Tuesday, November 1, 2011

Kesempurnaan Solat...

"Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku adalah keranaMu ya Allah Tuhan sekelian alam." Sekian lama kata-kata itu terucap dibibir sekian ramai umat Islam...tetapi sedarkah kita, betapa beratnya 'memikul' tanggungjawab 'perjanjian' itu dengan yang Berhak...Jika diimbaukan kembali, terasa amat kerdil dan hinanya diri kita yang seringkali melafazkan kata-kata janji tersebut tetapi dalam pada itu seringkali juga 'lalai' dalam menyempurnakannya dalam erti kata sebenar....atau mengaplikasikan sebagai satu bukti atau simbol tentang sejauhmana pengabdian kita kepada Allah. Bahkan setiapkali ketika kita berdiri untuk memperbaharui ikrar kita kepada Pencipta kita sekalipun, kita masih 'lalai' atau 'gagal' untuk menghadirkan hati batin kita sepenuhnya...Astaghfirullah....

Menyedari kenaifan dan kehinaan diri...maka amat terasa sekali akan kesuntukan waktu untuk menjadi yang terbaik di 'mata' Allah...Namun kehambatan masa sebegini, jangan dibiarkan diri terus hanyut dan leka dengan kehidupan dunia....Masa tidak menoleh ke belakang lagi...manusia tidak mungkin akan menjadi muda kembali...dan ia akan lebih cepat berlalu seandainya kita mensia-siakannya....Astaghfirullah...

Merenung dan menginsafi tentang kewajipan Solat yang difardukan ke atas umat Islam yang menjadi satu-satunya alat pengukur kepada keseluruhan kebajikan yang manusia lakukan...terasa amat TAKUT untuk menghadapi majlis 'bertemu' Allah nantinya...maka usaha untuk memperbaiki kesempurnaannya harus dilakukan sedikit demi sedikit...Sebenarnya terlalu besar bezanya antara SAH SOLAT dengan SOLAT SEMPURNA...Astaghfirullah...

Rata-rata solat yang dikerjakan oleh kita adalah sah dari segi syarat-syaratnya...namun adakah kita pasti solat yang kita tunaikan itu sempurna dan benar-benar diterima oleh Allah? Umar bin al-Khattab r.a pernah berkata: "Adakalanya seorang Muslim mencapai usia lanjut hingga janggutnya beruban, namun solatnya tidak ada yang sempurna untuk Allah S.W.T. Kemudian ada orang bertanya: "Apa sebab solat orang itu tidak sempurna?. Umar menjawab :"Kerana ia tidak menyempurnakan khusyuk dan tawadhuknya serta tidak pula menghadapkan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T...

Terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Saidina Abu Bakar r.a. ketika berdiri mengerjakan solatnya laksana patung, manakala Ibnu Zubair bagaikan sebatang pokok. Dan terdapat juga ahli ibadah yang sangat tenang ketika rukuknya sehingga burung hinggap di atasnya kerana menyangka benda 'mati'. Demikianlah contoh-contoh orang yang khusyuk dalam solatnya. Bagaimana dengan kita? Hal yang sedemikianlah yang kita TAKUTkan...Takut kalau-kalau solat tidak sempurna...bahkan tidak diterima oleh Allah s.w.t. Nauzubillahi min zalik.... Astaghfirullah...

Justeru, marilah sama-sama kita berusaha ke arah KESEMPURNAAN SOLAT.

Kita barangkali sering mendengar atau membaca tentang bagaimana mendapat solat yang sempurna. Solat yang sempurna bermula daripada bersuci yang sempurna. maksud bersuci ini sangat luas jika hendak di bincangkan secara terperinci. Untuk perbincangan yang serba ringkas ini, cukuplah rasanya diutarakan tentang konsep bersuci seperti istinjak, mandi wajib, suci daripada najis dan berwudhuk. Untuk mendapat solat yang sempurna maka ke semua konsep bersuci mesti dijaga dengan sempurna bagi menjamin SAH SOLAT. Bertitik tolak dari situlah, kesempurnaan dalam solat akan tercapai.

Rentetan dari cita-cita untuk mencapai solat yang sempurna marilah sama-sama kita hayati maksud firman Allah s.w.t yang berbunyi: "orang-orang yang LALAI dalam solat" : Surah al-Maaun : ayat 5.

Hassan al-Basri berpendapat, firman Allah s.w.t tersebut membawa maksud " orang yang lalai waktu solatnya hingga hampir habis waktu." Ada pula sebahagian pendapat yang lain menyatakan maksudnya ialah " Orang yang bila solatnya di awal waktu ia tidak merasa senang dan bila solatnya di akhir waktu ia tidak merasa sedih. Bahkan ia tidak menganggap menyegerakan solat sebagai suatu kebaikan dan tidak pula menganggap penundaannya sebagai suatu dosa." Justeru, latihlah diri dan hati batin untuk mempunyai niat atau keazaman untuk sentiasa solat di awal waktu dan menyedari keburukan solat di akhir waktu atau yang terlebih baiknya elakkan diri dari terbiasa dengan tabiat solat di akhir waktu...Mudah-mudahan solat diterima...Amin.

Dan alangkah indahnya iman seandainya kita dapat menyahut panggilan azan dengan menghadirkan ke dalam hati keDAHSYATan panggilan Hari Kiamat. Lantaran itu, maka kita akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi panggilan tersebut secepat mungkin. Ingatlah bahawa orang-orang yang cepat menyahut seruan azan itu kelak, pada Hari Mahsyar, Hari kebangkitan Akbar maka dia akan dipanggil dengan suara yang lemah lembut...Oleh itu, perhatikanlah bagaimana hati kita menyahut panggilan azan....dan bersegeralah untuk mengerjakan solat untuk mencapai kesempurnaan dalam mengerjakannya...Astaghfirullah...

Imam al-Ghazali berkata, ketika mula berdiri untuk menunaikan solat, hendaklah kita ingat (sebagai peringatan) tentang betapa dahsyatnya saat-saat berdiri di hadapan Allah s.w.t. pada Hari Akhirat. Jika kita boleh berdiri tegak, sopan dan penuh penghormatan bila berdiri di hadapan pemimpin atau raja...apatah lagi berdiri menghadap Allah s.w.t. Kita juga mungkin boleh membayangkan sedang berdiri untuk suatu sesi 'soal jawab' di hadapan Allah s.w.t. Untuk itu sudah tentu kita berdiri dalam keadaan TAKUT . Dan dalam erti kata lain takut ketika solat ialah KHUSYUK .

Jika direnung dengan mata hati, sebenarnya Khusyuk akan terhasil sekiranya orang itu solat dengan penyertaan hati batin.Apakah maksud penyertaan hati batin? Menurut Imam al-Ghazali lagi, solat ialah suatu ibadat yang penuh dengan kata-kata doa dan munajat serta zikir-zikir pujian terhadap Allah s.w.t. Oleh yang demikian ketika bersolat, seseorang itu bukan sahaja melakukan rukun-rukun af'al mahupun rukun qauli...tetapi memerlukan juga kesedaran hati (Qalbi) agar sentiasa sedar dan ingat bahawa Allah melihat gerak geri hambaNya. Kita juga hendaklah sentiasa sedar tentang keagungan Allah serta sedar juga tentang kekurangan diri sebagai hamba Allah dalam melaksanakan perintahNya (solat). Bermula dengan kesedaran tersebut maka akan timbullah perasaan khusyuk di dalam solat bahkan di luar solat....Astaghfirullah...

Ringkasnya, untuk mencapai Kesempurnaan Solat, ada beberapa perkara yang perlu dijaga, iaitu menjaga syarat-syarat SAH SOLAT, menjaga WAKTU SOLAT dan berusaha untuk KHUSYUK SOLAT...Selebihnya berdoa dan menyerahkan segala urusan kepada Allah s.w.t. Mudah-mudahan SOLAT SEMPURNA dan diterima Allah s.w.t. Amin...ya Rabbal Alamin....

Tulisan ini bukanlah tulisan yang terbaik untuk dijadikan sebagai rujukan untuk usaha mencari cara-cara ke arah kesempurnaan solat, tetapi ia lebih kepada membuka minda dan mencuit hati tentang kemungkinan ada kekurangan dalam solat kita seharian... Seperkara yang perlu kita ingat, sekiranya kita menganggap solat kita sudah sempurna tanpa sebarang kekurangan, yang sebenarnya adalah sebaliknya....tetapi selagi kita mahu mencari kesempurnaan solat, maka kita akan menemui dan merasai masih terlalu banyak solat kita yang kurang sempurna...Ilmu tentang solat perlu digali dan dicari sehingga ke akhir hayat. Solat kita perlu diperbaiki dari semasa ke semasa demi mencapai KESEMPURNAAN yang sebenar dan apa yang penting diTERIMA ALLAH...Orang yang sentiasa memperbaiki diri dalam ibadatnya demi mencari keredhaan Allah s.w.t adalah orang yang diberikan Taufik dan Hidayah olehNya, kerana Hidayah Allah s.w.t adalah hanya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Harapan kita Allah s.w.t meredhai usaha kita dan menerima segala ibadat kita.

"Rabbana taqabbal minna solatana tammah...waj 'allana muqimassolah da iman abada." Amin.


No comments:

Post a Comment