Thursday, July 29, 2010

Seni Berbicara...

Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud; "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berbicara yang baik atau diam sahaja."

Sebenarnya semua manusia boleh berbicara. Tetapi tidak semua manusia pandai berbicara, kerana berbicara itu sebenarnya adalah seni. Dan sesungguhnya bicara yang baik itu bukanlah hanya terletak pada isinya sahaja, tetapi juga pada sikap atau penyampaiannya. Itulah namanya seni.

1. Berbicara dengan lemah-lembut.

Firman Allah SWT yang bermaksud; "Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan lemah-lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (Surah Thoha 20: 44)

Berdasarkan firman Allah SWT tersebut, menunjukkan cara Allah SWT mendidik Nabi Musa supaya menggunakan kata-kata yang lemah-lembut semasa berhadapan dengan manusia yang paling samseng dalam dunia iaitu Firaun. Kelembutan boleh melenturkan sesuatu yang keras seperti batu. Kata-kata yang lembut lebih memberi kesan berbanding dengan kata-kata yang kasar dan menyakitkan. Ingatlah kisah Nabi Musa, kerana siapalah kita jika dibandingkan dengan nabi Musa yang mendatangi Firaun dengan kata-kata yang lembut.

2. Berbicara dengan suara sederhana.

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud; "Dan bersederhanalah kamu ketika kamu berjalan serta lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara kaldai." (Surah Luqman :19)

Apa yang boleh difahami daripada firman Allah SWT ini , Imam Hassan al-Banna telah melontarkan satu komentarnya yang berbunyi; Janganlah kita menguatkan suara melebihi suara yang diperlukan oleh pendengar, kerana hal itu akan mengganggu dan menyakiti." Maka bersederhanalah dalam berbicara.

3. Berbicara berterus terang.

Berbisik di antara dua orang di hadapan orang lain juga adalah perkara yang perlu dan sangat wajar dielakkan. Lazimkanlah amalan suka berterus terang dan telus dalam berbicara. Sesungguhnya amalan ini dapat mengelakkan pergaduhan dan prasangka. Dan sesungguhnya kebanyakan daripada prasangka itu adalah dosa.

4. Berbicara dengan memandang muka antara satu sama lain.

Memandang muka orang yang sedang berbicara adalah satu seni memberikan penghormatan kepada orang yang sedang berbicara. Ini adalah contoh akhlak Nabi SAW yang sangat mengormati sesiapa sahaja yang datang menemuinya. Tidak hairanlah ramai manusia terpikat dengan agama Islam, kerana nabi SAW telah menjadi contoh Islam yang terbaik.

5. Elak bicara sinis dan sindir-menyindir

Jika kita tidak suka disakiti hatinya, maka kita juga jangan sesekali suka menyakiti hati orang lain. Elakkan dari menggunakan bahasa sinis atau sindiran dengan niat menyakiti hati orang lain. Menjaga hati orang lain dengan menggunakan bicara yang menyenangkan pendengar pasti memberi kesan yang mendalam dan meninggalkan kenangan manis yang abadi.

Berbicaralah dengan seni bicara yang menyenangkan dan diredhai Tuhan...


No comments:

Post a Comment