Thursday, June 17, 2010

Sukarnya menjaga hati.....


Salam Ukhuwah.

Sejak dari petang tadi lagi, hati berkira-kira untuk meluahkan sesuatu di sini...tapi hati menghitung-hitung pula, risau jika ia tidak dapat diselesaikan...maklumlah 'tugas seharian' yang sentiasa menghambatku saban waktu benar-benar kurang mengizinkanku 'mengadap' di sini. Apapun, pada malam ini masa itu akan ku'curi' juga untuk melepaskan apa yang masih bersarang di dalam hati ini.

Semuanya pasal hati. Hati sebenarnya adalah yang mengatur segalanya, mengurus setiap kehendak dan tindakan. Kata orang hati adalah raja atau kerajaan dalam tubuh badan seseorang insan.Kalaulah hati itu adalah raja, jadi benarkah hati yang mengawal segala tindak-tanduk kita? Kalau hati itu kerajaan, mampukah kita mentadbir hati kita?

Sebenarnya kedudukan hati mengawal tindak tanduk kita begitu jelas sekali dalilnya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ini terdapat segumpal darah. Apabila segumpal darah itu baik, maka baik pula seluruh anggota tubuhnya. Dan apabila segumpal darah itu buruk, maka buruk pula seluruh anggota tubuhnya. Segumpal darah yang aku maksudkan adalah hati.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Namun sejauhmanakah kita mampu menjaga hati? Saban ketika, hati kita terlalu cepat dipengaruhi oleh keseronokan dunia, rasa ketidakcukupan, rasa gelisah melihat keberadaan orang lain, namun saban ketika pula hati juga mudah tersentuh dengan rasa penuh kesyukuran, rasa kehambaan dan rasa ingin sentiasa dekat dengan Tuhan Rabbul Izzati. Sukarnya menjaga hati...

Terkadang bila mata melihat sesuatu yang tidak menyenangkan, hati mula berkata-kata, hati mula membuat kupasan dan ulasan. Memang benarlah, ungkapan yang menyatakan untuk menjaga hati, pada masa yang sama seharusnya kita menjaga pandangan. Agar tiada kerja 'umpatan' di dalam hati. Sukarnya menjaga hati...

Saat tangan mengangkat takbir menghadapkan diri untuk menyembah Ilahi, hati pun mula berkata-kata...mulanya berniat ingin khusyuk dan penuh kehambaan, namun dipertengahannya hati mula 'merancang-rancang' sesuatu yang amat tidak kena pada masanya...mulalah kelam-kabut untuk 'mengembalikan diri' hadir dalam solat. Sukarnya menjaga hati...

Seketika bila merenung kekerdilan dan kenaifan diri, hati mula merasa gelisah dan melonjak-lonjak ingin dekat dan kembali kepada Tuhan, pelbagai azam untuk melakukan yang terbaik bertakhta di hati, tapi tiba pula saat untuk melaksanakannya hati pula menukarkan perancangan asal...Sukarnya menjaga hati...

Dalam hidup, kita tidak dapat lari dari bertemu dan berhubung dengan masyarakat, tak kiralah masyarakat dalam rumah sendiri seperti suami,anak-anak, ibu bapa dan kaum kerabat mahupun masyarakat di luar rumah seperti jiran, rakan sekerja dan sebagainya. Dalam menjalinkan hubungan dengan mereka ini juga, hati memainkan peranan yang penting. Islam menerangkan kepada kita dengan jelas sekali tentang tanggungjawab terhadap sesama manusia ini. Namun kata orang, banyak orang banyak ragamnya. Inilah cabarannya buat makhluk yang bernama manusia. Dalam pergaulan sesama manusia yang pelbagai ragam ini sudah tentu ada yang serasi dengan jiwa kita dan pastinya ada yang tidak 'sebulu' dengan kita. Ada yang memahami kita dan ada juga yang tidak memahami kita. Walau bagaimanapun hati mereka kita terpaksa juga menjaganya.Bagaimana dengan hati kita? Sukarnya menjaga hati...

Di tika kita melakukan sesuatu amal soleh, bersedekah, membantu orang dan sebagainya, terkadangnya datang godaan ingin mendapatkan kepujian. Seketika mendengar kejayaan dan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain, timbul pula rasa iri hati dan tidak puas hati terhadap apa yang sedang dimiliki. Sukarnya menjaga hati...

Namun walau sesukar mana pun menjaga hati, ia adalah satu ujian buat semua yang bergelar insan yang beriman. Walaupun urusan pentadbiran hati ini adalah di bawah penguasaan Allah SWT, namun sebagai insan yang beriman, kita hendak lah sentiasa berusaha untuk menjaganya. Dalam hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Abu Syaibah, Aisyah rha., berkata, “Nabi SAW sering berdoa dengan mengatakan, ‘Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku untuk selalu taat kepada-Mu.’ Aku pernah bertanya, ‘Ya Rasulullah, kenapa Anda sering berdoa dengan menggunakan doa seperti itu? Apakah Anda sedang merasa ketakutan?’ Beliau menjawab, ‘Tidak ada yang membuatku merasa aman, hai Aisyah. Hati seluruh hamba ini berada di antara dua jari Allah Yang Maha Memaksa. Jika mau membalikkan hati seorang hamba-Nya, Allah tinggal membalikkannya begitu saja.’”Oleh yang demikian berusahalah kita untuk 'mengambil hati' Allah agar sentiasa menganugerahkan kita hati yang taat kepadaNya.

Ketika kita diperintahkan untuk menjaga hati, maka kita diperintahkan untuk tidak mengotori hati. Kotornya hati adalah kerana maksiat. Maksiat yang kita lakukan seperti noda yang akan menutupi hati kita. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka." (Al-Muthofifin : 83)
Hati yang tertutup noda maksiat ini akan menjadi hati yang sakit, bahkan berpeluang menjadi hati yang mati. Dengan istighfar dan taubat lah noda yang menutupi hati bisa dibersihkan.

Maksiat ialah segala macam perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Termasuk maksiat adalah melihat hal-hal yang diharamkan Allah SWT untuk dilihat. "Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”. Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya”" (QS. An-Nuur : 30-31).Bagaimana mungkin kita menjaga hati sementara pancaindera kita yang lain dibiarkan bermaksiat?

Manusia sebenarnya tidak mampu mengurus hatinya tanpa izin Allah SWT. Allah lah yang membalikkan hati seorang hamba, dari semangat untuk beribadah kemudian hatinya lari dari keadaan mood untuk beribadah. Itulah mengapa Rasulullah saw berdoa agar Allah menetapkan hatinya pada ketaatan, jangan sampai Allah membalikkan hatinya pada ketidak-taatan.

Yang diharapkan adalah seseorang tetap berada dalam sunnah Rasulullah saw. “Setiap amalan manusia ada masanya penuh dengan semangat dan azam, dan ada masanya penuh dengan rasa malas dan kebosanannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya; Barangsiapa bosannya kembali kepada sunnahku bererti dia telah berbahagia, dan barangsiapa yang bosannya tidak membawa dia kepada yang demikian maka dia telah binasa.” (HR. Ahmad, lihat Shahih At-Targhib)

Hati manusia sentiasa berbolak-balik.Terkadang ia rasa tenang dan damai, terkadang pula ia rasa resah dan gelisah. Begitulah perlambangan kepada masalah keimanan. Kadang-kadang keimanan itu akan bertambah dan kadang-kadang pula ia akan berkurang. Ia bertambah kerana ketaatan dan berkurang pula kerana kemaksiatan. Iman yang turun/berkurang membuatkan seseorang tidak khusyuk hatinya. Berkurangnya iman itu adalah berpunca dari kemaksiatan yang ia lakukan. Manakala iman itu bertambah disebabkan semangat yang dicetuskan oleh ketaatan yang dilakukan.

Oleh yang demikian,demi menjaga posisi hati agar sentiasa terpelihara ketaatannya hanya kepada Allah, maka wajiblah kita berusaha menjaga ketaatan dan juga menjaga seluruh pancaindera dari melakukan maksiat. Mudah-mudahan hati kita bersih. Selain daripada itu, kita juga hendaklah sentiasa beristighfar dan berdoa kepada Allah SWT, agar hati kita tidak dibolak-balikkan oleh Allah SWT, agar hati kita akan terus berada di atas landasan yang benar.

Sebenarnya perasaan seronok pada kemewahan, dengki, riya', sombong dan dendam atau beribu macam penyakit lain yang bersarang pada hati kita, pastinya ia 'melalui' atau 'melintasi' pancaindera kita yang lain terlebih dahulu. Iaitu bermula dari lintasan di dalam fikiran terlebih dahulu. Apa bezanya lintasan dalam fikiran dengan apa yang ada dalam hati? Sebenarnya apa-apa yang kita lihat, kita rasa, semuanya akan diterima oleh fikiran terlebih dahulu, sebelum hati yang membuat keputusan. Oleh itu, apa jua lintasan di fikiran, selagi ia tidak diterima sebagai satu keputusan oleh hati, maka Allah SWT masih mahu mengampuni lintasan fikiran tersebut, tetapi kita hendaklah bersegera mohon berlindung kepada Allah dari penyakit hati dan bertaubatlah dari penyakit hati yang telah terlanjur bersarang. Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT mengampuni dari umatku terhadap apa yang masih terlintas di dalam hati mereka (Hadits Shahih)

Kebiasaannya perasaan ingin dipuji oleh orang lain, akan muncul setelah kita melakukan sesuatu yang baik. Sekiranya kita cepat tersedar perkara tersebut, maka perasaan itu tidak sempat bersarang di hati. Begitu juga dengan kebencian atau iri hati terhadap orang lain, bersegeralah kita mohon berlindung daripada Allah SWT jika ia terlintas di fikiran buat pertama kalinya, kerana jika kita membiarkannya maka dia akan masuk ke hati dan sukar sekali untuk membuangnya.

Sebenarnya penyakit-penyakit itu tidak akan bersarang kecuali pada tempat yang membolehkan ia 'hidup' dan 'merebak' iaitu pada hati-hati yang 'gelap; dan sudah berpenyakit disebabkan kemaksiatan kepada Allah SWT. Dan lintasan fikiran itu sendiri sebenarnya sukar tercetus kecuali pada fikiran yang telah sakit, yang diakibatkan oleh hati yang sakit juga.

Namun apakah yang sepatutnya dilakukan jika ia sering terlintas juga, walaupun telah diusahakan untuk menjaganya sebaik mungkin? Bermuhasabahlah! Mungkin masih ada lagi saki-baki 'penyakit' yang masih bersarang di hati. Jika ia benar, maka sentiasalah bertaubat dan berdoa. Di samping itu, berusahalah menjaga seluruh pancaindera dari melakukan maksiat kepada Allah, agar hati kita terjaga....

Sememangnya usaha ini bukanlah semudah yang dapat dibicarakan di sini, tetapi ia memerlukan semangat yang jitu dan bersungguh-sungguh demi mencari keredhaan Allah SWT. Inilah yang dikatakan jihad melawan nafsu. Dan nafsu itu sarangnya adalah di hati!


Wallahu'alam.

Yang Benar Itu dari Allah dan Rasul
Yang Lemah dan Silap itu dari Hambanya






Tazkirah...peringatan buat diri yang lupa..

No comments:

Post a Comment