Tuesday, June 29, 2010

Moga kesibukan juga adalah ibadat....

Salam Ukhuwah.

Sudah agak lama aku tidak berpeluang mencatat sesuatu di sini. Wah...sibuk benar rasanya seminggu dua ini...langsung tidak mengizinkanku untuk meluangkan masa menulis. Memang benarlah ungkapan yang mengatakan, gunakanlah 'masa lapang sebelum sibuk...' , benar sangat-sangat ungkapan tersebut. Apa yang sebenarnya yang menyibukkan diriku sebenarnya....??

Sebenarnya bukan sibuk mana pun, cuma tak sempat mengadap komputer untuk menulis je...ya lah, sejak musim persekolahan kembali semula, pada hari pertama (20 Jun 2010) yang lalu, sebaik sahaja kaki kujejakkan di laman sekolah untuk kembali menyambung tugas-tugas yang belum selesai...aku dikejutkan dengan berita muridku sedang koma di hospital...terus saja petang itu juga, aku mencari peluang untuk menziarahinya di wad ICU 2 Delima HUSM. Ya Allah, kesian sangat melihat keadaannya. Pelajar lelaki berusia 15 tahun, Mohd Hafizin b Che Abdul Khalil, hampir saja tidak ku kenali kerana telah berubah wajahnya akibat bengkak di kepalanya (kesan pembedahan di otaknya). Menurut ibunya, beliau kemalangan motorsikal sewaktu pulang dari kelas tambahan di sekolah pada 8 Jun 2010. Sedikit otaknya terkeluar dan tempurung kepalanya tercucuk menembusi saraf di dalam otaknya dan terpaksa di bedah. Allahu Akbar!! Masih terkenang lagi saat mengajar dan saat bersama pelajar ini. Dia seorang yang sangat baik hati, manja dan pandai ambil hati guru. Sewaktu beliau di tingkatan satu, dia pernah mengeluarkan belanjanya untuk menjamu selera kawan-kawan sekelasnya makan sate...dan masih teringat lagi, janjinya untuk buat jamuan kelas pada hujung tahun ini...dan meminta ku menguruskannya...Ya Allah, sembuhkanlah dia dengan Kuasa Mu...atau berilah yang terbaik untuknya....

Itu satu hal lah...tetapi untuk hari-hari seterusnya, aku disibukkan pula dengan masalah pelajarku yang suka ponteng sekolah. Terpaksa bersama kaunselor ke rumahnya untuk mengesan sebab ketidakhadirannya ke sekolah. Beginilah, kalau dah jadi guru kelas. Pemergianku ke rumahnya pada hari tersebut, merungkai segala cerita dan sebab pelajar ini ponteng sekolah... Menurut ibunya, yang merupakan seorang ibu tunggal; "anaknya pergi sekolah setiap hari, selalu minta duit yang diminta guru untuk beli buku, untuk pergi lawatan dan kadang-kadang balik awal kerana sekolah benarkan balik awal...dan macam-macam lagi..." Masya Allah! Tergamaknya seorang anak berbohong kepada ibunya sendiri., sedangkan ibunya begitu naif dan tidak menaruh sebarang prasangka kepada si anak. Kami cuma tersenyum mendengar cerita si ibu. Lalu, kami ceritakan perkara sebenar kepada si ibu tadi dan meminta nya membawa anaknya berjumpaku di sekolah pada hari berikutnya. Di ringkaskan cerita, sehingga hari ini..baru pagi tadi pelajar terbabit datang ke sekolah, tak tahu pula besok dan seterusnya. Sebenarnya pelajar ini ponteng sekolah, kerana ketagihan 'Cyber Cafe' yang ada di depan sekolah kami dan kerap ke sana...terdetik di hatiku...kesian juga si ibu tunggal menguruskan anak mereka...apabila ibu tunggal yang 'terlalu lemah' untuk menguasai anak mereka...mungkin pasal duit, keluarga ini tidak mempunyai masalah sangat sebab tanggungannya tak banyak dan si ibu menerima wang pencen arwah suaminya...inilah yang dikatakan 'al-Rijal qawwamu 'ala nisa'....Dalam menguruskan bahtera keluarga, kehadiran seorang suami atau bapa adalah amat penting sekali. Ah...sebenarnya terlalu banyak kisah yang boleh diceritakan mengenai latar belakang murid-muridku di sini....pelik tapi benar, yang tak sanggup nak di dengar pun ada....Astagfirullahal azim...Banyak pengajaran yang dapat dikutip dari kisah kelaurga mereka....dan semua itu boleh dikaitkan dengan punca keadaan remaja masa kini....Ya Allah, boleh dibuat dramalah...Inilah yang dikatakan kehidupan....sesekali semua ini membuatku gerun untuk membesarkan anak-anak...Mungkin lain kali, akan ku cuba bongkar semua kisah ini....buat teladan dan renungan kita semua.

Itu serba sedikit masalah murid-muridku...taklah mengganggu sangatpun...tapi penat juga melayan semua kerenah mereka...adatlah kan...

Kesibukan harianku yang lain ialah terpaksa menyiapkan markah PBS (Penilian Berasaskan Sekolah) iaitu markah adab, markah tilawah al-Quran dan markah Hafazan, jadi terpaksalah mengadakan ujian terhadap pelajar...nak buat ujian, kena paksa mereka hafaz ayat-ayat tertentu....walaupun ujian-ujian ini telahku lakukan sejak Mac lagi...tapi biasalah, budak-budak ni bukan main liat untuk menghafaz ayat-ayat al-Quran. Bukanku tak boleh bagim markah ikut tahap hafazan mereka saja, tapi bagiku...bukan markah soalnya, tetapi objektifku ialah untuk mereka menghafaz ayat-ayat tersebut....biar ia tersimpan dalam hati mereka selamanya...sekurang-kurangnya, bila dah dewasa nanti, terdengar olehnya bacaan ayat tersebut...ia sudah tidak asing lagi bagi mereka....dan hatiku benar-benar mengharapkan mereka akan mendapat hidayah daripada Allah SWT dan menjadi Muslim sejati suartu hari nanti....

Ujian tersebut diadakan pada sebelah pagi, manakala sebelah petang pula...terpaksa balik agak lewat kerana ada kelas tambahan dan kadang-kadang ada mesyuarat. Macam petang ni, jam 5:00 petang baru sampai di rumah. Kesian suamiku, terpaksa ambil giliran masak makan malam....apapun terima kasih kerana banyak membantu urusan rumah tangga. Jam 6:00 petang tadi, menjenguk ke hospital tengok abang ipar dan Mohd Hafizin yang masih koma...Malam ni, oleh kerana rindu sangat kat blog, maka ku ambil peluang walaupun sibuk...Urusan anak-anak belajar kuguna 'remote control', cakap je kat anak-anak supaya belajar satu jam petang dan satu jam malam....dan setiap pulang dari sekolah ku masih ambil berat pelajaran mereka, bertanya masalah mereka dan mendengar cerita mereka.....dan Alhamdulillah, anak-anak boleh ikut, cuma sesekali terfikir, kesian juga pada anak-anak...namun, syukurku pada Tuhan, semua anak-anakku sudah pandai berdikari dan urus diri sendiri, urus pakaian sekolah,buku-buku sekolah mereka dan kerja-kerja sekolah mereka. Semoga mereka akan berjaya suatu hari nanti....

Catatanku kali ini mungkin agak 'cacar marba' bahasanya, ejaannya....harap dimaafilah, sebab sibuklah katakan...nak kejar masa lah ni....tapi oleh kerana hati tu teringin sangat nak 'berblog' tulis jugalah...walaupun cerita tah apa-apa ini...Namun, seperti yang pernah kutulis sebelum ini...blog adalah tempatku meluahkan isi hati....supaya jiwa sedikit lapang walau dalam sibuk...

Besok,lusa dan tulat ada dua hingga tiga agenda atau majlis yang menanti....sibuk lagi....Sebenarnya seronok juga sesekali terasa kesibukan seperti ini. Masa terisi dengan program yang terancang. Jika 'kesibukan' itu dihadapi dengan pemikiran yang positif, barulah kita akan terasa nikmatnya masa yang kita uruskan. Barulah kita terasa puas melihat hasil yang kita kerjakan...Besok, ada program Ceramah Teknik Menjawab Peperiksaan, lusa pula ada majlis temu mesra dengan ibu bapa , manakala tulat ada program hari Keluarga di Terengganu....Walau apapun, semoga semua kesibukan ini tidak sia-sia....moga-moga ada keberkatan di sebaliknya....moga-moga dalam 'sibuk' juga ada 'ibadat' !!Amin...



'Universiti Kehidupan : Pendidikan Sepanjang Hayat...'

No comments:

Post a Comment