Saturday, June 19, 2010

Manusia tak serupa tapi sama....

Salam Ukhuwah.

Allah SWT telah menciptakan manusia sebagai sebaik-baik kejadian. Bermula dengan penciptaan Nabi Adam as. sehinggalah kepada manusia yang ada pada hari ini, semuanya sama dari segi fizikalnya, cuma yang yang tak serupanya ialah apabila dilahirkan dalam keadaan 'istimewa' atau beza dari segi warna kulit, ketinggian atau sebagainya.Tetapi sedikit perbezaan itu bukanlah dikira sebagai ukuran untuk meletakkan kedudukan seseorang manusia itu di kedudukan yang tinggi atau sebaliknya. Perbezaan itu tidak lain adalah untuk membuktikan kekuasaanNya sebagai Pencipta yang paling Berkuasa.

Walaupun manusia itu diciptakan tak serupa tetapi tujuan penciptaannya adalah sama iaitu untu beribadat kepada Allah SWT. Maksud firman Allah SWT: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." -Surah az-Zariyat: 56. Kemudian Allah SWT telah mengutuskan para Rasul untuk memberi bimbingan kepada sekelian umat manusia agar mencapai tujuan yang satu itu.

Oleh sebab tujuan kita diciptakan adalah sama, maka sama-samalah kita saling ingat mengingatkan, saling berpesan-pesanan dan saling kasih mengasihi sesama insan. Biar siapapun kita, setinggi manapun kedudukan kita, sekaya manapun harta milik kita, maka itu semua tidak dipandang oleh Allah SWT selagi kita tidak menggunakan semua itu untuk tujuan yang satu itu. Untuk itu jadikanlah setiap langkah dalam hidup kita sebagai ibadat , setiap patah perkataan yang keluar dari lidah kita adalah ibadat atau setiap detik kita menyedut udara milik Allah ini sebagai ibadat.

Maka usahlah bersedih hati, jika kita tidak memiliki harta yang banyak, usahlah berdukacita jika kita tidak memiliki kecantikan paras rupa ataupun kedudukan yang istimewa, tetapi kita hendaklah bersedih sekiranya kita gagal mendekatkan diri kepada yang Maha Esa, kita hendaklah berdukacita sekiranya banyak lagi amal ibadat yang masih belum kita laksanakan dengan sempurnanya.

Kita juga hendaklah tahu bahawa siapa sekalipun kita di dunia ini, kita juga masih boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara yang selayaknya. Kalau si kaya dapat beribadat dengan menggunakan hartanya, maka si miskin juga tidak terkecuali. Si kaya mungkin dapat menggunakan hartanya untuk bersedekah, pergi haji, menunaikan zakat atau menginfakkan ke jalan Allah, maka si miskin juga mampu beribadat dengan cara meredhai kekurangan diri dan sentiasa berusaha untuk tidak terus hidup miskin tanpa perlu meminta-minta.

Kekayaan atau kemiskinan itu hanyalah salah satu daripada bentuk ujian Allah SWT kepada manusia, untuk mengetahui sejauhmanakah keimanannya kepada Allah. Terkadang kekayaan adalah suatu bala bencana kepada manusia itu sendiri, kerana menimbulkan perasaan sombong dan angkuh dalam diri, manalaka kemiskinan juga sebagai satu azab bagi mereka yang tidak sedar diri dan menyalahkan takdir yang berlaku ke atasnya. Nauzubillahi min zalik!

Oleh yang demikian, usahlah merasa pelik melihat manusia lain yang tak serupa dengan kita, tetapi ingatlah siapapun dia atau kita, tujuannya sama iaitu suatu ketika nanti akan dikembalikan kepada Allah SWT. Dan di 'sana' nanti kita bakal tahu bahawa inilah yang tak serupanya...iaitu nasib kita di sana. Jadi, berusahalah menjadi manusia yang dikasihi Allah SWT, berkejarlah untuk mendapatkan cintaNya dan berdoalah agar nasib kita 'baik' di sana. Catatan kali ini adalah sekadar mengingatkan diri bahawa tiada apa yang perlu dikejari dalam hidup ini selain mengejar masa untuk sentiasa mengingati Allah SWT. Kerana dalam sisa usia yang bakinya cuma sedikit ini, siapalah kita untuk berhadapan denganNya kelak. Moga-moga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa lampau, yang sengaja mahupun tidak disengajakan dan sentiasa menganugerahi kita HidayahNya untuk membimbing kita ke jalan yang diredhai olehNya jua....

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment