Salah satu cabaran paling getir yang dihadapi manusia masa kini ialah menguruskan alam sekitar secara bijak. Natijah daripada pengurusan yang tidak bijak akan mencetuskan krisis alam sekitar yang mengancam kehidupan manusia itu sendiri. Sejarah telah merakamkan pelbagai episod malapetaka alam sekitar diserata dunia. Hari ini, perkara yang paling asas yang mewujudkan ancaman kepada manusia ialah krisis kemerosotan alam sekitar. Ia adalah permasalahan global yang dihadapi oleh seluruh masyarakat dunia Pelbagai fenomena mengakibatkan pemanasan global disebabkan oleh peningkatan GHGs (Green House Gases); pencemaran udara, air dan tanah yang serius; sisa buangan di bandar-bandar; pelupusan bahan beracun berbahaya dan sebagainya. Ia juga telah menjadi ketara yang mengakibatkan penurunan kualiti alam sekitar hasil daripada perlakuan manusia sendiri. (Aoki Takenobu,1:2010) Malaysia juga tidak terlepas daripada berkongsi pengalaman mengalami kemerosotan kualiti alam sekitar. Sebagai contohnya, Laporan Kualiti alam sekitar 2003 melaporkan kualiti udara di bandar-bandar besar dan beberapa lokasi di Malaysia telah dicemari oleh pelepasan dari kenderaan dan juga perindustrian.
Dalam kemelut alam sekitar yang dihadapi dunia sekarang, ramai sarjana barat dan timur menganjurkan manusia kembali kepada agama untuk mendapat petunjuk bagi mengatasi kemelut ini. Kinsley (1995) misalnya, mengatakan bahawa kerosakan sumber-sumber alam sekitar adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi sama sekali. Baginya manusia yang terlahir dengan agama yang diyakini sendiri, dan agama-agama ini telah mengajar manusia menjaga alam semester beserta isinya untuk menjaga keseimbangan. Seyyed Hossein Nasr (1968), mengaitkan falsafah saintifik moden barat yang mengenepikan unsur-unsur ketuhanan dan kerohanian menjadi penyebab kepada keberanian manusia moden menodai alam sekitar tanpa rasa bersalah. Hal ini turut disokong oleh Zaini (1993) menyalahkan fahaman rasionalisme dan materialisme yang berteraskan sekularisme sebagai punca utama berlakunya krisis alam sekitar dunia.
Agama mempunyai potensi besar yang boleh mempengaruhi tindak tanduk dan sikap manusia berhubung dengan alam sekitar. Semua agama melalui ajarannya banyak memberi panduan kepada manusia bagaimana mereka harus berhadapan dengan alam sekitar. Pandangan etika agama bersama budaya setempat banyak mempengaruhi tindak tanduk manusia. Bagi ahli falsafah Islam kelahiran Iran; Sayyed Hossein Nasr, "Krisis persekitaran pada dasarnya adalah manefestasi daripada krisis nilai, sehubungan dengan itu agama yang menjadi sumber nilai utama dalam setiap kebudayaan manusia perlu dilibatkan bersama dalam membuat keputusan menghadapi alam sekitar”.( Seyyed Hossein Nasr, 1997 [1967].)
Gerakan institusi keagamanaan:
Di negara-negara tertentu seperti Thailand, gerakan aktivisme keagamaan yang terlibat dengan gerakan penjagaan alam sekitar cukup memberi pengaruh. Golongan sami buddha turut memperjuangkan isu-isu alam sekitar meliputi kesan pembangunan dan pemodenan Thailand terhadap alam sekitar seperti sungai, empangan, hidupan liar dan sebagainya. Mereka paling lantang memperjuangkan isu pemeliharaan hutan yang merupakan isu yang paling kritikal dihadapi oleh Thailand pada masa ini. Pada tahun 1938, tiga-perempat dari negara Thailad dilitupi oleh hutan, sebaliknya pada hari ini jumlah keluasan hutan di Thailand hanya tinggal 15% sahaja, kesan daripada strategi pembangunan nasional dan pengeksportan produk primer. Golongan sami ini telah terbukti berkesan di peringkat tempatan dalam memperjuangkan pemeliharaan hutan dan sumber alam lain, walaupun jumlah mereka hanya terdiri daripada 2% jumlah keseluruhan sami di Thailand.
Dalam konteks masyarakat pluralistik di Malaysia, tanggungjawab pelestarian alam sekitar bukan menjadi isu kelompok atau bangsa tertentu, bahkan ia adalah isu nasional yang menjadi tanggung jawab semua warganegara tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Sungguhpun kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi mengatasi kemelut alam sekitar negara, tetapi krisis ini terus berlanjutan, bahkan semakin membimbangkan. Pendekatan perundangan dan penguatkuasaan bukanlah langkah terakhir dalam menangani hal ini. Sebaliknya semua masyarakat perlu kembali kepada sesuatu yang boleh mendorong mereka secara sukarela dan penghayatan tinggi untuk melakukan sesuatu perkara, iaitu agama. Dalam hal ini, nilai-nilai positif dalam setiap agama, khususnya nilai etika alam sekitar kepercayaan masing-masing perlu dianalisis dan dikemukakan sebagai suatu pendekatan alternatif ke arah mewujudkan alam sekitar yang lestari dalam masyarakat pluralistik negara, setelah segala falsafah dan teori-teori ethik dan sains barat menemui jalan buntu.
No comments:
Post a Comment