Showing posts with label Indahnya Kalam Suci.. Show all posts
Showing posts with label Indahnya Kalam Suci.. Show all posts

Sunday, August 1, 2010

Jadikan al-Quran Sebagai Kekasih.....


Tidak salah, malah dituntut supaya al-Quran dijadikan kekasih. Yang dimaksudkan dengan kekasih ialah sesuatu yang kita sayang, kita cinta, dan kita kasih dengan sepenuh hati. Tentu sekali kita tidak mahu berpisah dengan seseorang yang kita sayang bukan?, seperti ibubapa, suami, isteri, anak-anak dan yang lain yang telah bertakhta di hati. Sebab itulah perkataan ‘kekasih’ saya gunakan untuk lebih memudahkan saya membuat ulasan dalam tazkirah pada pagi ini.


Anggapkanlah al-Quran seumpama kekasih kita. Apabila sesuatu itu menjadi kekasih hati kita, maka akan lahirlah pelbagai cara kita menzahirkan rasa cinta itu. Dari itu, marilah kita merenung sejauh mana hati kita benar-benar mencintai al-Quran kalamullah yang Maha Agung ini.


Al-Quran sebagai kekasih boleh dibahagikankan kepada 3 ciri:
1. Al-Quran adalah Kekasih yang terlalu istimewa.
2. Al-Quran adalah Kekasih yang perlu dimuliakan.
3. Al-Quran adalah kekasih yang perlu sentiasa dibelai.

1. Al-Quran adalah Kekasih yang terlalu istimewa.

Tidak seperti membaca buku cerita atau novel cinta jika dibaca secara berulangkali pasti akan timbul rasa jemu kelak walaupun ia mengandungi bahasa yang cukup indah. Berbanding dengan al-Quran, biarpun kita membacanya berulangkali, tidak sedikitpun kita akan merasa jemu apatah lagi membencinya.Itulah istimewanya al-Quran. Bahkan kita akan terasa terhibur. Allah S.W.T. telah berfirman: (Surah al-Ra’d: 28)

Maksudnya : Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Malah dijanjikan oleh Allah SWT bagi sesiapa yang ikhlas mengharapkan keredhaanNya. Dengan memperbanyakkan zikrullah (membaca al-Quran dll zikir) maka dia akan memperoleh ketenangan yang membahagiakan.Dan zikrullah yang terbaik ialah membaca al-Quran.

2. Al-Quran adalah Kekasih yang perlu dimuliakan.

Al-Quran juga merupakan kekasih yang perlu dimuliakan kerana sifatnya yang berkat dan banyak manfaatnya. Dengan itu allah SWT telah menyeru agar kita mematuhi kandungan kekasih itu untuk mendapat keberkatan.


Malah Allah SWT juga menggariskan adab-adab untuk memuliakan al-quran. Antaranya apabila kita mendengar bacaan al-Quran, maka kita perlu mendengar dan berdiam diri sebagaimana ingatan Allah dalam surah al-A’raf : 204

Maksudnya: Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarkanlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

3. Al-Quran adalah kekasih yang perlu sentiasa dibelai

Jagalah al-Quran, sentiasalah berada di sampingnya. Rasuluillah SAW sering memberi amaran dan memerintahkan agar umatnya menjaga al-Quran dan tidak melupakannya.

Daripada Anas bin Malik, katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Dibentangkan kepadaku pahala umatku, sehingga pahala hasil perbuatan seseorang yang membuang kotoran daripada masjid. Dibentangkan juga kepadaku dosa-dosa umatku. Aku tidak dapati dosa yang lebih besar daripada satu surah atau satu ayat yang dikurniakan kepada seseorang kemudian dia melupakannya.” Riwayat Abu Daud dan Tarmizi.

Selain itu, kita membelainya dengan sifat kita berlumba-lumba untuk membacanya pagi dan malam malah berasa iri hati dengan ‘kegilaan’ orang lain membaca Kalamullah itu.

Daripada Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hasad itu (iri hati) tidak dibenarkan melainkan dua perkara, iaitu iri hati kepada seseorang yang dirahmati Allah dengan bacaan al-Quran siang dan malam, dan kepada seseorang yang dilimpahkan harta yang banyak dan dia membelanjakannya ke jalan Allah siang dan malam."

Sifat ini menggambarkan keinginan untuk memperolehi sesuatu yang sama dengan orang itu dan berlumba-lumba untuk terkehadapan dalam beramal adalah amat digalakkan.

Keutamaan membaca al-Quran:
1. Ibadat yang paling utama dari segi bacaan – manakala solat adalah sebesar2 ibadat dari segi geraklaku atau perbuatan.
2. Pahala membaca 1 huruf al-Quran :
• Sekiranya dibaca dalam solat = 100 kebajikan
• Sekiranya dibaca diluar solat dalam keadaan berwuduk = 50 kebajikan
• Sekiranya dibaca diluar solat tanpa wuduk = 10 kebajikan
• (menurut Ibnu Majah : digandakan sampai 400 kali, dan menurut Ibnu al-Jauzi : digandakan sampai 700 kali)
3. Balasan 1 huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga / dikatakan juga mendapat balasan sebatang pohon di syurga
4. Pembaca al-Quran adalah hartawan dan pahalanya tidak akan putus
5. Pembacanya dijamin keselamatan daripada api neraka.
6. Pembacanya mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia bersama Malaikat.
7. Al-Quran menjadi pembela kepada pembacanya.
8. Pembacanya akan memperoleh keamanan
9. Pembacanya dimasukkan ke dalam golongan siddiqin.
10. Membaca sebelum tidur akan mendapat kawalan malaikat. (Baca ayat Kursy / 3 Qul)



Semoga kita akan terus konsisten atau beramal secara berterusan untuk menjaga hubungan baik kita dengan al-Quran kekasih kita. Ingatlah Al-Quran adalah kekasih yang membahagiakan kita dunia dan akhirat.


Oleh itu, teruskan usaha mempelajari al-Quran, membaca al-Quran seterusnya menghayati keindahan yang ada di dalamnya. Sesungguhnya dengan niat yang baik dan ikhlas, pastinya al-Quran adalah kekasih awal dan akhir kita. Jangan mudah putus asa untuk mempelajarinya….selagi ada kemahuan di situ ada jalan.


Bersempena dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak, sematkanlah azam untuk sama-sama membaca al-Quran dan sekurang-kurangnya dapat sekali khatam di sepanjang bulan Ramadhan yang semakin hampir ini.

Indahnya Kalam Suci...anugerah Ilahi.

Saturday, May 22, 2010

Mari Mengaji




Ayuh mari kita membaca Al-Quran setiap hari kerana:

Di dalam hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah baca Al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat untuk mensyafaati di atas pihak pembacanya

Di dalam hadith Qudsi bhawa Allah SWT berfirman: Orang yang sibuk membaca Al-Quran dengan mengaji, menghafal dan berfikirkan tentangnya dengan tafsir dan terjemahannya dll, bahawa ia menghalangnya dari berzikir dan berdoa kepadaKU (iaitu ia tidak mempunyai masa untuk berzikir dan berdoa) maka Daku memberinya lebih daripada yang Daku beri kepada orang yang berdoa kepadaKU bagi memenuhi keperluannya (iaitu Daku sempurnakan segala keperluan dan hajatnya). Rasulullah SAW bersabda bahawa ‘kalam Allah’ mempunyai kelebihan di atas segala makhluknya.


Di dalam hadith yang lain bahawa Rasulullah SAW bersabda: barangsiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-Quran) baginya satu hasanah dan satu pahala digandakan sepuluh kali ganda. Daku tidak etakan bahawa Alif, Laam dan Miim sebagai satu huruf, tetapi Alif ialah satu huruf, Laam satu huruf, Miim satu huruf (jadi dalam membaca Alif, Laam Miim terdapat tiga hasanah dan ganjaran minimum menyamai tiga puluh kebajikan)

Di dalam hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda: Dua orang sahaja yang boleh dicemburui, pertama seorang yang Allah SWT berikan Al-Quran yang ia amalkan pada siang hari dan malamnya dan keduanya, seorang yang Allah SWT berikan harta dan ia belanjakan harta siang dan malam menurut perintahNYA.

Di dalam hadith yang lain bahawa pada hari kiamat ia akan dikatakan kepada pembaca Al-Quran teruskan membaca Al-Quran dan naiklah darjat kamu dalam syurga. Bacalah dengan tartil dan mudah di dalam dunia kerana darjat dan kedudukan kamu akan berada pada ayat terakhir yang kamu akan baca.

Di dalam hadith yang lain bahawa barangsiapa yang membaca Quran dan ia seorang yang mahir (iaitu ia membaca dengan lancar, maka pada hari kiamat ia akan bersama dengan mereka yang dimuliakan dan malaikat yang suci yang menulis amalan yang baik. Dan barangsiapa yang membacanya dengan tersekat-sekat tanpa lancar kerana tidak menghafalnya dan dengan cara ini, mengalami kesulitan dalam membaca mendapat dua kali ganda pahala (satu kerana membaca Al-Quran dan satu lagi kerana mengalami kesulitan dalam membaca)


Dan pembaca al-Quran dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu;


1. Kategori Al-Muqantorin (Jutawan) - bilangan ayat yang di baca ialah antara 300 - 1000 ayat

2. Kategori Al-Fa'izin (Berjaya) - bilangan ayat yang dibaca antara 200 - 299 ayat

3. Kategori Al-Qanitin (Setia) - bilangan ayat yang dibaca antara 100 - 199 ayat


4. Kategori Al-Hafizin (Pemelihara) - bilangan ayat yang dibaca antara 50 - 99 ayat

5. Kategori Al-Zakirin ( Ingat ) - bilangan ayat yang dibaca 10 - 49 ayat

6. Kategori Al-Ghafilin ( Lalai ) - bilangan ayat yang dibaca 0 - 9 ayat


Jadilah generasi yang mencintai al-Quran....


Friday, May 21, 2010

Bacalah al-Quran selalu...

Sesungguhnya membaca al-Quran ini sungguh mengasyikkan, apatah lagi jika kita mengerti maksud kalimahnya. Banyak ilmu dan peringatan di dalamnya. Jadikanlah membaca al-Quran sebagai satu kemestian bagi kita setiap hari.
Antara Surah-Surah Pilihan yang boleh dibaca setiap sekali sehari ialah;

1. Surah al-Mulk - 30 ayat (kelebihannya bebas dari azab kubur)

2. Surah al-Waqiah - 96 ayat (kelebihannya, jika dibaca setiap malam maka Allah permurahkan rezeki dan permudahkan segala urusan,, terhindar dari kepayahan buat selama-lamanya jika dibaca kepada orang sakit akan ringanlah sakitnya, jika dibaca kepada orang yang nazak akan dipermudahkan sakaratul maut dengan izin Allah, jika dibaca kepada ahli kubur, akan diringankan siksa kubur.)

3. Surah al-Rahman (kelebihannya dimurahkan rezeki)

4. Surah al-Kahf - 110 ayat ( kelebihannya dijauhkan dari dajjal dan sesiapa membacanya pada hari Jumaat akan disinari cahaya sehingga dua Jumaaat)

5. Surah Yasin - 83 ayat (kelebihannya dijauhkan dari gangguan syaitan, menyembuhkan penyakit, mengembalikan tenaga, menerangkan hati, memudahkan urusan dan memudahkan sakaratul maut)

6. Surah al-Dukhan.- 59 ayat (kelebihannya, bagi sesiapa yang membacanya pada setiap malam maka pada esok harinya 70,000 malaikat akan memohon keampunan baginya, manakala membacanya pada malam atau hari Jumaat maka Allah akan membina sebuah rumah baginya di dalam syurga)



Iqra' ...bacalah al-Quran setiap hari kelak ia akan membela kita....

"Al-Quran hujjatun laka au hujjatun 'alaika"




by;