba waktu matangnya untuk beralih ke dunia baru iaitu alam dunia. Sesekali si ibu turut merasai 'permainan' yang berlaku di dalam rahimnya. Dan saat itu Allah telah menyuntikkan satu perasaan tenang dan bahagia untuk menanti saat-saat pertemuan dua insan di dunia yang sama.

Alangkah ajaibnya kejadian manusia......

Saturday, May 22, 2010

Keajaiban Azan

Salam mesra buat semua..

Kali ini saya ingin berbicara sesuatu yang dah lama bermain di fikiran saya dan terkadangnya memanggil rasa takjub dan gerun saya terhadap kehebatan kuasa Allah SWT. Fenomena azan sebenarnya adalah suatu perkara yang amat mengkagumkan dan bisa membuatkan kita dekat kepada Allah jika kita benar-benar menghayatinya dan mengambil berat dengannya.

Azan mengandungi kalimah suci yang menyeru umat Islam menunaikan kewajipan dan sujud patuh pada Sang Pencipta 5 kali dalam setiap hari. Seruan ini sebenarnya diulang setiap minit di muka bumi ini. Inilah fenomena azan yang boleh dianggap suatu keajaiban Tuhan. Mungkin ada yang sudah membacanya atau mengetahuinya. Bagi yang belum..jom kita baca dan tadabbur tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT ini..

Maha Suci Allah yang Maha Mencipta. Ketahuilah bahawa Azan sebenarnya tidak terputus atau terhenti berkumandang di ‘globe’ bumi selama 24 jam. Mengikut penyelidikan yang dilakukan di sebuah Universiti di UAE, didalam bidang Matematik, menjelaskan bahawa ini merupakan keajaiban yang dijadikan oleh Maha Pencipta didalam memberi hak kepada ‘Suara Azan” sepanjang 24 jam setiap hari.

Penyelidiknya didalam kajian tersebut berkata : “ Sesungguhnya Azan yang memanggil orang Islam melakukan ibadat solat tidak pernah putus dari globe bumi setiap hari pada setiap putaran masa, dimana setelah Azan selesai berkumandang disesuatu kawasan, ia akan diteruskan berkumandang dikawasan yang lain !!” Suara azan ini akan sentiasa bersahut-sahutan dari suatu tempat, kawasan atau benua ke suatu tempat, kawasan atau benua yang lain dan begitulah fenomena azan ini akan berterusan sehinggalah tibanya hari kiamat.

Menurut Abdul Hamid al-Fadhil, penyelidikan tersebut menjelaskan bahawa globe bumi ini boleh dibahagikan kepada 360 garisan, dimana ditentukan waktu setiap kawasan tersebut darinya. Setiap garis dipisahkan dengan garisan dengan jangka waktu 4 minit, diandaikan Azan dilakukan tepat pada waktunya bagi setiap kawasan. Diandaikan juga muezzin yang baik akan melaungkan azan selama 4 minit.

Dia juga mengandaikan Azan akan dikumandangankan pada setiap daerah digarisan tersebut selama 4 minit, maka setiap 4 minit kawasan-kawasan yang berada pada garisan tersebut akan melaungkan Azan. Maka, dalam tempoh 24 jam, genap 360 garisan globe bumi melaksanakan Azan, dan menunjukkan bahawa Azan berkemundang secara berterusan selama 24jam didalam penghidupan bumi. Formulanya boleh gambarkan seperti berikut :-
4 (minit) x 360 (longitude) = 1440 minit
1400 (minit) / 60 (minit) = 24 jam

Maha Suci Allah yang memperlihatkan kekuasaannya kepada makhluk yang sentiasa alpa memahami hakikat perjalanan bumi ini. Bayangkan pada saat dimana Azan sudah tiada lagi kedengaran, apakah yang akan terjadi kepada makhluk yang berada dibumi ini? Firman Allah swt :-

“Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” [Surah Yusuf : 105].

Berkata Ibn Kathir rh : “Allah mengkhabarkan bahawa kebanyakkan orang tidak memikirkan mengenai tanda-tanda (Ayaat) dan bukti Allah yang satu terhadap ciptaan Allah pada langit dan bumi. Allah mencipta bintang-bintang dan planet-planet yang mengelilingi orbit, dan semuanya cipta dengan tujuan tertentu. Terdapat banyak tanah-tanah yang subur terletak sebelah menyebelah, dan taman-taman, gunung-gunung, lautan, dimana ombaknya memukul diantara satu sama lain, dan padang pasir yang luas. Terdapat banyak makhluk yang hidup dan yang mati, dikalangan binatang, tumbuh-tumbuhan, dan buah-buahan yang sama bentuknya, akan tetapi berbeza rasa, bau, warna dan sifat. Kesemuanya disebabkan Allah yang satu, yang menjadikan semua jenis ciptaan, dimana hanya dia yang tetap dan kekal selama-lamanya. Hanyalah dia yang tersendiri Nama dan Sifatnya.”

Marilah kita sama-sama bersujud kepada Allah SWT kerana hanya Dialah yang selayaknya disembah dan ditaati. Sedetik pun masa berlalu, ia pasti akan dihitung dan dihisab oleh yang Maha Kuasa. Oleh yang demikian, janganlah kita hanya tahu bahawa Allah SWT itu berkuasa segalanya tetapi kita masih lagi 'tidak mempedulikan' kekuasaannya, bahkan kita mengalpakannya sahaja.

Justeru, bila berkumandang suara azan, maka hayatilah, sahutlah seruannya, tunaikanlah solat dengan penuh khusyuk, jagalah solat sebaik mungkin dan bertebaranlah di mukabumi ini demi mencari keredhaan Ilahi. Kelak dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi orang-orang yang berbuat demikian.