Friday, May 21, 2010

Haji: Sebuah Kenangan Indah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera buat semua tetamu Allah dan juga buat semua pembaca catatan ini. Entah kenapa hari ini, diri ini terpanggil untuk merakamkan sesuatu tentang sedikit pengalaman paling manis dan indah sewaktu dijemput Allah untuk menjadi tetamuNya dua tahun yang lalu...Terima kasih Ya Allah...Sesungguhnya kenangan berkunjung ke rumahMu masih tetap segar diingatan ini.

Kunjungan ku ke Kota al-Haramain (Mekah dan Madinah) bukanlah keseorangan, tetapi berempat iaitu ibu dan bapa mentua (suami isteri) serta kami suami isteri. Bersyukur ku kepada Allah kerana impian dan cita-citaku ingin menyempurnakan rukun Islam yang kelima sebelum usia mencecah 40 tahun termakbul jua. Dan sememangnya inilah niatku sewaktu ku mula menabung di Lembaga Tabung haji dengan sebahagian kecil gaji pertamaku.

Kt 68 ialah penerbangan yang menbawa kami ke Tanah Suci. Oleh kerana hampir dua minggu sahaja lagi dengan hari WUKUF, maka kami terus di bawa ke Tanah Suci Kota Mekah al-Mukarramah. Sejak dari tanahair lagi, jauh dari sudut hatiku terpahat azam ingin menjalani ibadat haji sebaik mungkin dengan menumpukan sepenuh rasa pengabdian kepada Allah, disamping memenuhkan seluruh ruang dijiwa dengan kesabaran yang tinggi. Apatah lagi kepergian ku membawa satu tanggungjawab yang besar iaitu mengurus dan membimbing kedua orang tua kami. Ku sedar, dari kuliah-kuliah ilmu yang kuhadiri ku dimaklumkan bahawa terdapat pelbagai dugaan dan banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh jemaah haji. Bagiku persediaan mental dan fizikal adalah jalan yang terbaik untuk merasa 'lazat' dan 'manis'nya ibadat haji.

Setelah melewati tempoh masa seharian dalam penerbangan dan perjalanan dengan bas, akhirnya kami tiba di Mekah lebih kurang jam 10.30 malam 5hb Disember 2007, kami berempat ditempatkan dalam satu bilik yang sama. Syukur kepada Tuhan, semua ini membantu kami menjaga ibubapa kami sebaik mungkin. Dan pada malam itu juga kami menunaikan umrah yang pertama. Ya Allah, rasanya mimpiku berulang lagi, sekali lagi aku dapat melihat Kaabah buat sekian kalinya tersergam dihadapan mata.Kali pertama ku bertamu di kota ini ialah pertengahan tahun 2006 kerana menunaikan ibadat Umrah dan ziarah. Airmata tak tertahan lagi dari terus mengalir di pipi. Hatiku sebak, terasa diri ini terlalu kerdil dalam lautan manusia yang tawaf mengelilingi Kaabah dan berlari-lari anak dari Safa’ ke Marwah. Hatiku teringatkan ayat al-Quran yang menerangkan tentang "akan datang ramai manusia ke tempat suci ini semata-mata untuk melakukan ibadat kepada Allah S.W.T." Hatiku mengiyakan bahawa kenyataan itu benar. Terasa benar Agungnya kekuasaan Allah dan kebesaranNya. Maha Suci Allah yang Maha Kuasa. Ya Allah, aku hamba yang hina dan lemah datang memohon ampun dan redhaMu, jadikanlah aku insan yang berguna dan berjaya di dunia dan di akhirat.

6hb Disember 2007, selesai ibadat Umrah, kami kembali ke tempat penginapan untuk berehat. Lebih kurang jam 3.30 pagi kami bersedia pula untuk ke Masjidil Haram menunaikan Solat Subuh. Di Masjidil Haram, dalam lautan umat Islam khususnya jemaah wanita kucuba mencari sudut yang membolehkan aku dan ibuku menyaksikan Kaabah yang mulia.Begitulah setiap kali ku ke Masjidil Haram untuk solat dan beriktikaf di dalamnya. Ku masih ingat, pesan guru pembimbing kami, katanya melihat Kaabah juga satu ibadat. Dan aku tidak ingin terlepas peluang itu.

Setiap hari sebelum menjelangnya hari WUKUF, umat Islam semakin ramai. Perjalanan pergi dan pulang dari Masjidil Haram terpaksa melalui lautan manusia. Waktu sebegini setiap jemaah memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menghadapi pelbagai kerenah jemaah, dan berkat kesabaranku, kesulitan ini kuhadapi dengan tenang di samping kujadikan ia sebagai satu pengajaran bahawa walau sesusah manapun kita menghadapi sesuatu cabaran kalau ditangani dengan sabar maka kesusahan tersebut masih mampu membuat kita rasa gembira dan bahagia.
Pada tanggal 18 hb Disember 2007M bersamaan dengan 9 Zulhijjah 1428H, lebih kurang jam 5.30 pagi, setelah hampir 10 ke 11 jam kami menanti giliran, barulah kami dapat bertolak ke Arafah untuk ibadat WUKUF. Semalaman kami menanti bas yang akan membawa kami ke Arafah, namun kami terpaksa akur, inilah yang ditetapkan oleh Allah untuk kami. Lebih kurang 4 kumpulan yang menantikan 4 buah bas terpaksa disatukan ke dalam 2 buah bas sahaja bagi menyelamatkan keadaan dan masa. Di pertengahan jalan yang sibuk, sekali lagi dugaan dari Allah kami lalui. Bas yang kami naiki rosak pula. Hatiku tak putus-putus berdoa, agar Allah memudahkan urusan ibadat kami semua. Syukur kepadaNya, tak sampai satu jam, ada bas lain yang datang untuk membawa kami ke Arafah.

Dalam perjalanan ke Arafah, sempat juga kusaksikan di kiri dan di kanan jalan, pelbagai ragam umat Islam menuju ke Arafah, ada yang naik kenderaan seperti van dan lori kecil, ada juga yang duduk atas bumbung bas, ada yang jalan kaki dan tak kurang juga yang berkenderaan mewah.Sekali lagi ku terkenangkan ayat al-Quran yang sering kubaca yang menceritakan "bahawa akan datang manusia dari seluruh pelusuk bumi untuk menunaikan ibadat Haji dengan pelbagai cara, berkenderaan, naik unta" dan macam-macam lagi. Waktu itu, sekali lagi terasa sangat-sangat akan kebesaran Allah dan kebenaran kata-kataNya.Hatiku sebak lagi.Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dosa kedua-dua ibu bapaku, dosa suamiku dan anak-anakku, dosa kaum muslimin dan muslimat. Sesungguhnya Ya Allah, aku sungguh takutkan balasan azabMu, jika dosaku tidak mendapat pengampunan dariMu. Ampunilah kami danberilah kami Rahmat. Redhailah kehidupan kami di dunia dan di akhirat. Sepanjang jalan, hatiku terus berdoa kepada Tuhan.

Lebih kurang jam 11.00 pagi barulah rombongan kami tiba di Arafah. Pemandangan di Arafah dipenuhi dengan khemah berwarna putih yang melindungi jemaah haji dari panas terik matahari mahupun dingin di malam hari. Di Arafah, kucuba sedaya upaya menghayati kelebihan-kelebihan berada di tempat pertemuan Adam dan Hawa ini. Di bumi Arafah, meyaksikan airmataku tertumpah dengan banyaknya. Sewaktu menghayati khutbah yang disampaikan oleh wakil Tabung Haji aku merasakan diri ini bermimpi dalam perjalanan ke Mahsyar setelah dibangkitkan oleh Allah setelah berlaku hari kegemparan yang dahsyat. Betapa perasaan ‘takut’ yang sukar digambarkan dengan kata-kata menyelubungi hatiku. Ya Allah, terimalah ibadatku, ampunilah aku…..tempatkan aku bersama orang-orang yang Engkau sayangi, para auliya’, para anbiya’, para syuhada’ dan golongan orang-orang yang soleh. Tetapkanlah imanku, limpahkan hidupku dengan hidayahMu.

Namun seketika cuma kami sempat berada di bumi Arafah, kerana selesai Solat Jamak Maghrib Isyak, kami dijemput untuk ke Mudzdalifah. Kami tiba di Muzdalifah tanpa menghadapi sebarang masalah. Alhamdulillah, kalau siang tadi kami diberi sedikit dugaan, Tuhan telah mempermudahkan urusan kami kali ini. Dengan perasaan yang bercampur antara gembira dan terharu, aku mengucap syukur padaNya. Kami habisi masa di Muzdalifah dengan mengutip anak-anak batu untuk ibadat MELONTAR nanti, solat sunat dan juga berzikir sambil berehat. Di Muzdalifah ini, sekali lagi hatiku terusik. Manusia melaut seluas mata memandang. Masing-masing menunggu kedatangan bas yang akan membawa ke Mina pula. Terdetik di sudut hati kecilku, bahawa beginilah penantian di Hari Hisab. Setiap manusia menanti saat dihisab segala amalan mereka semasa hidup di dunia. Menanti di Muzdalifah tidaklah menyiksakan sangat berbanding dengan penantian di Yaumul Hisab. Nauzubillah!.

Lebih kurang jam 2.00 pagi 10 Zulhijjah 1428H, kami tiba di Mina. Kali ini juga perjalanan dan urusan kami dipermudahkan oleh Allah. Kami ditempatkan dalam sebuah khemah yang agak sempit dengan muatan jemaah yang ramai. Namun bagiku kesyukuran tetapku panjatkan pada Ilahi kerana bagiku tetap merasa cukup ‘selesa’ berbanding dengan rakan jemaah lain yang terpaksa berjalan kaki dari Muzdalifah ke Mina yang mengambil masa 3 – 4 jam, manakala ada juga yang terpaksa tidur kesejukan di luar khemah. Sujud syukurku padaMu ya Allah…

Jam 7.00 pagi kami dibawa ke Jamrah al-Kubra untuk ibadat wajib iaitu MELONTAR JAMRAH AL-KUBRA. Dalam perjalanan ke jamrah yang penuh sesak dengan manusia hatiku berbisik, bahawa perjalananku yang mengambil masa hampir 2 jam setengah ini adalah semata-mata menurut perintah Allah S.W.T. Selesai MELONTAR JAMRAH AL-KUBRA, kami berTAHALLUL dengan BERCUKUR beberapa helai rambut. Ibadat BERCUKUR adalah simbol membuang segala sifat-sifat syaitan atau sifat-sifat mazmumah. Ku ‘buang’ segala sifat-sifat terkeji yang ada dalam diriku sepenuh hati. Mudah-mudahan Allah membantuku dan merestui hasrat dan azamku. Ya Allah, kau peliharalah hati ini dan jauhilah ia dari sifat takbur, riak, sombong, angkuh, bakhil, dengki dan sebagainya, sebaliknya Kau hiasilah hati ini dengan sifat-sifat terpuji dan mahmudah seperti sifat ikhlas, sabar, pemurah dan hati yang sentiasa ingat padaMu. Alhamdulillah, dalam pelbagai keadaan yang dihadapi aku masih merasa tidak terlalu sukar untuk dilalui.

Subuh 11 Zulhijjah 1428H, kuhayati kuliah Subuh yang disampaikan oleh mutawwif kami. Kata Ustaz, Mina ini tanahnya adalah tanah yang mulia. Rasulullah S.A.W ibaratkan tanah Mina ini sebagai rahim ibu di mana ia boleh memuatkan seberapa ramaipun jumlah manusia. Masya Allah, memang benar! Dari pemandangan yang kulihat, di bumi Mina ini di mana-manapun ada manusia yang tinggal atau mendirikan khemah. Allahu Akbar! Dan kata Ustaz lagi, Hari Mina ialah hari makan, hari minum dan hari perbanyakkan zikrullah. Zikrullah adalah makanan kepada roh atau jiwa manusia. Apabila roh diberi ‘makan’ maka roh itu disucikan oleh Allah. Itu adalah pesanan mutawwif kami yang sempat kucatatkan. Memangpun, itulah saja yang kita boleh buat sewaktu berada di bumi Mina, dan kalau kita tidak buat maka rugilah kita…kerana bumi Mina ini adalah bumi istimewa. Di Mina kita diperbolehkan solat sunat bila-bila masa sahaja. Tidak ada waktu haram solat di bumi Mina.

Jam 9.00 pagi 11 Zulhijjah 1428H, aku dan suami pergi MELONTAR TIGA JAMRAH. Dan kali ini suamiku menyatakan hasratnya untuk membotakkan kepalanya. Hatiku tersentuh, terharu dengan niat sucinya. Sepanjang yang kukenal, suamiku amat menyayangi mahkotanya itu, tetapi kali ini dia bukan sahaja bercukur beberapa helai rambut, tetapi sanggup membuang semua rambut di kepalanya. Jauh di sudut hatiku, memanjat rasa syukur kepada Allah, aku terlalu bahagia... Ya Allah, terimalah ibadatku dan ibadat suamiku serta bahagiakanlah kami dunia dan akhirat.

Pada 12 Zulhijjah 1428H pula, kami keluar bersama beberapa sahabat yang lain untuk ibadat MELONTAR TIGA JAMRAH lebih kurang jam 3.00 petang. Ibu dan bapa mentua sejak dari kali pertama melontar, tidak dapat ikut serta kerana mereka tidak sihat dan tidak kuat untuk berjalan dalam kadar perjalanan yang terlalu jauh. Manakala bantuan kerusi roda tidak dibenarkan. Maka kami mendapat pengesahan daripada guru pembimbing kami untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dengan kepastian yang kami dapat, maka kami menjadi wakil bagi kedua ibubapa kami untuk melontar jamrah bagi pihaknya. Kesesakan dan jarak jauh perjalanan, benar-benar menguji kesabaran. Namun kami tetap gembira menghadapi semua situasi yang bagi kami itu adalah pengalaman yang menggamit kerinduan hingga kini. Ramai jemaah yang telah buat NAFAR AWAL(meninggalkan Mina dan balik ke Mekah dengan niat tidak ingin kembali lagi ke Mina). Ada juga diantara jemaah yang berulang alik ke Mekah dan kembali semula ke Mina untuk ibadat BERMALAM DI MINA. Tapi tidak bagi kami, memandangkan jarak antara Mina – Mekah yang jauh iaitu antara 5 – 6 km untuk berjalan kaki, apatah lagi kami punyai tanggungjawab yang besar menguruskan orang tua kami , lebih baik kami tetap di Mina sehingga selesai ibadat wajib di sini. Kami membuat keputusan untuk melakukan NAFAR THANI (meninggalkan Mina untuk kembali ke Mekah setelah selesai ibadat MELONTAR TIGA JAMRAH pada 13 Zulhijjah).

Pada 13 Zulhijjah, kami suami isteri MELONTAR TIGA JAMRAH pada jam 6.00 pagi. Kali ini kami pergi berdua sahaja. Dalam perjalanan kembali dari Jamrah ke khemah, sempat lagi kami singgah bersarapan teh panas dan roti percuma ‘pak arab’di bahu jalan sebelum kami melalui terowong Muassim. Masya Allah, hamba-hamba Allah di sini berebut-rebut bersedekah dan memberi makan kepada orang yang lalu lalang. Itulah pengajaran yang ku dapati hari itu. Setiap inci langkahku kali ini ku hayati benar-benar. Hatiku berbisik sayu untuk mengakhiri perjalanan hari terakhir di bumi Mina. Perjalanan hari ini tidaklah sesesak manapun, kerana ramai jemaah telah balik ke Mekah.

Selain melaksanakan ibadat wajib seperti melontar tiga jamrah iaitu jamrah al-Ula, jamrah al-Wusta dan jamrah al-Kubra pada setiap siangnya, setiap hari di Mina sehinggalah tiba waktu untuk kembali semula ke Mekah, kami disajikan dengan kuliah-kuliah ilmu yang cukup bermakna. Terima kasih buat ustaz-ustaz yang membimbing kami sepanjang ibadat haji yang kami tunaikan.13 Zulhijjah 1428H, lebih kurang jam 2.30 petang, kami tiba di Mekah. Selesai solat jamak Zohor dan Asar, kami terus menyelesaikan ibadat TAWAF dan SAIE HAJI kami.Kesesakan sewaktu ibadat TAWAF masih tak berkurang, begitu juga di tempat SAIE. Namun doa agar dipermudahkan urusan ibadat tersebut daripada Allah S.W.T sentiasa mengalir dalam setiap urat nadiku, dalam setiap hembusan nafasku..... Alhamdulillah, syukurku kepadaMu ya Allah kerana mendengar dan memakbulkan doaku. Meskipun bersama kami ada orangtua (ibu dan bapa mentuaku) yang terpaksa kami uruskan, namun kami masih lagi merasa senang dan tenang dengan semua urusan ibadat di kota suci ini. Kini, sempurnalah rukun Islam kami yang ke lima. Doaku kepada Allah, terimalah ibadat kami dan ampunilah dosa kami serta kurniakanlah kami haji yang Mabrur. Haji yang mabrur adalah ibadat haji yang diberi kebajikan iaitu mendapat ganjaran syurga di sisi Allah. Antara nikmat syurga ialah, senang yang tiada susah, suka yang tiada duka, sihat yang tiada sakit, muda yang tiada tua dan hidup yang tiada mati. Ya Allah, berilah kami kejayaan untuk menikmati semua itu dan jauhkanlah kami dari azab neraka yang amat menyiksakan ‘tidak hidup dan tidak mati’. Selesai ibadat haji, kami menghabiskan masa yang berbaki sebelum bertolak ke kota Suci Madinah al-Munawwarah dengan menunaikan ibadat Umrah, solat fardhu lima waktu sehari semalam di Masjidil Haram, beriktikaf, membaca al-Quran, berzikir sambil merenung Kaabah dan sesekali membeli belah cenderahati untuk dibawa pulang ke tanahair. Sepanjang tempoh tersebut, ada satu peristiwa yang tidak dapat kulupakan. Ia benar-benar menyaksikan satu lagi kebenaran tentang kebesaran Allah S.W.T.

Pada tanggal keramat 3 Januari 2008, tepat jam 9.00 pagi, aku dan suami berjanji untuk bersama-sama melakukan ibadat tawaf Umrah. Pagi itu jemaah yang bertawaf agak kurang ramai daripada biasa. Syukur ! detik hatiku. Dalam perjalanan menuju ke garisan permulaan untuk tawaf, kami melalui pintu 62 (Bab al Umrah).Tiba-tiba kami melihat seorang jemaah lelaki berpakaian ihram, terjatuh ke lantai tidak jauh dari penjuru Kaabah. Seorang jemaah wanita, isterinya barangkali berada di sisinya. Kedengaran orang ramai bersuara, Malaysia! Malaysia!. Agaknya jemaah dari Malaysia, agakku. Suamiku segera meluru kearah jemaah lelaki tersebut untuk memberi pertolongan barangkali. Aku cuba melihat dari jauh. Tiba-tiba datang polis Masjidil Haram mengawal keadaan orang ramai yang mula berkerumun di sekeliling jemaah tadi. Akhirnya suamiku dan orang ramai diminta bersurai. Dalam pada itu, aku masih meyaksikan situasi tersebut, dan dari jauh ku lihat mukanya ditutup. Aku menarik nafas, hatiku berbisik…Ya Allah, alangkah mulianya hari kematiannya, ‘rebahnya’ menyahut panggilan ke pangkuanMu di tempat yang semulia ini…alangkah ‘baik nasibnya’…mudah-mudahan Allah tempatkan rohnya bersama-sama roh golongan yang muttaqin dan solihin..Ya Allah.. matikanlah aku dalam iman, matikanlah aku dalam kemuliaan, matikanlah aku dalam ‘husnul khatimah’. Airmataku tertumpah lagi…aku menangis. Tanpa kusedari suamiku telah berada di sisi mengajakku meneruskan ibadat Tawaf. Sambil mengelilingi Kaabah, mulutku memuji-muji nama Allah dan setiapkali kalimah Allah kulafazkan….airmataku mengalir, aku merasakan terlalu kerdil, terlalu naïf berada di hadapan Rumah Allah yang mulia ini.

Peristiwa itu benar-benar menginsafkan aku bahawa sesungguhnya Allah Maha Besar, Maha Agung dan Maha Kuasa. Setiap yang hidup pasti akan mati. Dan setiap yang mati akan merasai keperitan kematian. Ah! Betapa ngerinya mengingati detik-detik kematian yang pernah kusaksikan sebelum ini. Masih tergambar diruang ingatanku, saat-saat roh dan jasad nenekku terpisah suatu ketika dulu….hingga kini nenekku cuma hadir dalam kenangan, nenekku sudah tiada lagi di dunia ini, begitu juga dengan bapa kandungku…Aku berserah kepadaMu ya Rabbi…Tuhan yang menciptaku ke dunia ini….

Hari-hari di kota al-Haram ini kuteruskan dengan mengabdikan diri kepada Allah, hanya itu sahaja aktiviti yang dilakukan oleh jemaah yang lain juga. Rasa sayang, pilu dan sayu untuk meninggalkan kota ini makin terasa kerana seperti biasa musafir kami ke sini sudah diatur jadual perjalanannya. Pagi 4 Januari 2008, kami melakukan TAWAF WIDA' sebagai tanda kami akan keluar dari kota Mekah untuk meneruskan ziarah kami ke bumi al Haram yang kedua mulianya dalam Islam, Kota al Madinah al-Munawwarah. Hatiku sungguh sebak pagi itu, seolah-olah satu keterpaksaan meninggalkan orang yang disayang terpaksa kulakukan. Airmataku yang tercurah-curah sengaja kubiarkan untuk membuai perasaan sebakku, lebih-lebih lagi di saat aku menadahkan tangan bermohon kepada Allah untuk menjemputku lagi menjadi tetamuNya di Baitullah. Aku tidak lagi mengendahkan orang-orang yang ada di sekelilingku. Di hadapan Kaabah yang mulia itu kuluahkan segala yang ada di dalam hatiku. Aku benar-benar merasa berat untuk melangkahkan kaki keluar dari Masjidil Haram hari itu. Namun dengan keyakinan dan keazaman untuk datang kembali suatu hari nanti, kupujuk hatiku untuk tidak menangis lagi.

Dalam perjalanan keluar dari kota Mekah, aku masih sempat melayan fikiranku tentang keistimewaan yang terdapat di Kota suci ini. Keadaan mukabuminya yang berbukit bukau serta gersang, membuatkan aku berasa insaf, betapa kuatnya semangat penduduk-penduduk awal Mekah mengharungi hidup dalam keadaan yang serba payah. Ingatanku kembali kepada Sirah Rasulullah S.A.W. yang pernah kubaca. Betapa baginda mengharungi peristiwa Hijrah dari Mekah ke Madinah hanya berkenderaankan unta meredah padang pasir yang luas terbentang tanpa ada tempat berteduh. Sedangkan kini penggunaan bas dan kemudahan jalanraya masih menguji secebis kesabaran pengunjung kota suci itu. Alangkah hebatnya insan bergelar Muhammad Rasulullah ini. Betapa kesabaran, ketabahan, ketahanan dan semangat kentalnya membuat aku terpanggil untuk mencuba ke arah itu. Allahumma Solli 'Ala Muhammad Wa'Ala Ali Muhammad Wa 'Ala Ashabihi Ajma'in...

Seharian dalam perjalanan ke Madinah, kami dihidangkan dengan pelbagai hadiah, makanan dan minuman yang disediakan oleh Muassasah Arab. Berbagai bekal berupa roti dan air diberikan kepada kami di beberapa perhentian yang kami singgahi. Dan kenangan makan hidangan ‘Nasi Mandi’ paling tidak dapat kulupakan kelazatan dan keenakan masakan Arab itu. Nasi Mandi ialah nasi beriani berlauk ayam yang dihidangkan dalam satu dulang yang besar untuk dimakan secara berkongsi antara empat hingga lima orang. Tak cukup boleh tambah. Nasinya saja sudah sedap dimakan, apatah daging ayamnya yang sangat lembut dan lazat. Pendek cerita lazat sungguh!

Pada pertengahan waktu Maghrib, kami tiba di hotel penginapan kami di Madinah. Kami diberikan kunci bilik masing-masing dan kali ini kami terpisah. Aku tak kisah, tetapi suamiku cuba berbincang dengan pihak pengurusan. Di hotel ini pun masih diperuntukkan empat orang sebilik, sedangkan kami juga berempat maka kerana itulah juga kami cuba berbincang. Alhamdulillah, hasrat kami diterima baik oleh pengurusan. Kami diberikan bilik paling atas sekali iaitu tingkat 11. Dengan rasa bersyukur dan gembira, kami masuk ke bilik itu dan kami terharu dengan ‘bonus’ yang kami dapat. Bilik itu amat luas dan selesa sekali bagi kami. Syukur pada Ilahi. Walaupun bukan tujuan utama mendapat bilik VVIP seperti itu, namun itulah rezeki kami. Perasaan gembira menyemarakkan lagi bagi kami menghayati nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

Sepanjang berada di bumi Madinah ini, tidak jauh bezanya dari waktu berada di bumi Mekah. Sebagai musafir di bumi al Haramain kami datang dengan niat yang satu iaitu beribadat kepada Allah. Masa di Madinah amat terbatas, jadi kami gunakan semaksima yang mungkin. Pesan Ustaz, kalau berziarah ke Masjid Nabawi solatlah berjemaah sekurang-kurang 40 waktu, beriktikaflah di dalamnya, bersolat sunat di Raudhah, berdoa dan berselawatlah sebanyak-banyaknya kepada Rasulullah S.A.W.

Berada di Kota Suci Madinah al-Munawwarah juga turut memberi pengertian yang tersendiri untuk musafirku kali ini. Khususnya pengalaman Solat Sunat di Raudhah. Untuk ke tempat yang bernama RAUDHAH memerlukan kesabaran yang tinggi khususnya bagi jemaah wanita. Apa tidaknya, jemaah wanita hanya diperuntukkan waktu pada waktu pagi antara jam 8:00 pagi hingga jam 11:00 pagi sahaja dan pada sebelah malamnya pada jam 10:00 malam hingga jam 12:00 atau 1:00 pagi sahaja. Dan jemaah wanita terpaksa menunggu giliran mengikut benua atau negara yang mereka datang, seperti benua Asia( jemaah Indonesia dan Malaysia disatukan dalam kumpulan yang sama). Begitulah dengan jemaah dari negara lain...berjam-jam menanti barulah tiba peluang bersolat sunat di Raudhah.

Raudhah merupakan satu tempat yang sangat istimewa yang terdapat di dalam Masjid Nabawi bersebelahan dengan Makam Rasulullah S.A.W dan para Sahabat seperti Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar dan Saiyidina Uthman. Raudhah mempunyai banyak keistimewaan dan dikatakan salah satu tempat yang mustajab untuk berdoa. Tapaknya adalah dari tanah yang diturunkan dari syurga. Maka sebab itulah Raudhah menjadi tempat 'rebutan' dan tempat yang 'wajib' dikunjungi oleh jemaah yang datang ke Kota al-Haram ini.

Namun sayangnya, ada juga di kalangan jemaah yang kurang memahami adab-adab berada di dalam masjid, khususnya Masjid yang kedua mulia selepas Masjidil Haram ini. Masjid yang terdapat jasad Rasulullah S.A.W di dalamnya. Mereka sesuka hati berlari-lari 'berebut' untuk ke Raudhah. Mereka sesuka hati bercakap-cakap sesama sendiri bahkan ada yang hampir 'terlena' kerana menunggu. Pada hal, sewajarnya mereka perbanyakkan berSELAWAT kepada Rasulullah S.A.W apatah lagi mereka berada di bumi yang terdapat jasad Rasulullah S.A.W....apatah lagi di hadapan mereka ada Makam Rasulullah S.A.W. Hatiku cukup hiba menyaksikan saudara seagamaku bersikap demikian 'di hadapan Rasulullah S.A.W'. Betapa malunya aku.....padamu ya Rasulullah S.A.W. Maafkan saudara-saudaraku ya Rasulullah...mungkin mereka bersikap demikian kerana mereka 'tidak tahu' atau 'jahil'...Ya Allah, berilah aku dan kaum muslimin serta muslimat hidayah....bimbinglah kami ke jalan yang Engkau redhai.....

Penantian untuk Raudhah...menghibakan perasaanku, menggamit rinduku kepada Rasulullah S.AW. Hatiku tersentuh di saatku terpandang sebuah KUBAH HIJAU, yang di bawahnyalah jasad Rasulullah S.A.W bersemadi. Hatiku terbayangkan Rasulullah S.A.W sedang tersenyum tenang menyambut umatnya datang mengunjunginya.....sambil mengucapkan agar umatnya sentiasa bertaqwa kepada Allah. Pesannya lagi ' jadilah umat yang beriman...kelak kita akan berjumpa di syurga'...Sebak hatiku mengenagkan semua itu...mulutku tak henti-henti berselawat kepada Rasulullah S.A.W. sambil rasa kecintaan memenuhi seluruh jiwa ini...Ya Rasulullah, sesungguhnya aku amat menyintaimu...akan kuturuti segala pesananmu...akan kuusahakan menjadi insan yang boleh mengembirakanmu...akan kucuba sempurnakan impianmu...Ya Tuhan, berilah aku restu dan redhaMu, agar bisa kujalani hidupku di dunia ini dengan penuh pengabdian terhadapMu dan rasulMu.....Muhammad S.A.W.

Akhirnya, penantian ku berakhir...aku dijemput untuk bersujud di Raudhah...begitu mulia polis wanita Arab menarik lembut tanganku menunjukkan tempat yang terluang untukku bersolat dan berdoa...Syukurku pada Ilahi....dan terima kasih ya ukhti...Sementara itu ada juga beberapa jemaah lain yang meminta izinku untuk bersolat bersama-sama ku di situ...tanpa berlengah, aku terus memimpin tangan mereka dan mengajak mereka bersamaku....

Selain dari pengalaman di Raudhah, satu lagi peluang dan pengalaman yang tidak dapat kulupakan dapat kukutip di Kota ini. Pengalaman melawat tempat-tempat bersejarah sudah pasti tidak dapat kulupakan seperti Masjid Ijabah (tempat Rasulullah S.A.W. berdoa 3 perkara iaitu supa tidak mati kerana penyakit Kolera, supaya tiada perselisihan antara umat manusia (doa ini tidak dimakbulkan oleh Allah) dan yang ketiga...maaflah, aku terlupa pula..Selain itu kami juga diberi kesempatan menziarahi Masjid Bilal bin Rabah, Masjid Quba' (Hadis Rasulullah S.A.W bermaksud: sesiapa yang bersuci dan pergi ke Quba' dan bersolat sunat maka seperti mengerjakansatu ibadat umrah), Bukit Jil (bukit yang menjadi sempadan antara Madinah dan tanah halal), Bukit Uhud (diriwayatkan Bukit Uhud adalah salah satu daripada bukit Syurga),Masjid Qiblatain (yang ada dua menara dan dua kubah yang melambangkan dua kiblat, dan menurut riwayat : para auliya',ulamak telah bersolat dan beriktikaf di masjid Qiblatain ini.), Masjid Tujuh (iaitu masjid Salman al-Farisi yang asalnya ialah khemah para syuhada' dalam peperangan Khandak. Khandak ialah sebuah parit yang digali mengelilingi Kota Madinah iaitu sedalam 3 meter, panjangnya 12kilometer dan lebarnya kuda tidak boleh melompat melepasinya. Dalam peperangan ini tentera Muslimin hanya seramai 3000 orang, manakala tentera kuffar 10,000 orang. Berkat kebijaksanaan Rasulullah S.A.W dan para Sahabat, tentera Islam telah memperoleh kemenangan.)

Selain daripada mengunjungi tempat-tempat tersebut, satu lagi tempat yang cukup menakjubkan telah kami kunjungi iaitu Bukit Magnet. Keajaiban yang terdapat di sini ialah kuasa tarikan magnet sekitar jarak 200 meter di atas bukit tersebut mampu menggerakkan kenderaan naik ke atas bukit tanpa bantuan injin. MasyaAllah...Subhanallah...Maha Suci Engkau Ya Allah, Maha Kuasa dan Maha Perkasa...tak terjangkau oleh fikiran logikku, van atau bas yang sarat dengan penumpang mampu bergerak naik ke atas bukit tanpa bantuan injin sedikit pun...
Demikianlah sedikit pengalaman yang paling manis yang tidak mungin dapat kulupakan...bahkan sentiasa menggamit kerinduan lebih-lebih lagi di bulan Haji ini...Antara perkara yang paling mengembirakan ku ialah mendengar khabar rakan-rakan atau saudara mara yang akan ke sana untuk mengerjakan Umrah atau Haji...ucapan tahniah dan doaku sentiasa mengiringi mereka. Dan jauh di sudut hatiku, doaku agar Tuhan memberi peluangku untuk ke Kota al-Haramain (dua kota Haram : Mekah dan Madinah) di lain masa.....Moga-moga Allah mendengar dan memakbulkan doaku.....


No comments:

Post a Comment