Tuesday, January 18, 2011

Sabarlah Rafiqku....

Sememangnya bagi setiap yang bernama insan, pasti akan melalui saat-saat yang sukar untuk ditempuhi. Yang memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi. Yang membutuhkan kekentalan jiwa untuk menghadapi. Yang memerlukan semangat yang positif dan bujukan di dalam hati dan nurani. Dan di sinilah kekuatan iman dan pemikiran yang positif sangat-sangat diperlukan.

Seawal menyambut kedatangan tahun 2011, kami sekali lagi terpaksa akur pada sebuah perpisahan... berpisah agak jauh sedikit lantaran butuhan masa yang menginginkan sedemikian. Bagi seorang ibu seperti ku, perpisahan ini membuatkan jiwa sedikit tersentuh dan amat terasa 'kesunyian' meskipun hanya salah seorang daripada anak-anak terpaksa meninggalkan rumah untuk tinggal di asrama demi menyambung pengajiannya. Sunyi itu datang bukan kerana anak-anak itu seringkali mengundang keriuhan, tetapi entahlah...tiada kata-kata rasanya untuk menggambarkan kesunyian ini....

Rupa-rupanya, perasaan yang sama turut dirasai oleh Rafiq... meskipun telah berusia 13 tahun kini, namun bagi Ummi Rafiq tetap seorang anak yang manja dan 'masih kecil'.... Namun telah terpaksa 'berpisah' dengan ibunya dan keluarganya... Sejak Rafiq ke asrama 2 Januari yang lalu...setiap hari Rafiq menelefonku dalam keadaan sebak dan tangis melafazkan kata rindunya pada Ummi... Hati ibu mana yang tidak hiba...namun, ku gagahi airmata ini agar tidak mengalah pada rasa rindu yang sama.... Cuba memberikan kata-kata perangsang, penuh semangat mengungkapkan ungkapan yang sama sebagai tanda Ummi juga amat menyayangi dan merinduinya....dan berjanji akan sering menjenguknya selalu.... Jauh di sudut hati, Ummi sentiasa mendoakan agar Allah memberikan Rafiq hati yang kuat untuk melalui saat-saat seperti ini...

Sememangnya Ummi sangat-sangat mengerti, bahawa semua perasaan ini mungkin akan berlalu ditelan masa...bak kata pepatah "alah bisa tegal biasa'. Mudah-mudahan keadaan ini dapat memberi sedikit latihan dan pendidikan buat dirinya untuk belajar cara hidup berdikari dan menjadikannya lebih berdisiplin lagi...Itulah doa Ummi yang terbaik buat Rafiq.

Hampir 3 minggu masa berlalu.... agaknya Rafiq sudah dapat menerima keadaan ini dan tidak lagi terlalu mengikut perasaan...Buat Rafiq, sabarlah sayang.... semuanya demi kebaikan masa depan.... rajin solat, rajin ngaji Quran dan rajin-rajinlah belajar.... Kami semua sayang padamu...

No comments:

Post a Comment