Sunday, November 20, 2011

Melasma Oh Melasma

Astaghfirullah…Astaghfirullah…Astaghfirullah al Azim… Ampunkan hambaMu ya Allah…Ampunkan hambaMu ini, yang kadang kala teralpa untuk mensyukuri nikmatMu…yang kadang kala kecewa dengan kurniaanMu…Ampunilah aku hambaMu yang hina ini ….

Terkadang, aku amat sedar terlalu banyak dosa yang aku lakukan sama ada dengan sengaja atau pun tidak sengaja. Seringkali juga aku merungut dan keluh kesah dengan apa yang Engkau kurniakan padaku. Walhal aku juga teramat sedar, semua yang aku miliki ini hanyalah pinjaman…dan semuanya adalah kehendakMu…Ampuni aku ya Allah…

Kini, aku benar-benar redha dan tulus menerima ujian yang kau berikan padaku. Aku terima seadanya apa yang berlaku pada diri ini. Aku tidak kisah lagi apa orang kata, apa pandangan orang, bahkan aku tidak malu lagi berdepan dengan siapapun. Aku juga akan mengharamkan mulut ini, hati ini, jiwa ini daripada mengeluarkan kata-kata ‘buruk’ , ‘hodoh’ dan seumpamanya…kerana siapalah aku untuk memperkatakan sedemikian sedangkan aku sendiri tersangat lemah untuk membuat apa-apa pun tanpa Kuasa dariMu. Mengimbau kembali apa yang terjadi…sememangnya akulah insan yang teramat berdosa kerana gagal mensyukuri nikmat yang Engkau kurniakan.

Sebenarnya aku sentiasa optimis dengan apa yang aku miliki. Sedari dulu, aku sentiasa mengingatkan diri ini agar sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Jangan suka berdengki dengan apa yang orang lain miliki kerana semuanya UJIAN Ilahi. Menyentuh soal wang, harta, pangkat dan kedudukan…aku tidak pernah mempersoalkan atau menyimpan perasaan dengki dengan apa yang orang lain miliki. Aku teramat bersyukur dengan segala yang ada kini. Begitu juga soal anak. Walaupun jauh dari sudut hati menyimpan hasrat untuk menambah zuriat…setelah menunggu hampir sepuluh tahun…namun hati tetap redha dengan semua kemungkinan.

Namun, sujud syukurku kepadaMu yang Allah…doaku, doa kami sekeluarga dimakbulkan olehMu… Seminggu selepas hari raya Aidil Fitri 2010 , kalau tidak silapku bulan Ogos…kami dikhabarkan berita gembira tentang kehamilanku. Tidak dapat kugambarkan betapa gembiranya perasaanku dan perasaan kami sekeluarga. Hidup kami sekeluarga teramat bahagia dengan berita gembira tersebut. Tempoh kehamilan berlalu dengan penuh keceriaan. Tiba-tiba di pertengahan tempoh kehamilan, aku mula perasan ada tompok-tompok hitam di wajahku. Hati mula risau…maklumlah tompok-tompok hitam yang mula wujud di wajah telah sedikit sebanyak mengganggu emosiku. Namun kuterus bersabar apabila doctor, saudara-saudara dekat dan teman-teman rapatku menenangkan ku dengan mengatakan ia akan hilang selepas kelahiran. Untuk mendapatkan rawatan awal, aku dilarang mengambil sebarang ubat selain ubat khusus untuk penjagaan kandunganku.

Tiga bulan selepas kelahiran, wajah ku tetap sama. Tompok-tompok hitam masih tampak jelas di wajah…Sememangnya ia benar-benar mengurangkan keyakinan diri untuk berdepan dengan orang ramai. Sesekali bila suami mengajak ziarah ke rumah rakan, hati ku teramat berat untuk pergi bersamanya lantaran ‘malu’ dan rendah diri dengan diri sendiri. Di rumah, aku teramat kerap memandang cermin, kadangkala pula bertanyakan pendapat anak-anak tentang keadaan wajahku. Terkadang juga aku bagaikan benci melihat cermin dan ‘tidak percaya’ pada semua cermin yang ku lihat. Betapa ‘jiwa’ku tidak bahagia kerananya.

Aku memutuskan untuk mendapat rawatan doctor pakar kulit dari Hospital Raja Perempuan Zainab II. Doktor mengesahkan penyakit yang kuhidapi ialah penyakit Melasma. Melasma ialah termasuk salah satu daripada masalah kulit yang disebabkan kandungan melanin berlebihan dan kemudiannya alahan dengan sinaran uv matahari. Menurut doctor, melasma yang disebabkan kehamilan mengambil masa 3-5 tahun untuk pulih. Walaupun hati terlalu hampa mendengarnya, namun aku terpaksa menerima apa sahaja yang dikatakan oleh doctor, sambil jauh di sudut hati berdoa, bahawa mudah-mudahan ada satu keajaiban yang akan berlaku pada wajahku.

Syukur Alhamdulillah….Suamiku banyak memberikan kata-kata semangat padaku untuk menempuh masalah Melasma ini. Kini aku sedar aku sudah banyak berdosa kerana terlalu banyak berkeluh-kesah dengan apa yang berlaku. Ampunilah aku ya Allah…Ampunilah hambaMu yang lemah ini….

Kini, aku mahu bangkit semula menjadi diriku yang dulu… Aku tidak mahu lagi diselimuti dengan perasaan malu…bahkan aku teramat malu kepadaMu kerana cuba menafikan apa yang berlaku dan tidak mahu menerimanya.

Sedangkan aku sepatutnya bersyukur dengan sepenuh hati kerana Kau telah mengurniakan segala-galanya buat ku….mengurniakan zuriat-zuriat, mengurniakan zuriat yang sihat dan sempurna, mengurniakan rezeki yang luas, mengurniakan keluarga yang bahagia, memberikan kesihatan yang baik, kesenangan yang tak terbilangkan….

Malunya aku padaMu…kerana membiarkan diriku hanyut dan alpa lalu terus menyalahkan takdirMu…Astaghfirullahal Azim..Rabbana zolamna amfusana wa illan taghfirlana watarhamna lanakunan na minal khosirin….Sesungguhnya ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri, oleh itu jika Engkau tidak mengampuniku dan memberi aku rahmatMu, maka aku akan termasuk golongan orang-orang yang rugi. Wana’u zubillahi min zalik. Sesungguhnyaya Allah aku tidak pernah berniat untuk berbuat demikian…namun oleh sebab kenaifan diri ini, maka aku sudah terlanjur melakukan dosa itu terhadapMu… ampunilah aku ya Allah. Ampunilah aku ya Allah….

2 comments: