Friday, June 18, 2010

Cuti sekolah yang sentiasa dinanti-nantikan...

Salam Ukhuwah.

Alhamdulillah, musim cuti sekolah kali ini begitu bermakna sekali bagiku dan bagi kami sekeluarga. Banyak perkara yang kami dapat lakukan bersama-sama. Itu yang pentingnya, kerana maklumlah jika bukan musim cuti sekolah, kami jarang dapat bersama kerana ada di antara anak-anak kami yang tinggal jauh di asrama, manakala kami pula seharian di tempat kerja dan sekolah masing-masing. jadi cuti-cuti sebegini, sangat-sangat mengembirakan kami sekeluarga sebenarnya. Suamiku pun turut mengambil cuti beberapa hari ini untuk bersama-sama kami .

Seawal cuti persekolahan yang bermula pada 3 Jun yang lalu, kami telah mengambil peluang untuk membawa anak-anak jalan-jalan melihat tempat orang sebagai mengulangi agenda tetap kami setiap tahun. Biasanya agenda seperti ini kami lakukan setiap hujung tahun, tapi kali ini peluang ini waktunya dipertengahan tahun pula kerana mengambil peluang 'melancong sambil kerja'...iaitu mengikuti suamiku ke USM, Pulau Pinang. Langsung ke Pulau Pinang, kami turut dibawa ke Pulau Langkawi destinasi pelancongan yang agak lama kami tidak kunjungi.

Langkawi menyambut kami seperti biasanya juga, tiada bezanya dengan kedatangan kami sebelum ini. Ia hanya menawarkan tempat-tempat yang menarik untuk dilawati dan juga tempat-tempat untuk 'shopping'.

Kali ini entah kenapa, hatiku tidaklah begitu teruja sangat untuk semua itu, mungkin kerana kebanyakan tempatnya sudah beberapa kali kulawati, tetapi bukan untuk anak-anak. Mereka begitu gembira sekali apabila dibawa untuk merasai pengalaman menaiki 'cable car' merentasi hutan dan bukit-bukau untuk ke puncak Gunung Mat Chinchang. Apabila tiba di puncak, kami dibenarkan singgah di sebuah pelantar yang memang disediakan khas untuk para pengunjung menikmati pemandangan dan merasai kesejukkan suhu di puncak. Pemandangan dari puncak Gunung Mat Chinchang memang sangat indah. Dari ketinggian Gunung Mat Chinchang, kami dapat saksikan kehijauan bukit bukau dan kebiruan air laut yang mengelilingi pulau Langkawi. Keadaan suhu di puncak ini juga terasa berbeza dan sesekali awan tebal menutup pandangan di sekeliling kami. Subhanallah. Begitulah hebatnya kekuasaan Tuhan.

Bila menyebut Pulau Langkawi, ia terlalu sinonim dengan kisah Puteri Lagenda Mahsuri. Sebenarnya kisah-kisah lagenda sebegini bukanlah menarik minatku sangat. Tetapi adatlah, kalau kita dah bawa anak-anak ke sana, memang mereka akan merasa teruja untuk ke tempat tersebut. Semasa lawatan kami ke Makam Mahsuri yang kerapkali ku terangkan kepada anak-anak, bahawa ini kononnya sahaja, kalau pun ia benar tetapi pastinya sudah banyak tokok tambah pada ceritanya. Dan memang kisah lagenda ini boleh dibuat duit bagi Pulau Langkawi, kerana untuk masuk ke kawasan tersebut tiket RM3 -RM5 telah dikenakan kepada para pengunjung. Kalau difikirkan negeri Kelantan kita pun ada juga kisah lagenda seperti kisah Puteri Saadong, tetapi kenapa tidak diadakan salah satu tarikan pelancongan? Agaknya kerajaan negeri Kelantan tidak menggalakkan penglibatan dengan cerita-cerita yang tidak pasti kebenarannya ini.? Atau tiada faedahnya membangga-banggakan cerita berunsur lagenda seperti itu? Jika difikir-fikirkan, memang betul mereka dapat hasil dari kisah tersebut, tetapi tak salahkah menyemai cerita-cerita sebegitu ke dalam minda generasi IT hari ini? Entahlah...bagiku sekadar membawa mereka 'membaca' satu kisah novel dongengan untuk sekali seumur hidup mereka tidak salah kut....?

Setelah meninggalkan pulau Langkawi, kami singgah di pulau Pinang. Ada satu kisah yang tidak dapat dilupakan menyambut kehadiran kami di sini. Pada hari pertama di Pulau Pinang, iaitu sekembalinya suamiku dengan urusannya, pada sebelah petangnya kami dibawa ke bandar George Town untuk melihat apa-apa yang boleh dibeli untuk dijadikan buah tangan dari Pulau Pinang. Biasanya jeruk buah pala lah. Alhamdulillah, kami terjumpa dengan sebuah kedai yang menjual jeruk tersebut, lalu kami membelinya dengan harga RM5 setiap 1/2 kg. Banyak juga kami beli, maklumlah jumlahnya dihitung untuk sanak saudara dan jiran di kampung. Berat juga untuk membawanya. Aku menyuruh anak sulongku untuk membawanya. Kami berjalan dari satu kedai ke satu kedai yang lain, tetapi dalam tingkat yang sama saja. Pasaraya tersebut sebenarnya tidaklah besar manapun jika dibandingkan dengan pasaraya yang ada di Kota Bharu (ibu negeri Kelantan, negeri ku). Dipendekkan cerita, tidak berapa lama kemudian suami mengajakku dan anak-anak untuk pergi ke tempat lain pula, katanya ke Batu Feringgi. Setibanya di kereta, teringatku pada jeruk yang dibeli tadi dan minta kepastian adakah ia telah disimpan baik-baik. Anak sulongku mula panik, katanya mungkin dia tertinggal di dalam salah satu kedai tadi, lalu bergegas mencarinya. Aku juga terus menyusul kemudian. Malangnya setelah berpusing-pusing mencari dari satu kedai ke satu kedai yang kami singgah, kami tidak menemuinya. Ya Allah, manusia apa ini begitu tidak amanahnya, dalam masa yang singkat sesuatu yang tertinggal hilang lesap begitu saja. Pelik sungguh memikirkan sikap manusia hari ini. Bukan niatku untuk menuduh, tetapi hairan dengan keadaan seperti itu kerana mana mungkin ia akan hilang kalau tidak diambil oleh orang! Apapun...sedekah sajalah....lalu kami terpaksa membelinya semula..maka tersenyum lebarlah si tukang jual jeruk! Pengajaran yang dapat kupetik dari kisah hari itu ialah, bukan semua orang sama dengan kita. Kalau kita, mana mungkin kita akan 'terliur' barang orang, mungkin kita akan simpan dengan baik, kerana pastinya tuan punyanya nanti akan datang semula. Tetapi, tidak semua orang sama seperti yang kita fikirkan....tak apalah, ia hanya sekadar jeruk!

Teringatku kisah orang hilang selipar semasa berada di tanah suci. Dalam pengamatanku, mereka yang kehilangan selipar di sini bukanlah pula sesuatu yang pelik tetapi meeka yang kehilangan selipar / kasut di masjidil Haram atau di masjid nabawi ini adalah kerana salah sendiri. Kebanyakan daripada mereka meletakkan selipar atau kasut mereka di tempat yang bukan sepatutnya. Memang patutpun hilang, sebab si tukang sapu masjid sentiasa atau begitu kerap membuat kerja-kerja pembersihan masjid, jadi selipar atau kasut yang diletakkan berserakkan turut disapu bersih oleh mereka. Dan kalau ya pun para jemaah meletakkan di rak kasut yang disediakan, tapi mereka mungkin lupa rak yang mana satu mereka simpan. Kemungkinan untuk diambil orang, tidak dapat diterima oleh fikiranku, kerana semua jemaah yang datang ingin menyucikan diri mereka daripada dosa, jadi takkanlah mereka sanggup melakukan semua itu. Apa-apapun jika berlaku juga, niatlah telah disedekahkan kepada si fulan itu, habis cerita!

Hampir seminggu kami meninggalkan rumah kami. Sekembalinya ke rumah, kami bereskan kerja-kerja rumah yang terbengkalai, uruskan anak-anak ke kelas tambahan dan sesudah itu....peluang untuk menulis dan membaca blog-blog sahabat yang lain menjadi pengisian masa cutiku kali ini.

Seronok juga sesekali jadi 'surirumah'. Tidak puas rasanya menikmati keseronokan menjadi surirumah...dapat juga kubayangkan pengurusan masa yang dilakukan oleh surirumah setiap hari. Seawal mungkin sebelum subuh lagi mereka telah bangkit untuk menguruskan rumah tangga, menyiapkan sarapan pagi, menguruskan anak-anak dan suami ke sekolah dan ke tempat kerja, mengemas rumah, memasak, membasuh pakaian dan lain-lain lagi secara rutin. Ya, di musim cuti ini segalanya itu kulakukan untuk merasai kenikmatan menjadi surirumah yang baik. Kalau tidak, kehidupanku sentiasa dikejar oleh masa, semuanya memerlukan pergerakan yang pantas. Terutamanya dalam urusan menguruskan pakaian sekeluarga. Mujurlah anak-anak semuanya sudah semakin membesar dan semakin pandai menguruskan pakaian mereka sendiri. Membasuh, menyidai dan mengemas pakaian sudah menjadi tanggungjawab mereka masing-masing. Sememangnya perkara inilah yang kujadikan latihan buat mereka sejak mereka 'sudah pandai' mengurus diri. Beginilah kalau kita menjadi 'wanita yang berkerjaya'.

Walau bagaimanapun, sebenarnya dalam pengurusan rumahtangga, suami banyak membantu dan kami saling tolong menolong mengikut kesesuaian dan keperluan rumah tangga. Alhamdulillah, dalam usia perkahwinan kami yang telah masuk 17 tahun, kami belum pernah menggunakan khidmat pembantu rumah. Semuanya diuruskan oleh kami sekeluarga secara gotong-royong terutamanya pada hujung minggu.

Menjadi isteri dan wanita yang berkerjaya bukanlah sesuatu yang agak mudah sebenarnya. Kita semestinya menjadi seorang wanita yang cekap dan pantas dalam menguruskan segalanya. Memang benarlah kata orang, tekanan perasaan akan lebih cepat dialami sama ada tekanan di tempat kerja mahupun tekanan kerja-kerja di rumah. Tetapi walau siapapun kita, tekanan atau masalah pasti ada cuma keadaannya saja yang berbeza, jadi pandai-pandailah bawa diri.....sentiasa berfikiran positif dan jangan mudah melatah atau mengeluh adalah penawar kepada semua tekanan... Pandai-pandailah menguruskan masa untuk tugasan di rumah atau tugasa di tempat kerja. Keikhlasan yang lahir dalam hati semasa menguruskan kedua-dua tanggungjawab akan melahirkan rasa bahagia dan kepuasan dalam jiwa. Semuanya adalah mendapat pahala ibadat. Dan seperkara lagi, wujudkan persefahaman antara suami isteri . Ia adalah kunci kejayaan mengawal tekanan (stress) dalam rumah tangga dan juga di tempat kerja. Setiap pasangan hendaklah saling berbincang antara satu sama lain, saling tolong menolong dan juga saling bersedia menjadi pendengar yang baik. Jika semua ini berlaku, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Semuanya akan berjalan dengan lancar. Sesekali, bawalah keluarga keluar melancong untuk mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang.

Dan hari ini, sebagai penutup cuti pertengahan tahun, anak-anak merengek-rengek untuk menikmati mandi laut. Kasihan pula mereka, kerana memang sudah terlalu lama kami tidak pergi berkelah di tepi laut. Sebagai mengikat satu perjanjian supaya mereka belajar lebih rajin lagi, suamiku bersetuju membawa kami sekeluarga berkelah di pantai Bukit Kluang. Hampir seharian kami di sana...kulihat, anak-anak sangat menghargainya. Ok lah, besok hari kami akan kembali menyambung tugas seperti hari-hari yang lalu, sebagai pelajar, sebagai guru, sebagai isteri dan suami, juga sebagai ibu rumahtangga. Malam ini, anak-anak sudah bersedia dengan kelengkapan untuk menyambung semula persekolahan mereka dan kini telah nyenyak di ulik mimpi pun...sebagai persediaan untuk ke sekolah....

Moga-moga hari esok sentiasa menjanjikan sesuatu yang membahagiakan buat kami sekeluarga..... Terima kasih Allah, terima kasih Allah, terima kasih Allah...sesungguhnya kami sentiasa bersyukur kepadaMu kerana telah mengurniakan kami semua ini. Ampunilah segala dosa-dosa kami, bimbinglah kami, jadikanlah kami hamba-hambaMu yang taat, kurniakan kami tubuh badan yang sihat, anak-anak yang mendengar kata dan taat perintahMu, berikanlah kepada kami hidayah dan TaufikMu serta anugerahi kami kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin...


'Universiti Kehidupan : Pendidikan Sepanjang Hayat...'

No comments:

Post a Comment