Wednesday, July 28, 2010

Saham Amanah...

Saham atau pelaburan sebenarnya sangat penting dalam kehidupan. Kadang-kadang saham ini boleh membuatkan seseorang itu kaya-raya. Tetapi dalam banyak-banyak saham, ada satu saham yang boleh membuatkan kita bahagia dunia dan akhirat. Iaitu Saham Amanah.

Saham Amanah...bukan Amanah Saham tau! Sebenarnya setiap daripada kita pastinya akan menjadi pemegang Saham Amanah ini. Sesungguhnya pemegang saham Amanah ini telah dijanjikan oleh Allah akan 'keuntungan' yang bakal diperolehi kelak juga dibertitahukan akan 'kerugian' jika tidak berjaya menjadi pemegang saham amanah ini dengan baik.

Ringkasnya, anak-anak adalah yang dimaksudkan dengan Saham Amanah di sini. Siapapun kita di dunia ini pastinya pernah menjadi 'anak' kepada seorang ibu dan seorang bapa. Justeru, tanyalah pada diri, anak bagaimanakah kita ini? Apakah kita sudah benar-benar berjaya menjadi anak yang diharapkan oleh ibu dan ayah kita? Apakah kita benar-benar telah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai anak yang baik dan solehah kepada ibu dan ayah kita?

Atau, mungkin kita juga telah mempunyai sederet anak-anak yang sedang membesar atau pun mungkinnya anak-anak yang telah dewasa. Justeru, tanyalah pada diri apakah kita telah melaksanakan tanggungjawab yang sebenar-benarnya kepada anak-anak kita?

Sesungguhnya, seawal anak-anak kita masih bayi lagi, sudah tentu menggunung angan-angan dan impian kita gantungkan pada si anak. Kita amat sayangkan mereka. Sememangnya melangit harapan kita padanya apabila besar kelak. Kita penuhi segala keperluannya, makan-minumnya, kita sediakan tempat tinggal yang terbaik untuknya, kita pakaikan pakaian yang selesa untuknya, bahkan segala-galanya anak-anaklah yang kita dahulukan. Itulah kasih sayang seorang ibu dan bapa terhadap si anak.


Anak-anak adalah Amanah Allah kepada setiap ibu dan bapa. Sudahkah kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan Amanah Allah ini? Sejauh manakah kita melaksanakan tanggungjawab terhadap Amanah Allah ini? Adakah mencukupi, kita tunjukkan kasih sayang dalam bentuk kebendaan semata? Apakah dengan memberi kebahagiaan dan kesenangan untuk anak-anak, kita sebenarnya telah melunasi tanggungjawab terhadap amanah Allah tersebut?


Ingatlah satu perkara, sebelum kita mengira kita telah menjalankan tugas menjaga amanah tersebut. Anak-anak juga adalah saham yang amat berguna sekali untuk semua ibu bapa. Sekiranya anak-anak diasuh dan diberi keperluan duniawi dan ukhrawi, sudah pasti Sahamnya akan melambung tinggi dan ia sangat-sangat menguntungkan kedua-dua belah pihak, si anak dan si ibu bapa. Di dunia, si anak akan menjadi orang yang berjaya dan dapat menjaga ibu bapa yang telah tua, manakala sekiranya ibu bapa mereka telah meninggal dunia adalah di harapkan anak-anak yang berjaya ini akan sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan keuntungan daripada pelaburan saham tersebut. Bukankah ini yang kita harapkan? Bukankah ini sangat menguntungkan? Jom, jadilah pemegang saham amanah dengan sebaiknya.


Namun, sebelum kita mengecapi impian kita menjadi nyata, pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, siapakah kita sewaktu kita bergelar anak? Kita anak yang bagaimana? Adakah kita adalah anak seperti yang kita harapkan daripada anak-anak kita tersebut? Sudah sempurnakah kita menjadi seorang anak yang diharapkan oleh ibu bapa kita? Sudah bahagiakah ibu dan ayah kita? Ketika hidup mereka? Atau sudah berapa banyakkah doa kita untuk ibu dan ayah kita yang telah lama pergi meninggalkan kita? Atau bahagiakah ibu dan ayah tua kita di sisi kita?


Bukan salah anak-anak kalau ia gagal mengenang jasa kita, bukan salah anak-anak kalau mereka gagal mendoakan kita. Ibu bapa adalah sekolah yang paling awal untuk mendapat pendidikan. Ibu bapa adalah universiti paling cemerlang untuk mendapat ijazah kelas pertama.

Kalau impian kita melangit dan harapan kita menggunung agar anak-anak menabur jasa dan mengenang budi, maka ajarilah di 'sekolah' kita, kuliahkan di 'universiti' kita...Jadikan diri kita sebagai ibu bapa yang cemerlang. Dalam erti kata lain, tunjukkanlah contoh terbaik kita sebagai anak kepada ibu dan bapa kita, agar anak-anak belajar di 'sekolah dan universiti' yang kita bina sendiri, mengikut silibus kita sendiri.

Agar natijahnya, kita tidak bisa menuding jari ke arah yang lain, kerana jika kita menuding ke arah yang lain, sebenarnya ia akan kembali kepada diri sendiri....


Moga-moga kita adalah anak yang soleh dan memiliki anak-anak yang soleh dan solehah....Amin...


'Zuriat Kita : Anugerah Allah yang amat berharga'

No comments:

Post a Comment