Friday, May 28, 2010

Orang Sebelah

Salam Ukhuwah buat semua...

Pada petang ini,rancangan kegemaranku, iaitu rancangan "al-Kulliyyah" sedang bersiaran menjadi halwa telinga kami sekeluarga.Tajuknya ialah "Orang Sebelah". Tajuk ni nampaknya seperti biasa-biasa saja...tapi sebenarnya 'orang sebelah' ni merupakan topik yang sangat dituntut untuk memahami dan menghayati konsepnya seterusnya mengetahui tahap kepentingannya dalam amalan sebagai seorang muslim, sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini.

Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam berkewajiban mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan dan jalan keluar bagi satu-satu kesulitan atau masalah.

Tuntutan berbuat baik terhadap jiran ini ada termaktub dalam ayat 36 Surah al-Nisa': "Dan beribadatlah kamu kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatupun, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang takbur dan membangga-banggakan diri".

Berdasarkan firman Allah SWT tersebut, jelaslah menunjukkan Allah SWT memerintahkan kepada semua hambaNya agar berbuat baik terhadap jiran. Allah menghimpunkan sekali dalam ayat di atas perintah untuk beribadah kepada Allah dengan perintah untuk berlaku baik kepada hamba-hamba-Nya sebagai tanda Islam ini bukan sahaja menjalin hubungan dengan pencipta sebaliknya juga menyatukan manusia di dalam satu kewajipan untuk berlaku baik sesama manusia sebagai termasuk menunaikan ketaatan kepada Allah swt.

Allah menyebut ( وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَ) : iaitu yang bermaksud jiran yang padanya terdapat hubungan kekeluargaan atau pertalian darah atau jiran muslim yang sama agama. Juga ada yang mengatakan dimaksudkan dengan ayat ini ialah jiran yang rumahnya berdekatan.

Allah juga menyebut (وَالْجَارِ الْجُنُبِ ) : iaitu jiran yang memberi maksud lawan kepada yang sebelumbya tadi iaitu jiran yang tidak memiliki hubungan darah atau kekeluargaan atau juga jiran yang berjauhan rumahnya.

Kesemua makna yang tersebut di atas menrangkumi makna jiran dan memiliki hak ke atas muslim yang beriman dengan Allah swt untuk berlaku baik kepada jiran baik yang beragama Islam atau bukan baik yang berhubungan darah atau yang tidak ada hubungan darah baik yang berdekatan rumah atau berjauhan.

Menurut Al-Hafidz Imam Ibn Hajar ra : “ Maksud nama jiran itu ialah merangkumi baik yang muslim atau yang kafir, baik yang beribadah atau yang fasiq, baik rakan atau musuh, baik yang asing atau yang senegeri, baik yang memberi manfaat atau mudharat serta baik yang mempunya kekeluargaan atau yang tidak ada hubungan atau juga yang berhampiran rumahnya atau yang jauh rumahnya dan kesemuanya memiliki hak dan kedudukan antara satu sama lain..”

Rasulullah SAW juga ada bersabda :“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .(hadith sahih riwayat Ibn Hibban)

Disebut oleh baginda rasulullah bahawa memiliki jiran yang baik termasuk salah satu di antara tanda-tanda kebahagiaan dan memperolehi jiran yang jahat dan tidak baik termasuk tanda keburukkan dan derita. Islam merupakan agama yang sempurna dan lengkap dengan segala pertunjuk dalam pelbagai perkara termasuk dalam soal kemasyarakatan.

Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat.

Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa.

Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya.

Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan asek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.

Menghormati dan Memuliakan Jiran

Rasulullah SAW bersabda: “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.

Hadith di atas sangatlah besar pengertiannya apabila Rasulullah SAW menghimpunkan keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan berlaku baik kepada jiran . Hal ini sekaligus menunjukkan bahwa beriman kepada Allah itu bukanlah hanya di lisan atau hati sebaliknya mencakupi urusan kehidupan dan cabang-cabangnya sangatlah banyak serta salah satu dari cabang iman itu ialah memuliakan jiran dan berlaku baik kepadanya.Sebenarnya ada pendapat mengatakan bahawa diantara 70 cabang iman, yang ke 67 nya ialah menghormati dan memuliakan jiran.

Menyayangi jiran juga termasuk dari perintah Islam seperti dalam hadith nabi yang menyebut : “ Demi zat yang jiwaku berada dalam genggamannya tidaklah beriman seorang hamba itu sehingga dia mencintai jirannya atau saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri” .
(hadith sahih riwayat Muslim no. 45).

Demikianlah diterangkan oleh baginda Rasulullah SAW bahawa hendaklah mencintai jiran dan memelihara hak mereka seperti mana kita mencintai diri kita sendiri dan mahu hak-hak kita dijagai dan dipelihara. Bahkan demikian itu merupakan kesempurnaan iman dan tanda sebagai seorang yang beriman kepada Allah.


Hak Jiran

Kejiranan ialah satu daripada fitrah manusia yang hidup dalam masyarakat dan Islam itu berada di antara pertengahan dalam banyak perkara dengan tidak berlebih dan berkurang. Menyentuh perihal jiran, Islam tidak membebani seseorang itu dengan sesuatu hal yang melampau sehingga dia perlu memelihara jirannya dengan mengabaikan hak dirinya sendiri sebaliknya juga sehingga tidak mengabaikan hak jirannya dengan mengutamakan dirinya sendiri sebaliknya berlaku tangungjawab ini secara saksama.

Berikut ialah di antara hak jiran yang wajar dipelihara :

1) Tidak menyakiti jiran dan memelihara keamanan dengan jiran

Menyakiti jiran ialah satu dosa yang besar dan menjadikan seseorang dimurkai oleh Allah swt. Ini berdasarkan sabda baginda Rasulullah SAW : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya” .(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Muslim no. 47).


Perbuatan menyakiti jiran ini adalah dilarang baik dengan perbuatan, perkataan dan lisan juga dengan cara dan sikap yang ditunjukkan dan tidaklah menjadi seorang yang benar-benar beriman di sisi Allah bagi mereka yang bermusuhan dengan jirannya.

Daripada Abi Hurairah ra yang berkata telah bertanya kepada Rasulullah SAW akan perihal seorang perempuan yang sesungguhnya dia itu berpuasa siang dan mendirikan solat malam tetapi menyakiti jirannya dengan lisannya maka dijawab oleh baginda : “ Tidak ada kebaikan baginya dan dia itu berada di neraka” dan ditanyakan kepada baginda akan perihal seorang perempuan yang lain yang bersolat sekadar yang wajib dan berpuasa ramadhan dan bersedekah tetapi tidak menyakiti jirannya maka dijawab : “Maka dia berada di syurga”.
(hadith sahih riwayat Ahmad)

2) Menghormati Jiran dan pengamalan mereka (kehidupan mereka) selama tidak membawa mudharat

Memuliakan jiran termasuk kewajipan dan menghormati mereka ialah perintah dari Allah serta termasuk salah satu tanda keimanan. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selama tidak membawa bahaya dan mudharat.

Baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.(hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Adapun bagi jiran yang beriman dan beragama Islam maka sekiranya jiran itu melakukan maksiat dan dosa serta kehidupannya tidak menuruti syariat Islam maka hendaklah didakwahkan dan berusaha dibimbing dengan nasihat dan teguran.

Sebaik-baik amal makruf dan mencegah mungkar itu ialah di dalam keluarga sendiri dan kemudian kepada jiran yang berdekatan. Menegur dan menasihati jiran dengan kebaikan dan kasih sayang, membimbing mereka kepada syariat Allah dan mencegah mereka dari melakukan maksiat ialah sebaik-baik dakwah dan cara memuliakan mereka.

3) Memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka

Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat dari banyak panduan dari hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar ra yang menyebut telah bersabda Rasulullah SAW: “Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”.(hadith sahih riwayat Muslim).

Juga daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda Rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.(hadith sahih riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

4) Membantu dan menolong mereka apabila dalam kesusahan

Termasuk di antara hak dan kewajipan seseorang terhadap jirannya ialah membantu dan berusaha mengurangkan beban jirannya yang kesusahan sekadar mampunya.

Rasulullah SAW bersabda : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”(hadith sahih riwayat Bukhari)

Islam menetapkan bahawa hendaklah jiran itu membantu sekadar mampu dirinya untuk meringankan beban dan tekanan yang dihadapi dari kesusahan oleh jirannya dan demikianlah Islam berusaha memberi pertunjuk sedapat mungkin ke arah mencapai bahagia.

5) Menjaga rahsia dan memelihara kepentingan mereka serta tidak berlaku khianat

Disebalik berusaha melakukan kebaikan kepada jiran dan membantu jiran maka seseorang itu juga harus berusaha mengelakkan dari mencederakan jirannya dan berlaku khianat serta membocorkan rahsia dan keaiban dari jirannya.

Hendaklah seorang yang beriman itu melindungi jirannya dari perkara yang membawa bahaya dan mudharat serta tidak menyerahkan mereka kepada musuhnya. Ini berdasarkan sabda baginda Rasulullah SAW yang menyebut : “Tidaklah masuk syurga orang yang tidak mengamankan jirannya dari sesuatu yang boleh membahayakannya” dan dalam riwayat lain “ orang yang tidak menyelamatkan jirannya dari sesuatu yang memudharatkannya” .(hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Memelihara jiran dari sesuatu yang bahaya, juga bermaksud tidak menyerahkan mereka kepada musuh dan membelot kepada mereka serta juga tidak membiarkan mereka tanpa amaran apabila adanya bahaya mendekati mereka.

Berlaku khianat kepada jiran boleh terjadi dengan cara membocorkan rahsia jiran yang boleh memalukan mereka, mencederakan maruah atau nyawa mereka dan harta benda mereka. Bahkan pelbagai cara boleh berlaku dan yang paling buruk dan jahat serta keji di sisi Allah ialah mengkhianati jiran dengan melakukan keburukkan kepada ahli keluarga mereka.

Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya seorang lelaki itu berzina dengan sepuluh orang wanita adalah lebih ringan baginya daripada berzina dengan isteri jirannya” demikian juga apabila ditanya tentang mencuri maka dijawab : “Mencurinya seseorang itu daripada sepuluh buah rumah lebih ringan baginya daripada mencuri dari rumah jirannya” .(hadith sahih riwayat Ahmad dan Bukhari) .


Kesimpulan

Hendaklah kita semua yang beriman kepada Allah dan rasul serta hari akhirat mentaati perintah agama dalam memuliakan jiran dan menunaikan hak-hak kejiranan sebaik dan semampu yang dapat diusahakan sebagai memenuhi kewajipan sebagai seorang yang beriman. Allah berfirman;“ Tidaklah Allah SWT meletakkan tanggungjawab pada seseorang melainkan dengan sekadar kemampuannya” (Al-Baqarah : 286).

Hak kejiranan dan panduan yang diberikan oleh Islam tidak lain ialah untuk mencapai apa yang disebutkan sebagai salah satu daripada kebahagiaan dan keamanan dalam hidup.

Jiran merupakan teman sekehidupan yang berada berhampiran dengan kehidupan kita seharian dan mereka mempengaruhi keselesaan dan persekitaran hidup diri kita dan ahli keluarga. Bagi yang mempunyai anak-anak, jiran dapat menjadi teman dan contoh kepada perkembangan anak-anak dan persekitaran yang terbentuk memberikan kesan kepada masa depan mereka.

Memiliki jiran yang beragama dan soleh dapat mempengaruhi kehidupan anak-anak dan memberikan contoh serta persekitaran yang selamat serta selesa kepada ahli keluarga. Juga dengan memenuhi tanggungjawab dan peranan sebagai jiran yang baik merupakan salah satu daripada tanda keimanan dan contoh kebaikan kepada diri sendiri dan keluarga.

Tidaklah bergelar muslim yang baik dan benar apabila seseorang itu memiliki nama terkenal dan berceramah atau melakukan dakwah tabligh ke masjid-masjid dan rumah orang lain sedangkan jirannya sendiri tidak didakwah dan kewajipan kepada ahli keluarga dan jiran yang berhampiran pun tidak dipenuhi.

Islam itu mementingkan hubungan kemanusiaan yang baik dan menghimpunkan di antara keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan kelakuan baik serta akhlak dan budi perkerti mulia terhadap insan dan hamba Allah yang lain.

Marilah kita bersama-sama menjadi jiran yang baik dan berdoa kepada Allah swt seperti sabda baginda : “Ya Allah berikanlah aku perlindungan dari jiran yang jahat di tempat tinggalku” (hadith sahih riwayat Ibn Hibban )

Semoga catatanku pada petang ini menyejukkan sedikit ketegangan yang berlaku di kalangan umat Islam dan memahami hakikat ukhuwah Islamiyah. Berbahagialah bagi mereka yang beramal soleh dan saling sayang-menyayangi sesama saudara seIslam, dan semoga Allah SWT akan mengembalikan kejernihan kepada kekeruhan yang sedang berlaku antara masyarakat ; Ya Allah! Kau ampunilah kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui"



No comments:

Post a Comment