Ya Allah, sesungguhnya ku amat mengharapkan cintaMu, cinta sesiapa yang mencintaiMu dan mencintai amal yang membawa ku dekat padaMu...Redhailah kami semua, (muslimin dan muslimat) dunia dan akhirat.. Amin ya Rabbal Alamin.....
Dalam menempuh liku-liku kehidupan sudah pasti kita akan menemui pelbagai cabaran dan ujian...jarang sekali kesenangan yang dikecapi datang dengan mudah semudah menyebut A B C. Tetapi sudah tentu ia melalui satu fasa demi satu fasa yang tertentu....
Jangan sesekali menganggap setiap cabaran dan ujian adalah sesuatu yang negatif dalam kehidupan. Tetapi anggaplah ia sebagai tanda sayang dan cinta Allah kepada mereka yang sentiasa positif dalam hidupnya. Anggaplah bahawa Allah sengaja ingin mencari jalan untuk menambahkan ganjaran buat kita atas kesabaran yang kita miliki ketika menghadapi sesuatu cabaran itu. Kesusahan dan kesulitan perlu ditangani dengan positif kerana sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Jangan ikut perasaan negatif, kelak semuanya jadi negatif dan buruk. Sebaliknya positif diri kita, kelak semuanya jadi positif dan baik-baik saja. Layan dan 'handle' ia dengan penuh hikmah...dan yakin Allah sengaja menguji kita...Dan jangan sama sekali bersangka buruk terhadapNya.
Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Cuma masa yang akan menentukannya, lambat atau cepat bergantung kepada usaha kita dan Qadak yang ditentukan oleh yang Maha Kuasa. Semua perjalanan kehidupan kita, Allah sudah mengaturkan...hanya kita sahaja yang tidak tahu jalan kesudahannya. Oleh yang demikianlah, kita harus sentiasa positif menerima ketentuan Allah.
Walau sebesar mana sekalipun masalah yang dihadapi, itu bergantung kepada tanggapan individu masing-masing. Masalah atau musibah adalah sesuatu yang 'subjektif'. Besar bagi sesetengah individu, bahkan terlalu kecil bagi sesetengah individu yang lain pula. Kalaulah seseorang itu menganggap sesuatu masalah yang dihadapi itu sebagai besar, maka besarlah masalah itu baginya dan kalaulah sesuatu masalah itu dianggap kecil maka kecillah masalah itu bagi individu tersebut. Apa yang penting, usaha ke arah penyelesaian harus dilakukan dengan tenang, positif dan penuh bijaksana. Kalau ia tidak dapat diselesaikan satu hari, ambillah masa beberapa hari yang perlu, atau sebulan atau mungkin juga setahun. Sabar dan doa adalah kunci kejayaan.
Selain usaha, doa adalah sangat diperlukan untuk membuatkan diri kita positif terhadap masalah yang di hadapi. Bak kata pepatah Doa adalah senjata orang mukmin. Jadi mengapa kita tidak magu menggunakan senjata ini...ianya mudah....hanya memerlukan keyakinan dan ketaqwaan yang sebenar. Selain ia menjadikan diri lebih positif, kita juga bakal terlatih untuk sentiasa merasa dekat denganNya. Siapalah lagi yang paling kita perlukan di dunia ini? Siapakah lagi yang kita boleh harapkan di dunia ini? Sudah pastilah jawabnya tuan yang empunya dunia ini iaitu Allah! Jadi mengapa kita harus jauh dariNya?
Hidup seseorang yang sentiasa berfikiran positif akan sentiasa ceria dan bahagia. Selain itu ia juga akan mempengaruhi sikap dan tabiatnya ke arah menjadi lebih tenang. Setiap tindakan yang ingin dilakukan akan difikirkan terlebih dahulu. Maknanya di sini,dia akan berfikir sebelum bertindak. Bukankah tindakan yang dilakukan bukan dengan terburu-buru ini akan membuahkan hasil yang baik?
Orang yang berfikiran positif juga adalah orang sabar. Bukankah orang-orang yang sabar adalah golongan yang dikasihi oleh Allah. Dan sudah pasti janji Allah adalah benar bahawa Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Hal ini seringkali diungkitkan oleh Allah dalam al-Quran. Jika kita yakin dengan kebenaran janji Allah, sudah pasti kita sama sekali akan membuang sikap suka bersangka buruk sama ada terhadap Allah mahupun terhadap sesama manusia. Bukankah akan tenang hati kita?
Sebenarnya banyak lagi kebaikan dan kelebihan orang yang berfikiran positif. Oleh itu Jom Positifkan Dirimu....
Sebuah keluarga yang diredhai Allah S.W.T. ialah sebuah keluarga yang mendapat hidayah mencurah-curah. Setiap detik mereka sentiasa di bawah bimbingan Allah S.W.T. Inilah yang sebenarnya yang menjadi prioriti atau keutamaan dalam kehidupan sesebuah keluarga. Sepatutnya hal inilah yang sepatutnya menjadi igauan setiap ahli keluarga...kalaupun bukan semua yang sering 'mengingau'kan sedemikian...alangkah mulianya jika terdapat dikalangan mereka yang sentiasa mahu dan menyedari kepentingannya...kepentingan hidup dalam keredhaan Allah S.W.T. Apalah erti hidup ini jika tidak mendapat redhanya Allah, apa lagi gagal meraih cintanya Allah dan RasulNya...???
Ayuhlah kita sama-sama berusaha ke arah tersebut. Usahalah agar Allah S.W.T. sentiasa meredhai kehidupan kita...Jemputlah hidayahNya dalam setiap langkah kehidupan kita...
Patuh Suruhan Allah dan Tinggalkan LaranganNya. Hidayah Allah S.W.T akan datang kepada sesiapa yang dikehendakinya...Namun begitu, kita disuruh berusaha untuk menjemputnya hadir dalam kehidupan kita. Jemputlah hidayah Allah S.W.T. dengan mengamalkan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarangNya. Ibu bapa bertanggungjawab menunjukkan contoh terbaik dalam soal kepatuhan terhadap perintah Allah ini. Selain itu, ibu bapa juga wajib mendidik anak-anak dan memastikan ketaatan terhadap perintah dan larangan Allah S.W.T dipatuhi. Dalam proses amalan dan pendidikan tersebut, dengan sendirinya hidayah akan hadir mencurah-curah...
Baca al-Quran setiap hari. Al-Quran adalah mukjizat paling agung daripada Allah S.W.T buat kekasihNya Nabi Muhammad S.A.W. Oleh kerana itu segala petunjuk dan panduan terdapat di dalamnya, di susun dan di atur penuh kesempurnaan dan kemukjizatan. Membaca al-Quran wajib menjadi salah satu agenda harian dalam sesebuah keluarga. Ibubapa sebagai tunggak utama dalam sesebuah keluarga wajib meletakkan keutamaan ini dalam jadual harian sekeluarga. Anak-anak perlu dididik mempelajari, membaca dan memuliakan al-Quran setiap hari. Bahkan al-Quran harus dimiliki oleh setiap ahli keluarga secara personalnya. Sesiapa yang mengamalkan membaca al-Quran setiap hari secara rutin, sudah pasti akan merasai hadirnya hidayah Allah S.W.T. Hatinya akan menjadi lunak ke arah kebaikan dan mudah tersentuh dengan kebejatan dunia. Itulah petanda hadirnya hidayah....
Sebarkan Salam Ucapan salam sebenarnya adalah doa terhadap saudara muslim kita yang lain. Ia boleh menjadi sebab turunnya rahmat Allah dan redhaNya terhadap sesiapa saja yang mengamalkannya. Oleh yang demikian jadi ia satu budaya dalam kehidupan. Didiklah anak kita memberi salam sebelum keluar rumah dan juga bila balik ke rumah. Sebarkan salam ketika masuk ke bilik anak-anak. Anak-anak akan rasa diri dihormati. Secara tidak langsung akan meningkatkan rasa hormat anak-anak terhadap ibu bapa. Demikian juga anak-anak juga perlu diajar agar sebarkan salam ketika masuk ke bilik ibu bapa. Demikian juga ketika balik dari tempat kerja walaupun rumah kosong. Mudah-mudahan dengan amalan sebegini, setiap saat dan ketika, keluarga kita akan dirahmati dan diredhai olehNya lantaran doa yang sentiasa dilontarkan antara satu sama lain.
Saling Nasihat Menasihati Sebagaiibubapa, menasihati anak-anak adalah antara tanggungjawab yang sama sekali tidak boleh diabaikan. Luqman al-Hakim adalah contoh bapa terbaik yang sentiasa menasihati anak-anaknya dengan kebaikan (rujuk surah Luqman ayat 13 hingga 19). Oleh yang demikian, nasihatilah anak-anak dengan hikmah dan bijaksana mengikut keadaan semasa dan keadaan anak itu sendiri. Tunjukkan bukti atau bahan-bahan yang boleh menyentuh perasaan anak-anak , mudah-mudahan hidayah milik mereka dan juga ibubapa .
Solat Berjemaah Usaha untuk mengundang hadirnya hidayah juga boleh dilakukan menerusi Solat Berjemaah. Ia juga boleh dijadikan agenda sekeluarga pada masa-masa yang tertentu. Oleh kerana seorang lelaki atau bapa dalam sesebuah keluarga menjadi fardu kifayah berjemaah di masjid-masjid bagi tujuan meningkatkan syiar Islam, maka sesekali dianjurkan juga menjadi Imam solat dalam keluarganya sendiri. Atau sesekali si abang juga mengambil peranan solat berjemaah bersama adik-beradik yang lain. Alangkah suburnya hidayah dan iman dalam keluarga yang mengamalkan solat berjemaah.
Melayan Tetamu Tetamu adalah orang yang datang ke rumah kita sama ada diundang atau tidak diundang. Melayan tetamu hukumnya wajib. Lantaran kewajiban tersebut, anak-anak perlu dididik dan dilatih beradab sopan ketika menyambut dan melayan tetamu. Islam amat memandang mulia terhadap adab melayan tetamu sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud; "Apapila tetamu masuk ke dalam rumah, ia masuk bersama rezekiNya, Apabila ia keluar, ia keluar bersama keampunan dosa tuan rumah."
Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud; "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berbicara yang baik atau diam sahaja."
Sebenarnya semua manusia boleh berbicara. Tetapi tidak semua manusia pandai berbicara, kerana berbicara itu sebenarnya adalah seni. Dan sesungguhnya bicara yang baik itu bukanlah hanya terletak pada isinya sahaja, tetapi juga pada sikap atau penyampaiannya. Itulah namanya seni.
1. Berbicara dengan lemah-lembut.
Firman Allah SWT yang bermaksud; "Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan lemah-lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (Surah Thoha 20: 44)
Berdasarkan firman Allah SWT tersebut, menunjukkan cara Allah SWT mendidik Nabi Musa supaya menggunakan kata-kata yang lemah-lembut semasa berhadapan dengan manusia yang paling samseng dalam dunia iaitu Firaun. Kelembutan boleh melenturkan sesuatu yang keras seperti batu. Kata-kata yang lembut lebih memberi kesan berbanding dengan kata-kata yang kasar dan menyakitkan. Ingatlah kisah Nabi Musa, kerana siapalah kita jika dibandingkan dengan nabi Musa yang mendatangi Firaun dengan kata-kata yang lembut.
2. Berbicara dengan suara sederhana.
Allah SWT juga berfirman yang bermaksud; "Dan bersederhanalah kamu ketika kamu berjalan serta lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara kaldai." (Surah Luqman :19)
Apa yang boleh difahami daripada firman Allah SWT ini , Imam Hassan al-Banna telah melontarkan satu komentarnya yang berbunyi; Janganlah kita menguatkan suara melebihi suara yang diperlukan oleh pendengar, kerana hal itu akan mengganggu dan menyakiti." Maka bersederhanalah dalam berbicara.
3. Berbicara berterus terang.
Berbisik di antara dua orang di hadapan orang lain juga adalah perkara yang perlu dan sangat wajar dielakkan. Lazimkanlah amalan suka berterus terang dan telus dalam berbicara. Sesungguhnya amalan ini dapat mengelakkan pergaduhan dan prasangka. Dan sesungguhnya kebanyakan daripada prasangka itu adalah dosa.
4. Berbicara dengan memandang muka antara satu sama lain.
Memandang muka orang yang sedang berbicara adalah satu seni memberikan penghormatan kepada orang yang sedang berbicara. Ini adalah contoh akhlak Nabi SAW yang sangat mengormati sesiapa sahaja yang datang menemuinya. Tidak hairanlah ramai manusia terpikat dengan agama Islam, kerana nabi SAW telah menjadi contoh Islam yang terbaik.
5. Elak bicara sinis dan sindir-menyindir
Jika kita tidak suka disakiti hatinya, maka kita juga jangan sesekali suka menyakiti hati orang lain. Elakkan dari menggunakan bahasa sinis atau sindiran dengan niat menyakiti hati orang lain. Menjaga hati orang lain dengan menggunakan bicara yang menyenangkan pendengar pasti memberi kesan yang mendalam dan meninggalkan kenangan manis yang abadi.
Berbicaralah dengan seni bicara yang menyenangkan dan diredhai Tuhan...
Dalam kehidupan ini, perkara yang tidak disangka-sangkakan seringkali berlaku . Malahan, perancangan dan jangkaan kita seringkali tersasar dari reality atau takdir yang dipersembahkan kepada kita. Hakikatnya, kita hanyalah merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Oleh yang demikian, kita seharusnya sentiasa merasa bersyukur dengan apa yang kita miliki hari ini dan terus berusaha mencari kepuasan dalam apa jua yang kita lalui...dan kepuasan itu tidak akan hadir tanpa didahului dengan rasa keikhlasan melakukannya.
Dalam soal kepuasan bekerja..kebanyakan daripada mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘pekerja’ tak kiralah apa jua pekerjaannya atau jawatannya, sudah tentu mempunyai harapan atau expectationnya yang tersendiri, Jika kita perhatikan dalam dunia hari ini, kebanyakan daripada mereka amat mengharapkan sesuatu ganjaran daripada hasil kerja yang mereka lakukan. Maka senario ini mewujudkan satu keadaan yang kurang selesa iaitu munculnya ‘kaki bodek boss’, ‘tukang kipas boss’dan wujud juga agenda fitnah memfitnah antara satu sama lain...atau adengan ‘curi tulang...’
Demikian juga senario bagi mereka bekerja sendiri, seperti pekedai runcit, pengusaha makanan, pengusaha pusat penyembelihan lembu,kambing atau ayam, mereka juga punyaharapan untuk menjadi cepat kaya. Pelbagai cara dilakukan untuk mengaut keuntungan yang lebih, termasuk menjual dengan harga yang tinggi, mengelak daripada terpaksa membayar cukai kepada kerajaan, menyogok pegawai-pegawai yang terlibat dan sebagainya.
Bila menyebut bab sogok-menyogok ni, tak susah kita mendapatkan contoh. Di kiri kanan kita, adengan ini biasa kita baca dalam akhbar-akhbar dan juga kita lihat berlaku di sekeliling kita. Biasanya ia melibatkan pihak-pihak penguatkuasaan .
Sebenarnya, apalah yang ‘untung’ sangat daripada hasil usaha sedemikian?Kalaulah dapat jadi kaya sekalipun, mungkinkah kekayaan dengan cara itu akan kekal sampai ke anak cucu? Keuntungan yang diperolehi melalui jalan yang tidak betul biasanya tidak membahagiakan...ada saja ketidaktenangan dan ketidaktenteraman berlaku dalam kehidupannya...kadang-kadang keadaan itu sendiri, masih belum dapat membuka mata mereka...itulah yang dinamakan hilangnya hidayah Allah...wa nau'uzubillahi min zalik!!
Justeru itu, ayuhlah kita sama-sama fikirkan...untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Jadikan dunia ini sebagai jambatan untuk ke akhirat, barulah kebahagiaan yang sebenar-benarnya dapat kita kecapi... Mungkin ketika masih di dunia lagi kita dapat merasai kemanisannya...melalui kehidupan yang tenang, hati yang sentiasa redha dengan apa adanya dan diri yang sentiasa mengharapkan kecintaanNya. Sekujur tubuh sentiasa dibaluti rasa ubudiah kepada Allah...dalam setiap lapangan yang diceburi, rasa kehambaan itu sentiasa memagari diri...
Sebagai seorang ‘pekerja’ walau apa bidang sekalipun, anggaplah ia sebagai satu ibadat. Penjual sayur bekerja sebagai ibadat untuk memenuhi keperluan masyarakat, begitu juga seorang kerani, ia juga adalah sebagai ibadat untuk memudahkan urusan orang lain. Demikianlah sebagai seorang guru, lagilah mulia tugasnya jika dilakukan dengan penuh keikhlasan ia seolah-olah seperti pewaris rasul di muka bumi ini...
Setiap yang kita lakukan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti ada ganjaran yang menanti. Kalaupun ganjaran tersebut bukanlah dalam bentuk material, namun percayalah Allah pasti menukarkannya dalam bentuk yang lain, mungkin tanpa kita sedari, dan mungkinnya juga bukan untuk kita tetapi untuk generasi pewaris kita kelak. Yakinlah bahawa Allah adalah benar dalam menunaikan janji.
Satu contoh yang mudah, seorang pemandu kereta yang dalam kesesakan jalanraya memberi signal meminta laluan, jika kita memberi laluan kepadanya dengan perasaan ikhlas, maka suatu ketika jika kita menghadapi situasi yang sama, sudah pasti ada yang terbuka hatinya untuk memberi laluan kepada kita walaupun bukan orang yang sama yang kita berikan laluan untuknya suatu ketika dulu. Ini bermaksud, jika kita hendak melakukan sesuatu perkara, maka lakukanlah dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran atau pun pujian, kerana Allah pasti tahu tentang erti keikhlasan dan Allah pasti tahu untuk memberikan ganjarannya bila-bila masa yang Dia mahu. Itulah takdir dan kejadian yang Tuhan persembahkan. Ia terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh minda kita. Jadi kita perlu yakini, what you give, you’ll get back. Itu hukum sunnatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.
Demikianlah juga sekiranya di jalanraya, kadang-kadang pemandu wanita dianggap 'menyusahkan' kerana ramai yang agak 'terhegeh-hegeh' di jalanraya...maklumlah, namanya pun wanita...mungkin lebih banyak rasa takut atau terlalu berhati-hati, menyebabkan pemandu lelaki merasa terganggu perjalanannya...lalu membunyikan 'hon'...apa lagi, kecutlah perut si pemandu wanita. Jika direnungkan, apalah salahnya si pemandu lelaki yang biasanya menganggap dirinya sebagai 'hero' lebih menghormati dan bertolak ansur dengan pemandu wanita...dan bayangkan pemandu wanita itu adalah 'isterinya' barangkali, atau mungkin 'anak perempuannya' yang mungkin juga terhegeh-hegeh di jalan raya...dan 'disergah' dengan bunyi 'hon' tanda marah atau protes...bagaimanakah perasaan anda waktu itu....Maka apalah salahnya kita berbuat kebaikan, ikhlaskan hati menerima keadaan, bertimbang rasa dan lebih menghormati golongan yang lemah....???
Ingatlah kalaupun kebaikan yang kita lakukan hari ini tidak kembali untuk diri sendiri, tetapi Insya Allah, ia akan kembali untuk generasi kita, untuk anak-anak kita. Tidak mustahil Allah akan mempermudahkan urusan kita dan keluarga kita. Demikian juga kalaupun kita tidak mampu mendapat pangkat atau gaji yang lumayan, Insya Allah dengan keikhlasan yang kita lahirkan, maka siapa tahu Allah akan memberikan pangkat atau gaji yang lumayan kepada anak-anak kita kelak. Pemberian dan anugerah Allah adalah suatu misteri.
Seringkali kita dengar kisah, anak-anak petani dan nelayan mencipta kejayaan, sedangkan jika kita lihat pada kehidupan mereka sudah tentu dapat kita bayangkan tentang sebuah kehidupan yang serba dhaif dan sudah tentu si petani atau si nelayan tadi tidak punya cukup waktu untuk menjenguk pembelajaran anak-anak mereka. Tetapi bagaimana anak-anak mereka boleh berjaya?
Di sinilah dapat kita renungkan bersama, bahawa hasil kerja ikhlas si petani terhadap sawah padinya dan juga si nelayan yang meredah lautan mencari khazanah Allah sebagai rezeki sekeluarga, maka kepayahan dalam kesabaran serta ketulusan hatimereka mencari rezeki sesuap nasi buat keluarga tercinta, maka Allah berikan ganjarannya dalam bentuk kejayaan anak-anak mereka.
Sebaliknya, banyak juga kita lihat contoh mereka yang hebat dan kaya raya kerana terlibat dengan dunia korporat dan sebagainya, tetapi hidup mereka tidak bahagia walaupun mereka mempunyai harta yang banyak. Kebanyakan anak-anak rosak akhlak dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Mungkinkah ada sesuatu yang ‘tidak beres’ dalam pekerjaannya?
Tulisan ini bukannya mahu memburukkan dunia korporat, bukan masalah dunia korporat pun...tetapi isunya ialah keikhlasan bekerja! Walau apapun pekerjaan kita, biarlah ada keikhlasan untuk saling bantu membantu dan tolong menolong antara satu sama lain. Berkerja itu satu ibadah. Oleh itu, dalam melakukan pekerjaan, andaikanlah God is CEO. InsyaAllah, satu hari nanti manusia akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan semata-mata kerana tidak mendapat penghargaan. Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas apa yang kita buat kepadanya, umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Pemberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Namun janganlah kita berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih.
Kesimpulannya kebaikan dan budi yang kita taburkan, akan menyumbang kepada kehidupan yang lebih indah dan bermakna dan membentuk masyarakat yang lebih mulia akhlaknya. Siapa pun kita, keikhlasan adalah unsur utama yang perlu ada dalam jiwa agar segala yang dilakukan mendapat mardhotillah.
Pada petang ini,rancangan kegemaranku, iaitu rancangan "al-Kulliyyah" sedang bersiaran menjadi halwa telinga kami sekeluarga.Tajuknya ialah "Orang Sebelah". Tajuk ni nampaknya seperti biasa-biasa saja...tapi sebenarnya 'orang sebelah' ni merupakan topik yang sangat dituntut untuk memahami dan menghayati konsepnya seterusnya mengetahui tahap kepentingannya dalam amalan sebagai seorang muslim, sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini.
Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam berkewajiban mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan dan jalan keluar bagi satu-satu kesulitan atau masalah.
Tuntutan berbuat baik terhadap jiran ini ada termaktub dalam ayat 36 Surah al-Nisa': "Dan beribadatlah kamu kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatupun, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yangjauh, rakan sejawat, orang musafir yang kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang takbur dan membangga-banggakan diri".
Berdasarkan firman Allah SWT tersebut, jelaslah menunjukkan Allah SWT memerintahkan kepada semua hambaNya agar berbuat baik terhadap jiran. Allah menghimpunkan sekali dalam ayat di atas perintah untuk beribadah kepada Allah dengan perintah untuk berlaku baik kepada hamba-hamba-Nya sebagai tanda Islam ini bukan sahaja menjalin hubungan dengan pencipta sebaliknya juga menyatukan manusia di dalam satu kewajipan untuk berlaku baik sesama manusia sebagai termasuk menunaikan ketaatan kepada Allah swt.
Allah menyebut ( وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَ) : iaitu yang bermaksud jiran yang padanya terdapat hubungan kekeluargaan atau pertalian darah atau jiran muslim yang sama agama. Juga ada yang mengatakan dimaksudkan dengan ayat ini ialah jiran yang rumahnya berdekatan.
Allah juga menyebut (وَالْجَارِ الْجُنُبِ ) : iaitu jiran yang memberi maksud lawan kepada yang sebelumbya tadi iaitu jiran yang tidak memiliki hubungan darah atau kekeluargaan atau juga jiran yang berjauhan rumahnya.
Kesemua makna yang tersebut di atas menrangkumi makna jiran dan memiliki hak ke atas muslim yang beriman dengan Allah swt untuk berlaku baik kepada jiran baik yang beragama Islam atau bukan baik yang berhubungan darah atau yang tidak ada hubungan darah baik yang berdekatan rumah atau berjauhan.
Menurut Al-Hafidz Imam Ibn Hajar ra : “ Maksud nama jiran itu ialah merangkumi baik yang muslim atau yang kafir, baik yang beribadah atau yang fasiq, baik rakan atau musuh, baik yang asing atau yang senegeri, baik yang memberi manfaat atau mudharat serta baik yang mempunya kekeluargaan atau yang tidak ada hubungan atau juga yang berhampiran rumahnya atau yang jauh rumahnya dan kesemuanya memiliki hak dan kedudukan antara satu sama lain..”
Rasulullah SAW juga ada bersabda :“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .(hadith sahih riwayat Ibn Hibban)
Disebut oleh baginda rasulullah bahawa memiliki jiran yang baik termasuk salah satu di antara tanda-tanda kebahagiaan dan memperolehi jiran yang jahat dan tidak baik termasuk tanda keburukkan dan derita. Islam merupakan agama yang sempurna dan lengkap dengan segala pertunjuk dalam pelbagai perkara termasuk dalam soal kemasyarakatan.
Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat.
Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa.
Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya.
Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan asek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.
Menghormati dan Memuliakan Jiran
Rasulullah SAW bersabda: “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.
Hadith di atas sangatlah besar pengertiannya apabila Rasulullah SAW menghimpunkan keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan berlaku baik kepada jiran . Hal ini sekaligus menunjukkan bahwa beriman kepada Allah itu bukanlah hanya di lisan atau hati sebaliknya mencakupi urusan kehidupan dan cabang-cabangnya sangatlah banyak serta salah satu dari cabang iman itu ialah memuliakan jiran dan berlaku baik kepadanya.Sebenarnya ada pendapat mengatakan bahawa diantara 70 cabang iman, yang ke 67 nya ialah menghormati dan memuliakan jiran.
Menyayangi jiran juga termasuk dari perintah Islam seperti dalam hadith nabi yang menyebut : “ Demi zat yang jiwaku berada dalam genggamannya tidaklah beriman seorang hamba itu sehingga dia mencintai jirannya atau saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri” . (hadith sahih riwayat Muslim no. 45).
Demikianlah diterangkan oleh baginda Rasulullah SAW bahawa hendaklah mencintai jiran dan memelihara hak mereka seperti mana kita mencintai diri kita sendiri dan mahu hak-hak kita dijagai dan dipelihara. Bahkan demikian itu merupakan kesempurnaan iman dan tanda sebagai seorang yang beriman kepada Allah.
Hak Jiran
Kejiranan ialah satu daripada fitrah manusia yang hidup dalam masyarakat dan Islam itu berada di antara pertengahan dalam banyak perkara dengan tidak berlebih dan berkurang. Menyentuh perihal jiran, Islam tidak membebani seseorang itu dengan sesuatu hal yang melampau sehingga dia perlu memelihara jirannya dengan mengabaikan hak dirinya sendiri sebaliknya juga sehingga tidak mengabaikan hak jirannya dengan mengutamakan dirinya sendiri sebaliknya berlaku tangungjawab ini secara saksama.
Berikut ialah di antara hak jiran yang wajar dipelihara :
1) Tidak menyakiti jiran dan memelihara keamanan dengan jiran
Menyakiti jiran ialah satu dosa yang besar dan menjadikan seseorang dimurkai oleh Allah swt. Ini berdasarkan sabda baginda Rasulullah SAW : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya” .(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Muslim no. 47).
Perbuatan menyakiti jiran ini adalah dilarang baik dengan perbuatan, perkataan dan lisan juga dengan cara dan sikap yang ditunjukkan dan tidaklah menjadi seorang yang benar-benar beriman di sisi Allah bagi mereka yang bermusuhan dengan jirannya.
Daripada Abi Hurairah ra yang berkata telah bertanya kepada Rasulullah SAW akan perihal seorang perempuan yang sesungguhnya dia itu berpuasa siang dan mendirikan solat malam tetapi menyakiti jirannya dengan lisannya maka dijawab oleh baginda : “ Tidak ada kebaikan baginya dan dia itu berada di neraka” dan ditanyakan kepada baginda akan perihal seorang perempuan yang lain yang bersolat sekadar yang wajib dan berpuasa ramadhan dan bersedekah tetapi tidak menyakiti jirannya maka dijawab : “Maka dia berada di syurga”. (hadith sahih riwayat Ahmad)
2) Menghormati Jiran dan pengamalan mereka (kehidupan mereka) selama tidak membawa mudharat
Memuliakan jiran termasuk kewajipan dan menghormati mereka ialah perintah dari Allah serta termasuk salah satu tanda keimanan. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selama tidak membawa bahaya dan mudharat.
Baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.(hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Adapun bagi jiran yang beriman dan beragama Islam maka sekiranya jiran itu melakukan maksiat dan dosa serta kehidupannya tidak menuruti syariat Islam maka hendaklah didakwahkan dan berusaha dibimbing dengan nasihat dan teguran.
Sebaik-baik amal makruf dan mencegah mungkar itu ialah di dalam keluarga sendiri dan kemudian kepada jiran yang berdekatan. Menegur dan menasihati jiran dengan kebaikan dan kasih sayang, membimbing mereka kepada syariat Allah dan mencegah mereka dari melakukan maksiat ialah sebaik-baik dakwah dan cara memuliakan mereka.
3) Memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka
Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat dari banyak panduan dari hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar ra yang menyebut telah bersabda Rasulullah SAW: “Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”.(hadith sahih riwayat Muslim).
Juga daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda Rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.(hadith sahih riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
4) Membantu dan menolong mereka apabila dalam kesusahan
Termasuk di antara hak dan kewajipan seseorang terhadap jirannya ialah membantu dan berusaha mengurangkan beban jirannya yang kesusahan sekadar mampunya.
Rasulullah SAW bersabda : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”(hadith sahih riwayat Bukhari)
Islam menetapkan bahawa hendaklah jiran itu membantu sekadar mampu dirinya untuk meringankan beban dan tekanan yang dihadapi dari kesusahan oleh jirannya dan demikianlah Islam berusaha memberi pertunjuk sedapat mungkin ke arah mencapai bahagia.
5) Menjaga rahsia dan memelihara kepentingan mereka serta tidak berlaku khianat
Disebalik berusaha melakukan kebaikan kepada jiran dan membantu jiran maka seseorang itu juga harus berusaha mengelakkan dari mencederakan jirannya dan berlaku khianat serta membocorkan rahsia dan keaiban dari jirannya.
Hendaklah seorang yang beriman itu melindungi jirannya dari perkara yang membawa bahaya dan mudharat serta tidak menyerahkan mereka kepada musuhnya. Ini berdasarkan sabda baginda Rasulullah SAW yang menyebut : “Tidaklah masuk syurga orang yang tidak mengamankan jirannya dari sesuatu yang boleh membahayakannya” dan dalam riwayat lain “ orang yang tidak menyelamatkan jirannya dari sesuatu yang memudharatkannya” .(hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Memelihara jiran dari sesuatu yang bahaya, juga bermaksud tidak menyerahkan mereka kepada musuh dan membelot kepada mereka serta juga tidak membiarkan mereka tanpa amaran apabila adanya bahaya mendekati mereka.
Berlaku khianat kepada jiran boleh terjadi dengan cara membocorkan rahsia jiran yang boleh memalukan mereka, mencederakan maruah atau nyawa mereka dan harta benda mereka. Bahkan pelbagai cara boleh berlaku dan yang paling buruk dan jahat serta keji di sisi Allah ialah mengkhianati jiran dengan melakukan keburukkan kepada ahli keluarga mereka.
Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya seorang lelaki itu berzina dengan sepuluh orang wanita adalah lebih ringan baginya daripada berzina dengan isteri jirannya” demikian juga apabila ditanya tentang mencuri maka dijawab : “Mencurinya seseorang itu daripada sepuluh buah rumah lebih ringan baginya daripada mencuri dari rumah jirannya” .(hadith sahih riwayat Ahmad dan Bukhari) .
Kesimpulan
Hendaklah kita semua yang beriman kepada Allah dan rasul serta hari akhirat mentaati perintah agama dalam memuliakan jiran dan menunaikan hak-hak kejiranan sebaik dan semampu yang dapat diusahakan sebagai memenuhi kewajipan sebagai seorang yang beriman. Allah berfirman;“ Tidaklah Allah SWT meletakkan tanggungjawab pada seseorang melainkan dengan sekadar kemampuannya” (Al-Baqarah : 286).
Hak kejiranan dan panduan yang diberikan oleh Islam tidak lain ialah untuk mencapai apa yang disebutkan sebagai salah satu daripada kebahagiaan dan keamanan dalam hidup.
Jiran merupakan teman sekehidupan yang berada berhampiran dengan kehidupan kita seharian dan mereka mempengaruhi keselesaan dan persekitaran hidup diri kita dan ahli keluarga. Bagi yang mempunyai anak-anak, jiran dapat menjadi teman dan contoh kepada perkembangan anak-anak dan persekitaran yang terbentuk memberikan kesan kepada masa depan mereka.
Memiliki jiran yang beragama dan soleh dapat mempengaruhi kehidupan anak-anak dan memberikan contoh serta persekitaran yang selamat serta selesa kepada ahli keluarga. Juga dengan memenuhi tanggungjawab dan peranan sebagai jiran yang baik merupakan salah satu daripada tanda keimanan dan contoh kebaikan kepada diri sendiri dan keluarga.
Tidaklah bergelar muslim yang baik dan benar apabila seseorang itu memiliki nama terkenal dan berceramah atau melakukan dakwah tabligh ke masjid-masjid dan rumah orang lain sedangkan jirannya sendiri tidak didakwah dan kewajipan kepada ahli keluarga dan jiran yang berhampiran pun tidak dipenuhi.
Islam itu mementingkan hubungan kemanusiaan yang baik dan menghimpunkan di antara keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan kelakuan baik serta akhlak dan budi perkerti mulia terhadap insan dan hamba Allah yang lain.
Marilah kita bersama-sama menjadi jiran yang baik dan berdoa kepada Allah swt seperti sabda baginda : “Ya Allah berikanlah aku perlindungan dari jiran yang jahat di tempat tinggalku” (hadith sahih riwayat Ibn Hibban )
Semoga catatanku pada petang ini menyejukkan sedikit ketegangan yang berlaku di kalangan umat Islam dan memahami hakikat ukhuwah Islamiyah. Berbahagialah bagi mereka yang beramal soleh dan saling sayang-menyayangi sesama saudara seIslam, dan semoga Allah SWT akan mengembalikan kejernihan kepada kekeruhan yang sedang berlaku antara masyarakat ; Ya Allah! Kau ampunilah kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui"