Sunday, July 25, 2010

Perginya seorang 'ahli syurga'...

Seketika saatku mengangkat takbiratul ihram untuk solat Zohor, satu bunyi deringan dari telefon bimbitku kedengaran. Kubiarkan saja ia berlalu. Selesai solat, kucapai telefon...ingin ku lihat siapa gerangannya yang 'memanggil'ku... "Oh! Kak Na rupanya", detik hatiku.

Kuabaikan dulu 'panggilan'nya, ku selesaikan semua urusanku. jam 4:00 petang, baru ku teringat kembali pada 'miss called' tadi. Kuhubungi Kak Na. "Tak ada apa, cuma nak bagi tahu, Pak Su Min dah meninggal dunia", sayup terdengar khabar duka tersebut. 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun", ucapku.

"Ya Allah, setelah hampir 12 tahun, Pak Su Min terlantar kaku kerana di serang stroke seluruh anggota badan, akhirnya beliau dijemput menyahut panggilan Tuhannya, akhirnya pergi jua 'ahli syurga' itu...", detik hatiku bercampur perasaan terharu.

Sememangnya sudah agak lama juga aku tidak berkesempatan menjenguknya. Pak Su Min adalah seorang Ustaz di kampung ku dulu. Dia seorang yang tak banyak cakap, cuma senyuman yang sentiasa menghiasi wajahnya.

12 tahun yang lalu, beliau di serang angin ahmar menyebabkan hampir seluruh anggota badannya tidak dapat digerakkan. Puas sudah keluarga berusaha untuk mengembalikan kesihatannya, namun takdir Allah penentu segalanya. Keuzuran beliau mungkin satu 'ujian' hebat buat isteri dan anak-anaknya. Dan bagi kami jiran sekampungnya, memang cukup mengenali jiwa ketabahan dan kesabaran yang dimiliki keluarga ini.

Sepanjang 12 tahun, hampir sepanjang minggu dan bulan beliau berpuasa. Meskipun beliau tidak dapat bergerak dan hanya mampu terbujur kaki, tetapi Allah masih sayangkannya. Allah masih mengurniakan otaknya yang waras. Berkat kesabaran isterinya yang hanya memahami bahasa bisunya, beliau diurus untuk menunaikan solat dan puasa.

Ya Allah, sesungguhnya aku dapat membayangkan betapa hatinya sudah pasti sentiasa mengingati Allah. Kenapa tidak, dengan kesungguhannya menunaikan solat dan berpuasa sunat sudah pasti zikrullah sentiasa di hatinya. Ku yakin, Allah pasti akan mengampunkan segala dosa-dosanya yang ada. Ku yakin, Allah akan mengasihani insan soleh sepertinya. Jauh di sudut hati, ku berdoa agar Allah akan menempatkan rohnya di sisi golongan orang-orang yang soleh...Amin..

Moga-moga Allah juga akan sentiasa memberi kita semua kekuatan, kesihatan, taufiq dan hidayahNya, agar hidup kita tidak sia-sia, agar hidup kita memberi seribu makna kepada kehidupan yang sebenarnya nanti....

Sesungguhnya mengingati kematian, akan membuatkan kita merasa bahawa diri ini hanyalah pinjaman...dan setiap pinjaman wajib dikembalikan. Oleh yang demikian, kita hendaklah menjaga sebaik-baiknya 'pinjaman' ini, agar dapat dikembalikan dalam keadaan sebaik mungkin...agar tidak dimarahi 'tuannya'.

Kematian...satu kepastian!




No comments:

Post a Comment