Wednesday, June 16, 2010

Aku Cinta Kepadamu...


Salam Ukhuwah.

Selawat serta salam buat Rasul junjungan Nabi Muhammad SAW.

Sekarang ini musim orang-orang balik dari mengerjakan ibadat Umrah. Maklumlah, sekarang musim cuti sekolah, jadi ramailah yang mengambil kesempatan untuk ke Tanah Suci. Kami menumpang rasa bahagia apabila mendengar teman-teman pergi ke Tanah Suci. Rindu untuk ke sana hanya Tuhan saja yang tahu...siang dan malam, hati sentiasa berharap dan berdoa untuk mengunjungi tanah yang mulia itu, menziarahi makam Rasulullah SAW, solat berjemaah dan sebagainya...

Hari ini kami dititipkan hadiah istimewa dari seorang teman yang baru pulang dari Tanah Suci al-Haramain....sebuah buku bergambar yang memaparkan keindahan dan sirah al-Haramain..Cukup istimewa, dan membawa ingatanku padanya (Rasulullah SAW).Terima kasih yang tidak terhingga buatmu teman...Maka hari ini inginku abadikan sesuatu di sini, untuk dijadikan satu ingatan, pesanan dan mudah-mudahan dapat menambahkan rasa cinta kepadanya (Rasulullah SAW). Pesanan ini pertama-tamanya adalah untuk diriku sendiri....juga untuk semua sudi menerimanya...

Ya Rasulullah...aku mencintaimu...Allahuma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad.

Marilah kita bulatkan niat dan tekad untuk lebih menyintai Allah dan RasulNya, kerana mencintai Allah dan Nabi saw adalah satu perkara yang perintahkan.

Menyebut bahawa kita menyintai Nabi adalah sesuatu yang agak mudah jika dibandingkan untuk menterjemahkannya di dalam kehidupan seharian. Menyintai bermaksud meletakkan dirinya dalam hati setiap saat dan ketika. Menyintai sepenuh hati akan berlaku apabila suatu perkenalan telah berlaku, maka dengan sedikit usaha dan cita-cita yang ada, akan membuatkan kita terus berusaha ke arah itu.

Ada 8 cara untuk mencintai Nabi.

1. Mengenal Nabi
Kenalilah Nabi kita dengan banyak membaca sirah perjalanan hidupnya yang tersurat dan tersirat. Pelajarilah bagaimana hidup Nabi dan kita akan temui kehidupan yang cukup luar biasa untuk dicontohi.

2. Berselawat ke atas Nabi
Selalu berselawat ke atas Nabi dan memberikan kesejahteraan kepadanya. Dengan berselawat kita akan selalu mengingati Nabi, dengan banyak menyebut mengenai Nabi akan melahirkan cinta pada Nabi. Peruntukan satu-satu masa untuk berselawat kepada baginda, selain berselawat setiap kali selepas solat. Anggapkan berselawat itu bagaikan kita 'menghubungi' kekasih hati kita...

3. Mengikuti sunnah dan cara hidupnya
Kita ikut cara hidup Nabi dalam bentuk dirinya, cara hidup Nabi dalam keluarga, cara hidup Nabi dalam masyarakat, sunnah Nabi dalam bentuk kenegaraan dan sampai kepada Ummah sekeliannya

4. Membuat amalan disukai Nabi
Antara perkara yang Nabi suka ialah:-
1. menjaga, memelihara dan meraikan anak yatim
2. memberi makan orang yang susah
3. membantu orang kesempitan
4. menyampaikan hajat muslimin
5. menasihati orang yang lupa

5. Menghindari perkara yang Nabi benci
Antara perkara yang Nabi benci ialah:-
1. syirik
2. Menentang sunnahnya
3. berbohong di atas namanya
4. tidak bertegur sapa
5.hasad dengki / dendam mendendami

6. Menyampaikan dari Nabi kepada orang lain.
Sampaikankah apa yang disampaikan oleh Nabi pada orang lain. Ia disebut sebagai berpesan-pesan sesama muslim dan saling nasihat menasihati.

7. Mendampingi penggantinya
1. mendampingi alim ulama
2. mendampingi para Daie (para pendakwah)

8. Berdoa
Doakan Nabi, ahli keluarga dan sahabatnya. Berdoa supaya kita direzkikan mencintai Allah dan Rasulnya


Inilah lapan cara bagaimana ingin mencintai Nabi. Orang yang mencintai Nabi adalah orang yang layak mendapat syafaat dari baginda. Semoga Allah memberi kepada saya dan pembaca sekelian anugerah mencintai Nabi. Kerana sesungguhnya, tidak semua orang mendapat anugerah ini. Semoga kita sentiasa mengingati Allah dan Rasulnya, amin…

No comments:

Post a Comment