Monday, December 5, 2011

Mati Itu Pasti

Seawal subuh hening pagi tadi, aku dikejutkan dengar khabar sebuah kematian seseorang yang sangat dikenali...salah seorang rakan sejawat suamiku telah pergi buat selama-lamanya pada jam 1:40 pagi di wad CCU Hospital Besar Melaka. Baru malam tadi satu sms dari seorang rakan di Melaka mengkhabarkan bahawa Ustaz Sulaiman (Pensyarah CITU, UiTM cawangan Alor Gajah, Melaka) telah dimasukkan ke wad CCU kerana berlaku serangan jantung. Namun, tidak mengambil masa yang terlalu lama...beliau pergi menemui Ilahi. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un....

Masih terbayang satu persatu saat dan ketika menziarahi beliau dua tahun yang lalu...dan baru seminggu yang lalu, suamiku berbual-bual menerusi telefon dengannya. Kini kami terpaksa menerima hakikat bahawa beliau sudah tiada lagi di dunia ini. Mati itu pasti. Dan saat catatan ini diabadikan, aku cuba membayangkan 'keadaan seseorang yang telah meninggal dunia sedang bersendirian jauh di dalam keranda di bawah tanah sana...dan sedang 'berada di suatu alam baru' iaitu 'alam barzakh'. Kecut hati ini bila membayangkan diri ini berada di situasi yang sama. Allahu Akbar....

Dalam usia yang baru menginjak 53 tahun, beliau terpaksa pergi menyahut panggilan Ilahi, walaupun dirinya masih diperlukan oleh sederet anak-anak dan juga isterinya yang hanya tidak bekerja. Tidak dapat dibayangkan kehidupan yang bakal dilalui oleh keluarga ini...

Namun, sebagai manusia kita mesti menerima segalanya dan bergantung sepenuhnya kepada Rabbul Izzati. Buat natijahnya hari ini...kita semestinya perlu sentiasa bersedia...bersedia untuk mati....Untuk hidup, kita mesti yakin segala rezeki telah disediakan untuk kita seadanya...tetapi untuk mati, kita wajib bersedia dengan bekalannya...kerana mati itu boleh datang bila-bila masa untuk menjemput kita ke alam sana tanpa dapat di halang walau sesaat sekalipun.

Sekalung al-Fatihah buat roh Ustaz Sulaiman...moga-moga Allah ampunkan segala dosanya dan menempatkan beliau bersama golongan orang-orang yang soleh...Amin. Akhir sekali salam takziah buat seluruh ahli keluarga Ustaz....

No comments:

Post a Comment