Wednesday, November 2, 2011

Positifkan Dirimu...

Dalam menempuh liku-liku kehidupan sudah pasti kita akan menemui pelbagai cabaran dan ujian...jarang sekali kesenangan yang dikecapi datang dengan mudah semudah menyebut A B C. Tetapi sudah tentu ia melalui satu fasa demi satu fasa yang tertentu....

Jangan sesekali menganggap setiap cabaran dan ujian adalah sesuatu yang negatif dalam kehidupan. Tetapi anggaplah ia sebagai tanda sayang dan cinta Allah kepada mereka yang sentiasa positif dalam hidupnya. Anggaplah bahawa Allah sengaja ingin mencari jalan untuk menambahkan ganjaran buat kita atas kesabaran yang kita miliki ketika menghadapi sesuatu cabaran itu. Kesusahan dan kesulitan perlu ditangani dengan positif kerana sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Jangan ikut perasaan negatif, kelak semuanya jadi negatif dan buruk. Sebaliknya positif diri kita, kelak semuanya jadi positif dan baik-baik saja. Layan dan 'handle' ia dengan penuh hikmah...dan yakin Allah sengaja menguji kita...Dan jangan sama sekali bersangka buruk terhadapNya.

Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Cuma masa yang akan menentukannya, lambat atau cepat bergantung kepada usaha kita dan Qadak yang ditentukan oleh yang Maha Kuasa. Semua perjalanan kehidupan kita, Allah sudah mengaturkan...hanya kita sahaja yang tidak tahu jalan kesudahannya. Oleh yang demikianlah, kita harus sentiasa positif menerima ketentuan Allah.

Walau sebesar mana sekalipun masalah yang dihadapi, itu bergantung kepada tanggapan individu masing-masing. Masalah atau musibah adalah sesuatu yang 'subjektif'. Besar bagi sesetengah individu, bahkan terlalu kecil bagi sesetengah individu yang lain pula. Kalaulah seseorang itu menganggap sesuatu masalah yang dihadapi itu sebagai besar, maka besarlah masalah itu baginya dan kalaulah sesuatu masalah itu dianggap kecil maka kecillah masalah itu bagi individu tersebut. Apa yang penting, usaha ke arah penyelesaian harus dilakukan dengan tenang, positif dan penuh bijaksana. Kalau ia tidak dapat diselesaikan satu hari, ambillah masa beberapa hari yang perlu, atau sebulan atau mungkin juga setahun. Sabar dan doa adalah kunci kejayaan.

Selain usaha, doa adalah sangat diperlukan untuk membuatkan diri kita positif terhadap masalah yang di hadapi. Bak kata pepatah Doa adalah senjata orang mukmin. Jadi mengapa kita tidak magu menggunakan senjata ini...ianya mudah....hanya memerlukan keyakinan dan ketaqwaan yang sebenar. Selain ia menjadikan diri lebih positif, kita juga bakal terlatih untuk sentiasa merasa dekat denganNya. Siapalah lagi yang paling kita perlukan di dunia ini? Siapakah lagi yang kita boleh harapkan di dunia ini? Sudah pastilah jawabnya tuan yang empunya dunia ini iaitu Allah! Jadi mengapa kita harus jauh dariNya?

Hidup seseorang yang sentiasa berfikiran positif akan sentiasa ceria dan bahagia. Selain itu ia juga akan mempengaruhi sikap dan tabiatnya ke arah menjadi lebih tenang. Setiap tindakan yang ingin dilakukan akan difikirkan terlebih dahulu. Maknanya di sini,dia akan berfikir sebelum bertindak. Bukankah tindakan yang dilakukan bukan dengan terburu-buru ini akan membuahkan hasil yang baik?

Orang yang berfikiran positif juga adalah orang sabar. Bukankah orang-orang yang sabar adalah golongan yang dikasihi oleh Allah. Dan sudah pasti janji Allah adalah benar bahawa Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Hal ini seringkali diungkitkan oleh Allah dalam al-Quran. Jika kita yakin dengan kebenaran janji Allah, sudah pasti kita sama sekali akan membuang sikap suka bersangka buruk sama ada terhadap Allah mahupun terhadap sesama manusia. Bukankah akan tenang hati kita?

Sebenarnya banyak lagi kebaikan dan kelebihan orang yang berfikiran positif. Oleh itu Jom Positifkan Dirimu....

No comments:

Post a Comment