Wednesday, July 28, 2010

Sebuah drama realiti....

Sesungguhnya kehidupan ini penuh dengan misteri. Terkadang ia bagaikan sebuah drama realiti, di mana pelakonnya adalah sesiapa saja yang menghiasi kehidupan di dunia fana ini. Masing-masing dengan watak dan peranan yang tersendiri, lalu drama pun berlalu dari satu episod ke satu episod.

Dalam sebuah drama realiti atau drama tv terkadang kita akan temui satu-satu watak itu 'dimatikan' lakonannya dengan pelbagai cara seperti berakhir dengan kematian yang tragis, mahupun berakhir dengan 'dipenjarakan' atau sebagainya. Begitulah juga lumrah kehidupan yang realiti sebenarnya...

Pagi ini, sekali lagi saya dikejutkan dengan satu berita tentang kematian suami kepada salah seorang daripada rakan sekerja saya yang bernama N. Terkejut yang amat sangat bila mendengar berita tersebut. Ia bagaikan sebuah drama yang terpaksa dipendekkan ceritanya dengan mematikan watak tersebut....

Sebenarnya kisah ini, saya rasakan seperti sebuah drama, kerana ia seperti sebuah drama realiti. Beberapa bulan yang lalu, saya diberitahu oleh N bahawa rumahtangga mereka diganggu oleh seseorang yang tidak dikenali yang mahu suaminya 'menceraikan'nya kerana ingin memberikan kebahagiaan yang lebih daripada apa yang diberikan oleh suaminya. Pendekkan cerita, ada orang yang 'berminat' dengan si isteri. Beberapa kali rumah mereka diganggu dan suaminya mendapat panggilan telefon misteri menyuruhnya 'menceraikan' si isteri. Mereka benar-benar terganggu.

Dan yang paling klimaks, pada suatu malam, sewaktu ketiadaan si isteri kerana menziarahi saudaranya meninggal dunia, suaminya memberitahu bahawa ada orang 'menanam' sesuatu di hadapan rumah mereka dan apabila digali semula, didapati ada satu botol kecil dan mengandungi sejenis minyak. Peliknya...ada orang nak ilmu hitamkan mereka? Selain dari itu banyak lagi cerita pelik-pelik berlaku dalam keluarga ini...

Namun, hari ini satu watak dalam episod drama hari ini telah dimatikan oleh Pengarahnya. Hakikatnya inilah drama realiti, bukannya drama dalam tv. Maka kematiannya adalah kematian yang abadi...untuk menemui 'Tuhan' Rabbul Izzati..moga-moga rohnya dirahmati Allah dan mendapat keampunan daripadaNya.

Tidak tertahan menahan sebak dihati, bila merenung mata anak-anak yatim yang ditinggalkan papanya...sayu sekali. Sabarlah nak...inilah hakikat kehidupan, setiap yang hidup pasti akan mati. Sematkanlah kepercayaan ini dalam hatimu sekukuhnya, agar hidup yang bakal kita lewati tidak terpesong ke lain matlamatnya, melainkan satu-satunya matlamat hidup kita iaitu mencari keredhaan Allah. Agar hidup kita semua terarah dan mendapat kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Lepas ini, tidak ada sesiapapun yang tahu tentang apakah sambungan ceritanya. Buat N, semoga sentiasa bersabar dan tabah menghadapi liku-liku hidup. Didoakan agar semuanya selamat sejehtera, dan terimalah qadha' dan qadar Allah dengan hati yang terbuka.

Memang agak sukar untuk menghadapi saat perpisahan dengan insan tersayang, tetapi siapalah kita? Cuma insan yang lemah dan hanya perlu menurut segala kehendak yang Maha Esa. Namun yakinlah, di sebalik sesuatu yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Hanya Tuhan yang mengetahuinya...

Untuk itu, jadilah hamba yang sentiasa dekat denganNya


'Sesungguh dari Allah kita datang dan kepadaNya lah kita kembali...'

No comments:

Post a Comment