Wednesday, June 16, 2010

Hidupkan Solat Witir


Salam Ukhuwah. Selawat serta salam buat Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman:
“Katakanlah (Wahai Muhmmad): Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah s.a.w.), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali 'Imraan, 3: 31)

dan firman Allah SWT lagi:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab, 33: 21)

Sejujurnya jika kita mampu memahami dan menghayati kedua-dua maksud firman Allah SWT di atas, ia sudah cukup untuk menggambarkan bahawa kita sebenarnya telah berada di jalan yang benar...tinggal lagi, kita harus mencuba untuk melangkah ke arah yang seterusnya supaya ianya lebih maju dan lebih bermanfaat. Memahami dan menghayati itu bermaksud seseorang itu telah beriman kepada Allah dan RasulNya, tetapi itu saja belum menjadikan seseorang itu benar-benar beriman selagi dia belum beramal, kerana ilmu, iman dan amal adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan untuk menjamin kesempurnaan seorang Muslim yang sejati.

Solat Sunat Witir merupakan salah satu Sunnah Rasulullah SAW dan ia merupakan salah satu solat yang paling disukai baginda.
Abu Hurairah berkata: "Telah berwasiat kepadaku kekasihku SAW dengan tiga perkara: Berpuasa pada setiap bulan tiga hari, solat dhuha dua rakaat dan supaya aku solat witir sebelum aku tidur”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Solat Sunat Witir merupakan solat sunat yang dilakukan selepas solat Isyak dan kebiasaannya dirangkaikan dengan solat Sunat Tarawih. Walau bagaimanapun Solat Sunat Witir ini , sebenarnya menjadi amalan Rasulullah SAW pada setiap malam. dan bukanlah diamalkan hanya di bulan Ramadhan sahaja. ‘Aisyah ra meriwayatkan: "Dari kesemua malam sesungguhnya Rasulullah SAW mengerjakan solat witir iaitu dipermulaan malam, ditengah malamnya dan diakhir malamnya dan (waktu) witir berakhir sampai sahur (terbit fajar)”. (H/R Bukhari, Muslim, Ahmad, )

Bilangan rakaat solat Sunat Witir ialah ganjil iaitu 1, 3, 5, 7, 9 atau 11 rakaat. Biasanya dilaksanakan secara berjemaah dan boleh juga dilakukan secara bersendirian. Marilah kita sama-sama mempelajari cara Solat Sunat Witir sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Pada kebiasaannya, apabila bersolat witir baginda tidak memisahkan antara rakaat kedua dengan rakaat ketiga tetapi ada kalanya baginda melakukannya satu rakaat.‘Aisyah ra meriwayatkat, katanya: "Adalah Rasulullah SAW berwitir tiga rakaat, baginda tidak memisahkan antara rakaat-rakaat tersebut”. (H/R Ahmad)

Walaubagaimanapun menurut Syeikh Nasruddin al-Albani, sanad hadis ini lemah ضعيف “dhaif” kerana Nabi SAW pernah bersabda: “Dan sesiapa yang mahu berwitir satu rakaat, maka lakukanlah”. (H/R Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan Nasaii) .

‘Aisyah ra juga pernah berkata bahawa: Rasulullah SAW pernah solat (tahajjud), iaitu selepas solat ‘Isyak sehingga fajar sebanyak sebelas rakaat, baginda salam setiap dua rakaat dan berwitir dengan satu rakaat”. (H/R Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud, Nasaii dan Ibnu Majah)

"Maka baginda memulakan dengan solat dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat dan kemudian berwitir satu rakaat”. (H/R Bukhari dan Muslim )

Ada kalanya baginda SAW mengerjakan solat witir sembilan rakaat, tujuh rakaat, lima rakaat dengan satu salam. Dan ada kalanya tiga dan pernah juga satu rakaat sebagaimana dijelaskan di dalam hadis-hadis sahih di bawah ini:

“Abi Ayyub berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: Solat witir itu adalah haq. Maka sesiapa yang suka berwitir dengan lima rakaat, maka lakukanlah, sesiapa yang berwitir dengan tiga rakaat maka lakukanlah dan sesiapa yang solat witir dengan satu rakaat maka kerjakanlah”. (H/R Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan Nasaii)

“Ummi Salamah pula meriwayatkan bahawa: Rasulullah SAW pernah solat witir tujuh rakaat dan lima rakaat dengan tidak memisahkan antara rakaat-rakaat tersebut dangan salam atau perkataan”. (H/R Ahmad, Nsaii dan Ibnu Majah)

“Saad bin Hisyam meriwayatkan bahawa sesungguhnya ia pernah bertanya kepada ‘Aisyah: Khabarkanlah kepadaku tentang witirnya Rasulullah SAW: Maka ‘Aisyah berkata: Kami biasa menyediakan untuk baginda gosok gigi dan air wuduknya, maka kemudian Allah akan membangunkan baginda jika Ia kehendaki untuk membangunkannya diwaktu malam. Kemudian baginda bersiwak lalu berwuduk, kemudian solat sembilan rakaat yang baginda tidak duduk (tasyahhud) di rakaat tersebut kecuali di rakaat yang kelapan, maka baginda duduk berzikir kepada Allah dan memujiNya, berdoa kepadaNya, kemudian baginda bangun dan tidak salam, kemudian baginda berdiri melanjutkan solatnya kerakaat yang kesembilan. Kemudian dirakaat yang kesembilan baginda duduk, berzikir, memujiNya dan berdoa (iaitu bertasyahhud), kemudian baginda memberi salam yang benar-benar baginda dengarkan kepada kami. Sesudah salam baginda solat dua rakaat sambil duduk. Maka yang demikian berjumlah sebelas rakaat wahai anakku. Maka setelah Nabi SAW sudah tua dan gemuk, baginda witir tujuh rakaat, baginda tidak duduk tasyahhud, kecuali dirakaat keenam dan ketujuh, dan tidak salam kecuali dirakaat yang ketujuh. Dan baginda lakukan dua rakaat sambil duduk seperti yang ia kerjakan tadi. Maka yang demikian itu semuanya berjumlah sembilan rakaat wahai anakku”. (H/R Muslim 2/169. 179. Abu Daud no 1342. Ahmad dan Nasaii)

Semasa mengerjakan solat Sunat Witir ini juga Rasulullah SAW membaca ayat-ayat dan doa-doa yang tertentu. Ubay bin Ka’ab meriwayatkan: "Sesungguhnya Nabi SAW membaca dalam solat witir (dirakaat pertama): Sabbihisma Rabbikal A’la. Dirakaat kedua: Qul Ya ayyuhul Kafirun. Dirakaat yang ketiga: Qul Huwallahu Ahad”. (H/R Nasaii, Abu Daud, Ahmad dan Ibn Majah)

Dan sekiranya kita khuatir tidak dapat bangkit dari tidur pada malamnya ,solat Sunat Witir boleh juga dikerjakan sebelum tidur . Itulah yang sebaik-baiknya, Jabir ra berkata: "Telah bersabda Rasulullah SAW: " sesiapa yang takut tidak dapat bangun diakhir malam, maka hendaklah ia solat witir pada awal malamnya dan sesiapa yang dapat bangun diakhir malamnya, maka hendaklah ia witir di akhir malamnya kerana sesungguhnya solat diakhir malam itu disaksikan dan yang demikian itu lebih utama”. (H/R Muslim)

Solat yang paling sempurna adalah mencontohi Rasulullah SAW sama ada cara-caranya, wakktunya, bilangan rakaatnya dan bacaannya.Untuk itu sama-samalah kita menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW ini kerana selain daripada menghidupkan sunnah, kita juga melakukan sesuatu yang sangat disukai oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah itu witir (ganjil), dan Dia menyukai witir, maka lazimkanlah solat witir, wahai ahli Al-Quran." HR Abud Dawud dan Tirmizi.



Sekian, Wallahu'alam.


Ibadat...pengabdian diri kepada al-Khaliq


No comments:

Post a Comment