Friday, December 10, 2010

Perpisahan Abadi...

Masih segar dalam ingatan ini, pada 4 November 2010, kami telah bersama-sama memasak nasi beriyani di Bilik MPV sekolah kami...saja seronok-seronok mengisi masa lapang di hujung tahun. Sebanyak RM5 setiap orang kami berkongsi untuk membeli barang-barang keperluan.

Malangnya pada pagi ini kami dikejutkan dengan berita tentang salah seorang rakan kami iaitu Cikgu Rokiah Ismail yang kami panggil Su Yah dikatakan telah dimasukkan ke hospital kerana mengidap penyakit Leukimia. Kami semua amat terkejut menerima berita tersebut. Namun rancangan kami terpaksa juga diteruskan tanpa kehadiran beliau.

Pada 7 hb November 2010, barulah aku berkesempatan menjenguknnya di hospital. Ya, Su Yah kelihatan agak lemah, namun 'masih' mampu ketawa sebagaimana selalunya...aku sangat-sangat memahami perangai dia walaupun kami baru kenal (3 tahun yang lalu sejak aku mula bertugas di sekolah yang sama). Su Yah seorang yang sentiasa ketawa dan tersenyum, dia juga seorang yang sangat suka bekerja.

Masih ku ingat, dia rajin menggubah bunga semata-mata untuk menghias ruang bilik air guru di sekolah kami, walaupun itu bukan sebahagian tugasnya. Kerajinannya juga menyebabkan sekolah kami menerima anugerah pengurusan makmal komputer pada tahun 2010 peringkat daerah Bachok. Beliau juga cukup berjasa untuk menghidupkan aktiviti amalan penggunaan bahasa inggeris di sekolah kami iaitu yang dinamakan Program SEED.

Su Yah juga seorang yang pemurah....amat pemurah. Acapkali dalam pemerhatianku, beliau seringkali berbelanja untuk pelajar-pelajarnya...makanan dan minuman. Dan aku sendiri juga pernah menerima hadiah daripadanya, lantaran sesekali menumpangkannya balik dari sekolah... Demikianlah Su Yah yang aku kenal....

Ketika Su Yah di hospital, hanya beberapa kali sempat kuluangkan masa menjenguknya...bukan kerana apa, Su Yah telah ditempatkan di wad khas pesakit Leukimia...yang menerima rawatan kimoterapi. Oleh yang demikian, ia agak membataskan diriku yang sedang hamil dari mengunjunginya kerana bimbangkan kesihatan kandunganku...maafkan aku....

Namun Su Yah tetap sentiasa kuhubungi...untuk bertanyakan khabarnya. Dan begitulah, sesekali Su Yah menghubungiku untuk bertanyakan tentang cara solat, cara bersuci dan sebagainya....Dan masih ku simpan SMS yang dikirimkannya pada 29 November 2010, Su Yah menceritakan keadaannya yang semakin lemah : katanya " Alhamdulillah, ok. Kimo tk tahu berapa puluh kali lg. ni br pusingan pertama.rambut luruh sikit2. nampak di sisir. kadang2 jln guna tongkat. tapi semangat kena kuat. doakan sayan yea." Inilah SMS terakhir yang kuterima daripada Su Yah. Aku cuba memahami luahan hatinya. Tampak jelas daripada baris-baris kata-katanya Su Yah cuba memujuk perasaannya agar terus bersemangat dan pasrah kepada Ilahi. Dari jauh...aku hanya mampu berdoa agar Allah memberikan yang terbaik buatnya... dan cuba membalas SMSnya dengan menyuruhnya bersabar dan berdoa kepada Allah.

5 hb November 2010, aku mendapat berita Su Yah dimasukkan ke wad ICU 1 Mutiara. Oleh kerana petang itu, ada urusan lain yang perlu dilakukan...aku tidakberkesempatan mengunjunginya. Namun, jauh di sudut hatiku...menduga-duga kemungkinan yang akan berlaku kepada Su Yah...Dengan hati yang berdebar-debar, petang 6 November 2010, aku dan suami mengunjunginya di wad ICU. Dan seperti yang aku jangka, Su Yah terbujur kaku tidak sedarkan diri dan pernafasannya dibantu oleh mesin pernafasan dan diseluruh badannya dibaluti wayar-wayar untuk ubat dan sebagainya. Luluh hatiku melihat keadaan Su Yah...

Menurut suaminya yang sentiasa menemaninya, Su Yah sudah tidak mempunyai harapan untuk hidup lagi. Seluruh badannya telah dijangkiti kuman, dan badannya sudah tidak mampu menerima darah baru bahkan darah yang dimasukkan ke badannya gagal berfungsi sebagaimana manusia normal. Ini kerana virus dalam darah putihnya yang terlalu aktif 'memakan' darah merahnya. Inilah bahaya penyakit 'maut' ini.

Namun siapalah kita untuk menghalang penyakit ini. Mungkin Tuhan telah menentukan qadak dan qadarnya serta sebab dan musababnya seseorang itu menemui ajalnya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui, hanya Allah yang Maha Kuasa. Penyakit Leukimia adalah penyakit yang tiada simptomnya...kebanyakannya hanya diketahui ketika sudah pada tahap kritikal....Astagfirullah...

Dan pada 3 Muharam 1432H bersamaan 9 Disember 2010...adalah satu tarikh bersejarah untuk sebuah perpisahan abadi. Su Yah telah pergi buat selama-lamanya...setelah hampir 40 hari menjadi penghuni Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Sekalung Al-Fatihah buatnya.

No comments:

Post a Comment