Thursday, October 13, 2011

Menjemput Hidayah...

Sebuah keluarga yang diredhai Allah S.W.T. ialah sebuah keluarga yang mendapat hidayah mencurah-curah. Setiap detik mereka sentiasa di bawah bimbingan Allah S.W.T. Inilah yang sebenarnya yang menjadi prioriti atau keutamaan dalam kehidupan sesebuah keluarga. Sepatutnya hal inilah yang sepatutnya menjadi igauan setiap ahli keluarga...kalaupun bukan semua yang sering 'mengingau'kan sedemikian...alangkah mulianya jika terdapat dikalangan mereka yang sentiasa mahu dan menyedari kepentingannya...kepentingan hidup dalam keredhaan Allah S.W.T. Apalah erti hidup ini jika tidak mendapat redhanya Allah, apa lagi gagal meraih cintanya Allah dan RasulNya...???

Ayuhlah kita sama-sama berusaha ke arah tersebut. Usahalah agar Allah S.W.T. sentiasa meredhai kehidupan kita...Jemputlah hidayahNya dalam setiap langkah kehidupan kita...

Patuh Suruhan Allah dan Tinggalkan LaranganNya.
Hidayah Allah S.W.T akan datang kepada sesiapa yang dikehendakinya...Namun begitu, kita disuruh berusaha untuk menjemputnya hadir dalam kehidupan kita. Jemputlah hidayah Allah S.W.T. dengan mengamalkan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarangNya. Ibu bapa bertanggungjawab menunjukkan contoh terbaik dalam soal kepatuhan terhadap perintah Allah ini. Selain itu, ibu bapa juga wajib mendidik anak-anak dan memastikan ketaatan terhadap perintah dan larangan Allah S.W.T dipatuhi. Dalam proses amalan dan pendidikan tersebut, dengan sendirinya hidayah akan hadir mencurah-curah...

Baca al-Quran setiap hari.
Al-Quran adalah mukjizat paling agung daripada Allah S.W.T buat kekasihNya Nabi Muhammad S.A.W. Oleh kerana itu segala petunjuk dan panduan terdapat di dalamnya, di susun dan di atur penuh kesempurnaan dan kemukjizatan. Membaca al-Quran wajib menjadi salah satu agenda harian dalam sesebuah keluarga. Ibubapa sebagai tunggak utama dalam sesebuah keluarga wajib meletakkan keutamaan ini dalam jadual harian sekeluarga. Anak-anak perlu dididik mempelajari, membaca dan memuliakan al-Quran setiap hari. Bahkan al-Quran harus dimiliki oleh setiap ahli keluarga secara personalnya. Sesiapa yang mengamalkan membaca al-Quran setiap hari secara rutin, sudah pasti akan merasai hadirnya hidayah Allah S.W.T. Hatinya akan menjadi lunak ke arah kebaikan dan mudah tersentuh dengan kebejatan dunia. Itulah petanda hadirnya hidayah....

Sebarkan Salam
Ucapan salam sebenarnya adalah doa terhadap saudara muslim kita yang lain. Ia boleh menjadi sebab turunnya rahmat Allah dan redhaNya terhadap sesiapa saja yang mengamalkannya. Oleh yang demikian jadi ia satu budaya dalam kehidupan. Didiklah anak kita memberi salam sebelum keluar rumah dan juga bila balik ke rumah. Sebarkan salam ketika masuk ke bilik anak-anak. Anak-anak akan rasa diri dihormati. Secara tidak langsung akan meningkatkan rasa hormat anak-anak terhadap ibu bapa. Demikian juga anak-anak juga perlu diajar agar sebarkan salam ketika masuk ke bilik ibu bapa. Demikian juga ketika balik dari tempat kerja walaupun rumah kosong. Mudah-mudahan dengan amalan sebegini, setiap saat dan ketika, keluarga kita akan dirahmati dan diredhai olehNya lantaran doa yang sentiasa dilontarkan antara satu sama lain.

Saling Nasihat Menasihati
Sebagai ibubapa, menasihati anak-anak adalah antara tanggungjawab yang sama sekali tidak boleh diabaikan. Luqman al-Hakim adalah contoh bapa terbaik yang sentiasa menasihati anak-anaknya dengan kebaikan (rujuk surah Luqman ayat 13 hingga 19). Oleh yang demikian, nasihatilah anak-anak dengan hikmah dan bijaksana mengikut keadaan semasa dan keadaan anak itu sendiri. Tunjukkan bukti atau bahan-bahan yang boleh menyentuh perasaan anak-anak , mudah-mudahan hidayah milik mereka dan juga ibubapa .

Solat Berjemaah
Usaha untuk mengundang hadirnya hidayah juga boleh dilakukan menerusi Solat Berjemaah. Ia juga boleh dijadikan agenda sekeluarga pada masa-masa yang tertentu. Oleh kerana seorang lelaki atau bapa dalam sesebuah keluarga menjadi fardu kifayah berjemaah di masjid-masjid bagi tujuan meningkatkan syiar Islam, maka sesekali dianjurkan juga menjadi Imam solat dalam keluarganya sendiri. Atau sesekali si abang juga mengambil peranan solat berjemaah bersama adik-beradik yang lain. Alangkah suburnya hidayah dan iman dalam keluarga yang mengamalkan solat berjemaah.

Melayan Tetamu
Tetamu adalah orang yang datang ke rumah kita sama ada diundang atau tidak diundang. Melayan tetamu hukumnya wajib. Lantaran kewajiban tersebut, anak-anak perlu dididik dan dilatih beradab sopan ketika menyambut dan melayan tetamu. Islam amat memandang mulia terhadap adab melayan tetamu sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud; "Apapila tetamu masuk ke dalam rumah, ia masuk bersama rezekiNya, Apabila ia keluar, ia keluar bersama keampunan dosa tuan rumah."

1 comment:

  1. Sesekali merenung peribadi...alangkah takutnya untuk menghadapi HARI-HARI ABADI...masih tiada bekal yang mencukupi...bahkan setiap hari, masih ada dosa yang mengiringi...

    ReplyDelete