Sunday, August 8, 2010

Santai : Jadilah pendengar yang baik...

Orang yang mendengar sebenarnya adalah orang yang “memberi”. Bukankah cinta itu bererti memberi? Memberi kasih-sayang, perhatian dan perlindungan kepada orang yang disayanginya. Orang yang banyak mendengar akan lebih banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah SWT ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar.

Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain. Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah sifat terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai: “Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.” Dan pepatah Melayu mengungkapkan "Diam ubi berisi".

Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti 'berkokok 'di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa?

Seringkali terjadi pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar yang baik.Kononnya "pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi".

Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri! Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Sebenarnya dengan mendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri).

Sesunggunya orang yang tawaduk akan ditinggikan darjatnya oleh Allah SWT. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata. Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah SWT dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah SWT telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?

Salah satu nama Allah SWT yang baik dan indah ialah As Sami’. Allah SWT Yang Maha Pencipta bersifat Maha Mendengar – “Sami’. Allah Maha Mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah SWT adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hambaNya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah SWT tidak sebegitu.


Allah SWT bersedia mendengarnya bila-bila masa sahaja. Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah SWT tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. hal ini tentunya jauh berbeza dengan manusia. Seorang kaunselor, ulama, kadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak. Sedangkan Allah SWT mempunyai kehebatan sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah SWT mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!

Allah SWT mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaanNya mendengar rintihan dan luahan hambaNya. Begitu juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan luahan manusia lain, pastinya dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah SWT sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat, darjat, harta dan rupa paras. Allah SWT mendengar permintaan seorang raja, Allah SWT juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil.


Seorang isteri mengadu hal rumah tangganya kepada Allah, pastinya Allah SWT mendengar. Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya.… pastinya juga Allah SWT mendengar. Seorang menteri mengadu masalah negaranya… pastinya juga Allah SWT mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah SWT tetap mendengar. Mengadulah hal sekecil-kecilnya dan mengadulah hal yang sebesar-besarnya, pastinya Allah SWT tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang memohon syurga, Allah SWT tetap sudi mendengar, justeru Allah SWT itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha Mendengar!

Sebaliknya, manusia yang terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Hal ini kerapkali berlaku, jika orang yang bercakap itu tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya. Kalau Si kaya menegur, semua memasang telinga dan tunduk akur serta patuh. Tetapi bila Si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selambanya .

Namun contoh pendengar yang baik ada pada insan bernama Muhammad SAW. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “pemimpin ternama” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya.

Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi jika dirasakannya ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat itu! Itulah Rasulullah SAW yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah SWT. Bagaimana dengan kita?

Sebenarnya kita tidak perlu banyak bercakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar yang baik. Lihatlah mata orang yang bercakap, bukalah telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Menjadi pendengar yang baik untuk suami atau isteri...pastinya keutuhan kasih sayang akan lebih bererti.

Demikian juga menjadi pendengar yang baik untuk anak-anak di sisi. Bila anak-anak menghampiri kita, peganglah tangannya dan ucapkanlah, " apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya". Dengarkanlah luahan hati mereka. Dengarkanlah bisikan mereka. Hulurkanlah telinga kita dan lapangkanlah dada kita untuk mendengar apa saja.

jangan dibiarkan bisikan atau luhan bertukar menjadi jeritan. Cuba kita renungkan berapa banyakkah bisikan yang dibiarkan , akhirnya telah bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu kepada suaminya, suami menjauhkan diri. Anak yang hendak bercakap kepada ibu dan bapa mereka, malah ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja iyang ngin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat yang ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu. Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan.

Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah. Semuanya gara-gara dan angkara sikap ingin mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan.

Sekadar pesanan untuk diri sendiri dan juga kepada sesiapa saja yang sudi, "jangan dibiarkan mulut menjadikan telinga kita tuli!"



Santai...tapi penuh pengertian..

No comments:

Post a Comment