Monday, July 5, 2010

Keikhlasan Bekerja...

Salam Ukhuwah.

Dalam kehidupan ini, perkara yang tidak disangka-sangkakan seringkali berlaku . Malahan, perancangan dan jangkaan kita seringkali tersasar dari reality atau takdir yang dipersembahkan kepada kita. Hakikatnya, kita hanyalah merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Oleh yang demikian, kita seharusnya sentiasa merasa bersyukur dengan apa yang kita miliki hari ini dan terus berusaha mencari kepuasan dalam apa jua yang kita lalui...dan kepuasan itu tidak akan hadir tanpa didahului dengan rasa keikhlasan melakukannya.


Dalam soal kepuasan bekerja..kebanyakan daripada mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘pekerja’ tak kiralah apa jua pekerjaannya atau jawatannya, sudah tentu mempunyai harapan atau expectationnya yang tersendiri, Jika kita perhatikan dalam dunia hari ini, kebanyakan daripada mereka amat mengharapkan sesuatu ganjaran daripada hasil kerja yang mereka lakukan. Maka senario ini mewujudkan satu keadaan yang kurang selesa iaitu munculnya ‘kaki bodek boss’, ‘tukang kipas boss’ dan wujud juga agenda fitnah memfitnah antara satu sama lain...atau adengan ‘curi tulang...’


Demikian juga senario bagi mereka bekerja sendiri, seperti pekedai runcit, pengusaha makanan, pengusaha pusat penyembelihan lembu,kambing atau ayam, mereka juga punya harapan untuk menjadi cepat kaya. Pelbagai cara dilakukan untuk mengaut keuntungan yang lebih, termasuk menjual dengan harga yang tinggi, mengelak daripada terpaksa membayar cukai kepada kerajaan, menyogok pegawai-pegawai yang terlibat dan sebagainya.


Bila menyebut bab sogok-menyogok ni, tak susah kita mendapatkan contoh. Di kiri kanan kita, adengan ini biasa kita baca dalam akhbar-akhbar dan juga kita lihat berlaku di sekeliling kita. Biasanya ia melibatkan pihak-pihak penguatkuasaan .


Sebenarnya, apalah yang ‘untung’ sangat daripada hasil usaha sedemikian?Kalaulah dapat jadi kaya sekalipun, mungkinkah kekayaan dengan cara itu akan kekal sampai ke anak cucu? Keuntungan yang diperolehi melalui jalan yang tidak betul biasanya tidak membahagiakan...ada saja ketidaktenangan dan ketidaktenteraman berlaku dalam kehidupannya...kadang-kadang keadaan itu sendiri, masih belum dapat membuka mata mereka...itulah yang dinamakan hilangnya hidayah Allah...wa nau'uzubillahi min zalik!!


Justeru itu, ayuhlah kita sama-sama fikirkan...untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Jadikan dunia ini sebagai jambatan untuk ke akhirat, barulah kebahagiaan yang sebenar-benarnya dapat kita kecapi... Mungkin ketika masih di dunia lagi kita dapat merasai kemanisannya...melalui kehidupan yang tenang, hati yang sentiasa redha dengan apa adanya dan diri yang sentiasa mengharapkan kecintaanNya. Sekujur tubuh sentiasa dibaluti rasa ubudiah kepada Allah...dalam setiap lapangan yang diceburi, rasa kehambaan itu sentiasa memagari diri...


Sebagai seorang ‘pekerja’ walau apa bidang sekalipun, anggaplah ia sebagai satu ibadat. Penjual sayur bekerja sebagai ibadat untuk memenuhi keperluan masyarakat, begitu juga seorang kerani, ia juga adalah sebagai ibadat untuk memudahkan urusan orang lain. Demikianlah sebagai seorang guru, lagilah mulia tugasnya jika dilakukan dengan penuh keikhlasan ia seolah-olah seperti pewaris rasul di muka bumi ini...


Setiap yang kita lakukan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti ada ganjaran yang menanti. Kalaupun ganjaran tersebut bukanlah dalam bentuk material, namun percayalah Allah pasti menukarkannya dalam bentuk yang lain, mungkin tanpa kita sedari, dan mungkinnya juga bukan untuk kita tetapi untuk generasi pewaris kita kelak. Yakinlah bahawa Allah adalah benar dalam menunaikan janji.


Satu contoh yang mudah, seorang pemandu kereta yang dalam kesesakan jalanraya memberi signal meminta laluan, jika kita memberi laluan kepadanya dengan perasaan ikhlas, maka suatu ketika jika kita menghadapi situasi yang sama, sudah pasti ada yang terbuka hatinya untuk memberi laluan kepada kita walaupun bukan orang yang sama yang kita berikan laluan untuknya suatu ketika dulu. Ini bermaksud, jika kita hendak melakukan sesuatu perkara, maka lakukanlah dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran atau pun pujian, kerana Allah pasti tahu tentang erti keikhlasan dan Allah pasti tahu untuk memberikan ganjarannya bila-bila masa yang Dia mahu. Itulah takdir dan kejadian yang Tuhan persembahkan. Ia terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh minda kita. Jadi kita perlu yakini, what you give, you’ll get back. Itu hukum sunnatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.


Demikianlah juga sekiranya di jalanraya, kadang-kadang pemandu wanita dianggap 'menyusahkan' kerana ramai yang agak 'terhegeh-hegeh' di jalanraya...maklumlah, namanya pun wanita...mungkin lebih banyak rasa takut atau terlalu berhati-hati, menyebabkan pemandu lelaki merasa terganggu perjalanannya...lalu membunyikan 'hon'...apa lagi, kecutlah perut si pemandu wanita. Jika direnungkan, apalah salahnya si pemandu lelaki yang biasanya menganggap dirinya sebagai 'hero' lebih menghormati dan bertolak ansur dengan pemandu wanita...dan bayangkan pemandu wanita itu adalah 'isterinya' barangkali, atau mungkin 'anak perempuannya' yang mungkin juga terhegeh-hegeh di jalan raya...dan 'disergah' dengan bunyi 'hon' tanda marah atau protes...bagaimanakah perasaan anda waktu itu....Maka apalah salahnya kita berbuat kebaikan, ikhlaskan hati menerima keadaan, bertimbang rasa dan lebih menghormati golongan yang lemah....???


Ingatlah kalaupun kebaikan yang kita lakukan hari ini tidak kembali untuk diri sendiri, tetapi Insya Allah, ia akan kembali untuk generasi kita, untuk anak-anak kita. Tidak mustahil Allah akan mempermudahkan urusan kita dan keluarga kita. Demikian juga kalaupun kita tidak mampu mendapat pangkat atau gaji yang lumayan, Insya Allah dengan keikhlasan yang kita lahirkan, maka siapa tahu Allah akan memberikan pangkat atau gaji yang lumayan kepada anak-anak kita kelak. Pemberian dan anugerah Allah adalah suatu misteri.


Seringkali kita dengar kisah, anak-anak petani dan nelayan mencipta kejayaan, sedangkan jika kita lihat pada kehidupan mereka sudah tentu dapat kita bayangkan tentang sebuah kehidupan yang serba dhaif dan sudah tentu si petani atau si nelayan tadi tidak punya cukup waktu untuk menjenguk pembelajaran anak-anak mereka. Tetapi bagaimana anak-anak mereka boleh berjaya?


Di sinilah dapat kita renungkan bersama, bahawa hasil kerja ikhlas si petani terhadap sawah padinya dan juga si nelayan yang meredah lautan mencari khazanah Allah sebagai rezeki sekeluarga, maka kepayahan dalam kesabaran serta ketulusan hati mereka mencari rezeki sesuap nasi buat keluarga tercinta, maka Allah berikan ganjarannya dalam bentuk kejayaan anak-anak mereka.


Sebaliknya, banyak juga kita lihat contoh mereka yang hebat dan kaya raya kerana terlibat dengan dunia korporat dan sebagainya, tetapi hidup mereka tidak bahagia walaupun mereka mempunyai harta yang banyak. Kebanyakan anak-anak rosak akhlak dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Mungkinkah ada sesuatu yang ‘tidak beres’ dalam pekerjaannya?


Tulisan ini bukannya mahu memburukkan dunia korporat, bukan masalah dunia korporat pun...tetapi isunya ialah keikhlasan bekerja! Walau apapun pekerjaan kita, biarlah ada keikhlasan untuk saling bantu membantu dan tolong menolong antara satu sama lain. Berkerja itu satu ibadah. Oleh itu, dalam melakukan pekerjaan, andaikanlah God is CEO. InsyaAllah, satu hari nanti manusia akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan semata-mata kerana tidak mendapat penghargaan. Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas apa yang kita buat kepadanya, umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Pemberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Namun janganlah kita berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih.


Kesimpulannya kebaikan dan budi yang kita taburkan, akan menyumbang kepada kehidupan yang lebih indah dan bermakna dan membentuk masyarakat yang lebih mulia akhlaknya. Siapa pun kita, keikhlasan adalah unsur utama yang perlu ada dalam jiwa agar segala yang dilakukan mendapat mardhotillah.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment