Tuesday, June 15, 2010

Takziah..

Salam ukhuwah. Selawat dan salam buat Rasulullah SAW.(Allahumma Solli 'ala Muhammad)

Tepat jam 5:45 pagi tadi, aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon...tetapi sebenarnya aku tidaklah terkejut manapun kerana aku sudah dapat menduga tentang apa maksud deringan telefon tu...walau bagaimanapun hatiku tetap juga berdebar-debar... "Innalillahi wa inna ilaihi rajiun". terpacul lafaz mulia tersebut daripada mulutku sebaik saja ku mendengar perkhabaran yang disampaikan. Sememangnya, dari semalam lagi berita tentang keadaan saudara sepupu kepada ibuku itu yang kami panggil 'Abe Nasir' kutahu.... Keadaannya semakin tenat dan kritikal selepas pembedahan dilakukan ke atasnya pada 13 Jun yang lalu. Dan hari ini, 15 Jun, beliau telah pergi menyahut panggilan Ilahi. Al-Fatihah.

Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosanya dan tempatkanlah rohnya bersama golongan orang-orang yang beriman. Amin.

Sejenak merenungi hakikat sebuah kematian, hatiku merasa insaf dan kerdil sekali tentang betapa begitulah akhirnya penyudah kepada sebuah kehidupan di alam maya ini. Memang setiap insan tidak mampu lari dari sebuah kematian. Setiap yang hidup pasti akan mati. Tidak ada siapapun yang mampu kekal menongkat langit di dunia ini. Setiap saat, setiap detik kita sebenarnya diburu dan dihambat oleh yang bernama mati. Sudahkah kita bersedia?

Jika difikir-fikirkan, alangkah bertuahnya seorang yang tua tapi masih waras dan tidak nyanyuk, seorang yang sakit tapi masih dapat melakukan ibadat kepada Allah...sudah tentu seorang itu dapat menjangkakan usianya mungkin 'tak lama'...akan melipatgandakan usaha untuk memohon keampunan dan mendekatkan diri kepada Allah....dn kemudiannya dia meninggal dunia...sudah pasti Allah akan memberi berjuta rahmat kepadanya...tetapi jika difikir-fikirkan balik, kalaulah berlaku sebaliknya...alangkah malangnya insan itu...

Seperti arwah Abe Nasir, senyum diwajah jenazahnya...membayangkan redhanya mengadap Ilahi...Abe Nasir menderita sakit kencing manis hampir 30 tahun yang lalu...dan keadaannya semakin parah sekitar 10 tahun yang lalu namun beberapa tahun kebelakangan ini beliau diberi kesembuhan dan dapat menjalani kehidupan yang sihat walaupun tidak sepenuhnya. Namun beliau disahkan pula mengalami masalah buah pinggang 2 tahun lepas...Kehidupannya sentiasa diambang 'maut'...namun, dari wajah yang sentiasa kulihat...beliau cukup tabah dan tidak berputus asa untuk meneruskan kehidupan. Pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan untuk mengembalikan kesihatannya. Dan seminggu yang lalu, beliau begitu bersemangat untuk melakukan pembedahan untuk memulihkan masalah jantung yang dihadapinya, walaupun 'menggadai nyawa'nya. Sememangnya pemergiannya sudah termaktub di dalam Qada' dan Qadar Allah.

Siapalah kita untuk semua itu... kita tidak tahu apakah takdir kita...Apa yang penting, kita hargailah masa muda kita, masa sihat kita, masa lapang kita, masa kaya kita...segalanya untuk beribadat kepada Allah SWT. Seharusnya masa kita punya 'masa-masa' itulah kita gunakan setiap saatnya tanpa sia-sia demi mencari keredhaan Ilahi dan merebut cintaNya.

Usahlah kita menunggu masa kita tua, masa kita sakit...baru kita mahu mendekatkan diri kepada Allah. Apakah yang akan kita jawab... jika belum sempat kita tua...kita telah dijemput Ilahi. Maut bukan ketentuan kita tapi adalah ketentuan Tuhan...Tanyalah diri sendiri, apakah kita sudah cukup persediaan? Nescaya orang yang mengenali dirinya akan memberikan jawapan yang benar, kerana sesungguhnya seseorang itu tidak mungkin bisa membohongi dirinya sendiri. Sentiasalah bertaubat kepada Allah serta yakinlah bahawa Allah menepati janjinya untuk mengampuni dosa dan menerima taubat hamba yang memohon keampunan kepadaNya. Sentiasalah mengingati Allah dalam setiap lorong kehidupan yang kita lalui, setiap daerah yang kita huni atau dalam erti kata yang mudahnya, dalam setiap jaga dan tidur sentiasalah kita mengingati Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

Rebutlah lima masa sebelum tibanya lima masa, masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kaya mu sebelum fakir, masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati.


'Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai. Masukkanlah daku, dengan limpahMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang salih.' (al-Naml : 19) ....Amin dan Wassalam.

No comments:

Post a Comment