Sunday, August 1, 2010

Menutup Aurat: Ikut Agama atau Budaya??

Apabila menyebut mengenai aurat, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain lagi tidak termasuk dalam taklif ini. Aurat adalah bahagian anggota badan yang WAJIB ditutup. Aurat lelaki adalah amat mudah iaitu dari pusat hingga ke lutut. Namun aurat bagi wanita adalah keseluruhan badan kecuali muka dan kesua tapak tangan.

Persoalannya, kini ramai wanita terutamanya, kurang atau tidak memahami aurat mereka sendiri. Kemungkinan juga ada yang faham tetapi buat-buat tidak faham. Mungkin ada juga yang beranggapan, bahawa menutup aurat ini hanyalah disebabkan budaya saja.

Kenapa dikatakan budaya? Sebabnya jika diperhatikan, setiap kali wanita keluar rumah, kebanyakan mereka memakai tudung. Tudung dianggap suatu amalan yang dikatakan menutup aurat. Walhal, jika diperhatikan juga, ada yang memakai tudung bila keluar rumah, tetapi dari segi pakaian yang lain seperti baju atau kain atau seluar, masih lagi 'belum' melambangkan telahpun menutup aurat.

Apakah dengan mengenakan tudung, tetapi memakai baju berlengan pendek sendat dan berseluar jeans ketat, sudah dikatakan menutup aurat? Apakah apabila sudah memakai tudung,tetapi memakai baju dan kain yang nipis dan jarang, sudah benar-benar menutup aurat?

Alangkah sedih dan kasihan mereka itu. Kerana pemahaman mereka menutup aurat adalah dengan hanya bertudung dan juga merupakan ikut-ikutan secara tradisi. Firman Allah SWT yang bermaksud; "Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya. dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir" (Surah an Nur : 31)

Menurut Syeikh Dr Yusof al-Qardhawi; apa yang dimaksudkan dengan perhiasan perempuan dalam ayat di atas, ialah apa saja perhiasan yang dipakai dan untuk mempercantikkan tubuh, sama ada berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, solekan dan sebagainya.


Sewajarnya, sebagai wanita muslim kita sepatutnya mencari gali ilmu untuk amalan diri bagi menyelamatkan diri di dunia mahupun di akhirat. Mendalami ilmu tentang apa yang boleh dan apa yang tidah boleh untuk wanita, hukumnya wajib. Wanita adalah golongan yang paling mudah memasuki syurga Allah sebenarnya, tetapi malangnya, golongan inilah juga yang dilihat paling ramai menghuni neraka. Mungkin tidak menjaga aurat adalah salah satu puncanya. Wa Nauzubillahi min zalik!

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Ada dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak akan cium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)

Sememangnya masih terlalu banyak yang boleh dibicarakan tentang aurat. Semoga kita semua akan diberi taufiq dan hidayah untuk menjadi wanita muslimah yang benar-benar diredhai Allah SWT.

No comments:

Post a Comment