Monday, July 5, 2010

Teman Sejati....

Salam Ukhuwah.

Memang benarlah...kata orang, kehidupan ini sukar diduga...hanya bagi mereka yang tabah dan sabar sahaja yang akan berjaya melewatinya...'Rambut sama hitam, hati lain-lain' . Ramai orang suka menjadi 'artis atau pelakon' di pentas dunia ini. Kadang mereka memegang watak baik dan kadang pula mereka memegang watak antagonis yang penuh perasaan irihati, dengki dan hilang rasa hormat apa tah lagi untuk mengambil hati....Mungkin benarlah ungkapan yang mengatakan 'teman ketawa senang dicari, teman menangis sukar ditemui'?

Mungkin agak pelik pula tulisan ku kali ini...seakan penuh dengan rasa kecewa dan putus asa...Oh! Tidak sama sekali. Sebaliknya cuma rasa hairan dan kasihan saja buat mereka yang berjiwa 'pelakon' ini.

Dalam kehidupan masyarakat di sekekliling kita, sebenarnya terlalu ramai yang 'mementingkan diri sendiri'. Berlagak baik dengan seseorang hanya kerana 'ada udang di sebalik batu'. Sedangkan apabila sudah tercapai hajat dihati maka ia telah menjadi seperti 'telah habis madu sepah dibuang'

Luahan hati seorang teman, menarik minatku untuk turut memberikan sedikit input di sini. Menurutnya beliau amat rapat dengan temannya. Kebetulannya mereka bekerja dibawah satu bumbung, dan jawatan Ketua untuk organisasi mereka waktu itu bukanlah jawatan tetap. Ia sentiasa bertukar-tukar secara bergilir-gilir. Dua sahabat ini kelihatan sentiasa bersama kemana saja, sering berutus SMS, manakala susah payah urusan kerja sentiasa diadakan musyawarah bersama.Itu sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Ketua Organisasinya. Malangnya, ketika giliran kawannya pula memegang jawatan sebagai Ketua Organisasinya, temannya telah berubah sikap, baru beberapa hari di beri surat pelantikan sebagai Ketua, sudah mengadakan perjumpaan bersama semua staf yang lain, mengumumkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh...Demikian juga dengan bilik, tanpa sepatah bicara...bilik yang dulunya didiami oleh teman rapatnya itu, turut 'dikemaskan' dengan dikeluarkan semua barang-barang milik temannya yang merupakan 'Ketuanya' sebelum ini.

Terpaku sendu si kawan ini, tersinggung dengan sikap orang yang dianggap teman rapatnya...seolah-olah 'diusir' dari bilik tersebut. Kalau ya pun benar, bilik itu sudah terhak untuknya, apakah sudah hilang budi bicara? apakah sudah lumpuh kata-kata mesra, agar lunak menjadi halwa telinga dan tidak terasa apa-apa di sanubari? Hebat sangatkah jawatan Ketua itu yang bukanpun jawatan hakiki...Masya Allah....Inilah dunia...dalam sekelip mata, manusia mudah lupa diri....Tidak terfikirkah dia, apakah perasaan kawannya akibat perbuatannya itu?

Bersyukurlah bagi insan yang sentiasa merendahkan diri, sentiasa mahu menjaga hati orang lain dengan setulus hati, sentiasa sabar walaupun hati sebenarnya terluka dan sentiasa bersedia memaafkan orang lain. Apakah menjadi suatu dosa jika kita sentiasa merendahkan diri, wakaupun berjawatan tinggi atau mempunyai ilmu menggunung tinggi...? Apakah kita akan di pandang lemah hanya kerana kita sentiasa mahu menjaga hati orang atau apakah kita dikatakan naif hanya kerana sentiasa bersedia memaafkan?

Biarlah...biarlah apa orang lain nak kata...asalkan Tuhan tahu siapa kita. Biarlah apa orang akan pandang...asalkan Tuhan masih sudi memandang dengan kesukaan...kerana Dia hanya suka memandang kepada ketaqwaan...yang terletak di dalam jiwa manusia yang berhati mulia...

Ada ungkapan mengatakan; 'suatu hari tiap-tiap kebenaran akan terserlah menjadi sesuatu yang mengembirakan'....bersabarlah wahai orang-orang yang beriman! Jika hari ini hatimu tersinggung, jangan sesekali kau menyinggung perasaannya kembali....jika hari ini kecil hatimu, jangan sesekali kau mengecilkan hatinya juga, dan jika hari ini kau dapati, temanmu hanya ada disaatmu ketawa...maka usahlah bersedih menangisi diri....kerana Teman Sejati ada di mana-mana, mengadulah kepadaNya, mohonlah pertolongan dan perlindungan kepadaNya...Justeru, yakinlah bahawa Dia sentiasa akan memenuhi semua permohonan kita....Dialah teman sejati....selalulah dekat kepadaNya...


'Universiti Kehidupan : Pendidikan Sepanjang Hayat...'

No comments:

Post a Comment