Saturday, May 29, 2010

Sukarnya mendidik anak.....

Salam Ukhuwah buat semua.....

"Sukarnya mendidik anak-anak..."detik hatiku setiap kali anak-anakku bergaduh antara satu sama lain, atau setiap kali memastikan mereka mengerjakan solat...Itu baru empat orang....macam manalah ibubapa yang menjaga anak-anak yang ramai...?? Inilah cabaran sebenar bagi para ibubapa rasanya...

Barangkali...istilah 'menjaga anak' tidaklah terlalu sukar....kerana apa yang penting ialah 'menjaga' makan, minum, pakai, keperluan mereka dan menjaga keselamatan mereka saja...tetapi konsep 'menjaga' anak-anak dalam konteks memberi pendidikan agama inilah sebenarnya yang menjadi agak sukar.... Apa tidaknya, semasa anak-anak masih kecil...perasaan seronok 'menjaga' mereka, melayani kerenah dan kehendak mereka sememangnya tidaklah memberikan masalah yang besar...bahkan saat itulah amat terasa kemanisannya...usia kita pun masih muda...kemanisan berumahtangga masih lagi terasa dengan kehadiran cahayamata....

Yang terasa semakin sukarnya ialah 'menjaga' anak-anak yang semakin menginjak remaja dan dewasa. Lebih-lebih lagi 'menjaga' dan mendidik anak-anak dalam dunia yang serba mencabar ini. Terlalu banyak pengaruh negatif berada di sekekliling dunia hari ini yang memberi sumbangan besar terhadap kehidupan anak-anak zaman moden ini. Antaranya ialah pengaruh permainan (game) secara online, power station (ps 1,2,3,4 dan lain-lain yang aku sendiri pun tak tahu nak sebut), facebook,program-program hiburan di telivisyen dan sebagainya. Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh para ibubapa untuk mengawal selia, memandu arah, mengemudikan haluan yang betul kepada anak-anak. Bahkan sesetengah anak-anak remaja baru berusia 'setahun jagung; terlibat pula dengan masalah merempit, ponteng sekolah dan seumpama dengannya.

Cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi bukanlah setakat itu sahaja, bahkan cabaran untuk memastikan anak-anak cemerlang dalam peperiksaan juga merupakan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Inilah yang dikatakan 'sukarnya mendidik anak-anak' jika dibandingkan dengan 'menjaga dan mendidik mereka sewaktu mereka masih bayi atau kanak-kanak.

Sebagai ibubapa, kita hendaklah sering bermuhasabah dan berdoa untuk kejayaan anak-anak, bukan kejayaan di bidang akademik sahaja tetapi kejayaan dari segi ibadah dan akhlak mereka...Kurasa, setiap ibubapa sememangnya inginkan sesuatu yang terbaik buat semua anak-anak mereka..maka dalam ertikata mendidik anak-anak hari ini bukanlah lagi semudah mendidik anak-anak seperti zaman kita masih kanak-kanak dulu. Rasanya ibubapa kita dulu, cabaran mereka hanyalah kesusahan mencari rezeki untuk anak-anak, tetapi berbeza dengan kesukaran ibubapa hari ini...Lebih-lebih lagi bagi pasangan ibubapa yang berkerja, tentunya cabarannya lagi besar.

Dalam hal ini, siapapun ibubapa tersebut, mereka tidak seharusnya 'melepas tangan' dalam soal pendidikan anak-anak. Walau sesukar mana sekalipun, cabaran tersebut harus dihadapi. mereka tidak boleh berputus asa. Selagi masih ada nyawa, selagi masih sihat, walau sesibuk mana sekalipun, menjaga, mengurus rumahtangga dan mendidik anak-anak wajar menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi untuk menjadikan anak-anak mematuhi perintah Allah SWT dan rasulNya serta untuk menyediakan 'tapak' yang kukuh untuk masa depan mereka.

Dalam usaha mendidik anak, kita memang berharap anak kita jadi anak yang soleh, baik, tidak tinggalkan sembahyang dan sebagainya. Jadi setiap hari, setiap masa bersama anak seboleh mungkin kita cuba memberi contoh teladan yang baik, sediakan pelbagai peralatan (buku, CD, komputer, tv dan sebagainya) supaya anak-anak belajar dan mencontohi yang baik-baik, menjaga permakanannya dan sebagainya. Tetapi di samping itu jangan kita lupa, berdoa kepada Tuhan itu juga penting. Segalanya berlaku hanya dengan izinNya.

Sama-samalah kita berusaha supaya anak-anak kita jadi anak yang baik, soleh, lembut hati, dengar cakap mak ayah, taat perintah Tuhan dan sebagainya. Antara surah-surah yang boleh diamalkan ialah:

1. Surah Al-Fatihah (1 kali)
2. Ayat kursi (1 kali)
3. Surah al-Insyirah (1 kali)
4. Surah Toha ayat 1 hingga 7 (1 kali)

Rasanya ramai yang tahu ayat-ayat di atas, dan ramai yang sudah menghafalnya kecuali surah Toha ayat 1 hingga 7. Dibawah ini kuletakkan ayat itu bagi memudahkan kita mengamalkannya. Mudah-mudahan dengan izinNya apa yang kita hajatkan dimakbulNya.

Maksudnya:
  • Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
  • Taa Haa.
  • Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.
  • Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah
  • (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.
  • Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.
  • Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.

Kepada semua ibubapa...teruskan usaha murni untuk membentuk jiwa muslim dalam diri anak-anak, teruskan usaha yang jitu untuk memastikan masa depan yang cerah buat anak-anak, teruskan berdoa untuk kejayaan anak-anak di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya, kejayaan apa sekalipun tidak ada yang datang bergolek, bahkan semuanya mesti didahului dengan usaha dan kesabaran serta diiringi dengan doa sepanjang masa dan ketika. Jadilah ibubapa yang cemerlang, demi anak-anak yang gemilang, mudah-mudahan Allah SWT melapangkan seluas-luas rahmat buat ibubapa semua di dunia dan di akhirat, mudah-mudahan kita tidak akan dipersoalkan olehNya kelak terhadap apa yang kita telah lakukan terhadap 'tanggungjawab' kita sebagai ibubapa. Ingatlah bahawa anak-anak kita adalah amanah Allah SWT kepada kita. Dan janganlah sampai ada orang akan mengata; "orang ada anak, kita pun nak ada anak, tapi bila Tuhan sudah mengurniakan anak, kita tidak tahu jaga pula." Sebaliknya, banyakkanlah berdoa ; "Rabbana Hablana min azwajina wa zurriyatina Qurrata a'yun waj alna lilmuttaqima imama". (QS :)

Akhir sekali, ku mengingatkan diri ini dan juga ibubapa yang lain agar teruskan cita-cita untuk menjadi ibubapa yang terbaik, meskipun banyak cabaran yang menghalang...

Sekian, Selamat berkongsi dan Wassalam


'Zuriat Kita : Anugerah Allah yang amat berharga'

No comments:

Post a Comment