Saturday, October 23, 2010

Ajaibnya kejadian manusia...



Maha Suci Allah, Yang Maha Besar lagi Maha Agung. Yang Menciptakan segala yang ada dilangit dan dibumi. Mencipta manusia dan seluruh isi alam. Ajaibnya setiap kejadian ciptaanNya. Hebatnya kekuasaan yang dimilikiNya. Tetapi mengapakah masih ramai manusia yang sanggup engkar terhadap suruhan dan laranganNya? Tidak tersisakah rasa takut dan gerun terhadap kehebatan kuasanya Allah?

Lihat saja kepada penciptaan manusia itu sendiri. Yang hanya berasal dari setitis air mani yang kemudiannya bercampur dengan benih perempuan. Yang pada asalnya tidak mempunyai apa-apa bentuk dan rupa sama sekali.

Tetapi melalui proses dan perjalanan masa yang ditentukan oleh Pencipta dan Pengurusnya, maka sedikit demi sedikit ia bertukar menjadi segumpal darah. Segumpal darah ini pun tidak ada apa-apa yang dapat dibayangkan....cuma segumpal darah.

Namun dengan kuasa Allah yang Maha Hebat, dari hari ke hari segumpal darah tadi kemudiannya bertukar menjadi segumpal daging yang sangat kecil, hampir saja tidak kelihatan dengan mata kasar. Sangat kecil, mungkin cuma sebesar hujung jari.

Namun, sekali lagi Allah menunjukkan kehebatanNya dengan hanya 'memerintahkan' agar segumpal daging tadi membentuk beberapa bahagian dan 'memainkan' peranannya masing-masing. Ada yang membentuk sebagai jasad atau lembaga menyerupai manusia yang ditumbuhi pula tulang-belulang sebagai 'penyokong' bagi menguatkan ciptaan jasad tadi. Ada pula yang 'berperanan' sebagai tali pusat dan juga plasenta. Subhanallah!

Dan akhirnya, dengan sempurnanya kejadian seorang yang bernama manusia di alam rahim, maka Allah sekali lagi menunjukkan keagunganNya dengan meniupkan ruh ke dalam jasad ciptaan terbaruNya.

Dengan melalui beberapa fasa kejadian yang menakjubkan, ciptaan Allah yang terbaru tadi menjalani proses pembesaran dengan 'berenang-renang' dan 'bermain-main' di dalam 'dunianya' sebelum tiba waktu matangnya untuk beralih ke dunia baru iaitu alam dunia. Sesekali si ibu turut merasai 'permainan' yang berlaku di dalam rahimnya. Dan saat itu Allah telah menyuntikkan satu perasaan tenang dan bahagia untuk menanti saat-saat pertemuan dua insan di dunia yang sama.

Alangkah ajaibnya kejadian manusia......

No comments:

Post a Comment