Friday, June 18, 2010

Santai : Kumenulis bukan kerana nama...

Salam Ukhuwah.

Sebenarnya bidang penulisan adalah bidang yang amat kuminati. Sejak dari kecil lagi aku menulis, menulis setiap kata hatiku. Setiap kali aku menghadapi masalah, maka setiap kali itulah aku meluahkannya dalam bentuk tulisan. Mungkin dengan cara itu, dapat meredakan apa-apa jua yang terbuku dihatiku. Sampai kini, bidang penulisan masih kuminati.

Setiap kali melihat buku-buku rujukan hasil sentuhan kawan-kawan lamaku, azam dan hasratku untuk menulis semakin membuak-buak. Puas juga ku berikan galakan dan semangat kepada suami untuk menulis, sekurang-kurangnya dapat merealisasikan minat dan cita-citaku.

Sejak perkembangan teknologi internet semakin berleluasa, aku agak terlewat untuk 'mengenali'nya. Mungkin lantaran suasana dan keadaan persekitaranku yang agak kurang mendesak penggunaannya. Namun aku tetap menyimpan angan-anganku sendiri. Dalam diam-diam dan sedikit demi sedikit kucuba mempelajarinya.

Hasrat untuk tidak terus 'buta' dalam dunia globalisasi kini, mendesakku untuk memiliki kemudahan seperti ini. Lagi pula, keadaan hidup kami yang semakin stabil dan kurang sibuk memberi peluang kepada kami memiliki semua ini.

Syukur Alhamdulillah, minat menulis yang terpahat dalam diri selama ini dapat kujadikan ia sebagai satu kenyataan. Kadang-kadang kuterpegun sendirian bila mengulang baca hasil tulisan sendiri. Walaupun terlalu banyak kekurangan dan kelemahan, aku tidak peduli, yang penting aku dapat menulis.

Teringatku pada satu hari yang begitu 'mengejutkan' buatku sendiri. Pada hari tersebut, aku diminta oleh rakan setugas untuk mengadakan latihan nasyid untuk sebuah pertandingan nasyid antara sekolah-sekolah Menengah di Daerah Alor Gajah Melaka. Latihan tersebut bermula jam 2:oo petang. Setibanya aku ditempat latihan, aku diadukan dengan satu masalah yang dihadapi oleh ahli pasukan nasyid tersebut, katanya lagu dan lirik nasyid hanya ada satu lagu sahaja sedangkan satu lagu lagi belum ada. Setelah perbincangan di buat, aku menyuruh mereka berlatih lagu yang sedia ada sedangkan aku akan menguruskan penyediaan lagu yang satu lagi itu. Tidak sampai jam 3:30 petang itu, lagu yang mereka minta telah siap aku karang dan lagu tersebut kuberi tajuk Ummul Mukminin. Apabila minta dilagukan, mereka amat menyenangi lagu tersebut.

Itu adalah satu 'kejutan' sebenarnya bagiku. Aku sendiri tidak menyangka, dalam masa yang begitu singkat, aku dapat menghasilkan sebuah lirik lagu nasyid. Dan dipendekkan cerita, pasukan sekolah kami telah berjaya mendapat tempat ke dua peringkat daerah dan telah berjaya untuk ke pertandingan di peringkat negeri Melaka.Kejayaan tersebut, memberi satu suntikan semangat buat diriku.

Dan pada tahun berikutnya, pasukan sekolahku telah menyertai satu lagi pertandingan iaitu pertandingan Nazam peringkat Negeri Melaka anjuran Kementerian Kesenian dan Kebudayaan Malaysia. Nazam merupakan salah satu daripada cabang seni yang popular di Melaka. Seperti juga dikir barat yang amat popular di negeriku (Kelantan), ia mempunyai lenggoknya yang tersendiri, tetapi liriknya berunsurkan nasihat. Setelah mempelajarinya hampir satu tahun, aku memberanikan diri menyahut cabaran membawa pasukan sekolah menyertai pertandingan tersebut. Pertandingan tersebut memerlukan dua buah lirik nazam hasil karya sendiri dan kedua-dua lirik nazam tersebut telah kucipta dengan penuh kesungguhan. Hasilnya sekolah kami telah berjaya mendapat tempat ke tiga dan telah membawa pulang hadiah berjumlah RM800. Bermula dari kejayaan tersebut, pasukan nazam sekolah kami menjadi pasukan jemputan untuk mengadakan persembahan dalam majlis-majlis rasmi di sekitar Alor Gajah.

Selain daripada itu, aku juga pernah mencipta lirik Nazam untuk persembahan pada Majlis Sepagi Bersama Pemimpin di Alor Gajah. Bertitik tolak daripada kejayaan itulah yang mendorong minatku untuk terus menulis.

Walaupun agak terlewat, seawal tahun ini kuluahkan hasrat untuk memiliki 'lap top' sendiri kepada suamiku. Dan sebagai suami yang memahami, beliau telah menyempurnakan hasratku. Terima kasih suamiku.

Sejauh pengalamanku yang ada, bukanlah menjadi hasratku untuk menjadi penulis yang terkenal tetapi cukuplah bagiku untuk menulis sesuatu yang dapat memberi suntikan motivasi buat diri sendiri. Atau sesekali boleh juga ku tayangkan sebagai bahan bantu mengajar, atau sebagai bahan untuk slot tazkirah di majlis perhimpunan rasmi di sekolahku. Atau mungkin boleh memberi sedikit manfaat kepada peminat blog sepertiku. Terlalu banyak sebenarnya manfaat dari penulisan sebegini.

Insya Allah , meskipun masa untukku menulis di media ini begitu terhad, namun itu semua tidak sama sekali akan membantutkan usaha yang telah ku mulakan ini. Sebenarnya terlalu banyak yang ingin kutulis dan kucatat di ruang ini, namun aku terpaksa 'menahan' perasaan tersebut, lantaran masa yang begitu mencemburuiku itu. Tak apa lah...semoga Allah memberiku kekuatan dan sentiasa menganugerahiku semangat serta merestui usahaku. Amin

Wallahu a'lam.


Santai...tapi penuh pengertian.

No comments:

Post a Comment