Saturday, August 21, 2010

Usia yang wajib disyukuri...

Kembara zaman bakal membawa sesiapa saja untuk sampai ke destinasinya. Ada yang terlalu cepat sampai, ada juga yang terlalu lewat tiba. Semuanya bergantung kepadaNya. Dalam kembara itu, masing-masing mungkin diuji dengan pelbagai dugaan dan cubaan. Ada yang berjaya dan mungkin juga ada yang tewas agaknya.

Begitulah pelajaran yang boleh kita kutip, jika kita membuat pemerhatian dalam perjalanan sesebuah kembara itu. Mengapa topik 'kembara' yang cuba dilontarkan kali ini? Adakah kerana nama blog ini juga kembara?

Kembara bermaksud perjalanan seseorang dari satu tempat ke satu tempat. Ya, hidup inilah yang sebenarnya sebuah kembara. Dan kita ini adalah pengembaranya, pengembara menuju ke taman Ilahi. Memang tidak dapat dinafikan, bahawa bukan semua insan dapat melalui kembaranya dengan mudah atau senang, malah adat sebuah pengembaraan pastinya tidak terlepas daripada yang bernama kepayahan.

Asal saja, tiada rasa putus asa untuk menghadapinya, maka berjayalah pengembara tersebut. Namun, berapa ramaikah yang berjaya dan berapa ramai pula yang gagal dan dipenuhi dengan rasa kecewa?

Sejauh merenung sebuah pengalaman pengembaraan seorang insan yang telah tiba ke destinasinya awal pagi semalam, hati siappaun akan meruntun dan merasa sedih. Seorang remaja lelaki yang baru berusia 18 tahun (Kg Chicha : penuntut Maahad Muhammadi Lilbanin), telah melewati pelbagai kepayahan dalam kembara usianya yang masih muda. Hampir setahun yang lalu, remaja ini diuji dengan ujian kanser tulang, yang bukan calang-calang manusia yang boleh menempuhnya dengan hati yang kental dan'redha'. Hampir setahun yang lalu juga, beliau terpaksa melupakan kemanisan zaman remajanya, zaman persekolahannya dengan teman-teman seusianya. Mungkin berkat titik keimanan yang ada dalam dirinya, remaja 'bertuah' ini masih berjaya mengecapi kejayaan dalam peperiksaan SPMnya yang baru lalu. Walaupun keperitan memerangi penyakit kansernya, beliau masih mampu belajar sendiri untuk meraih sebuah kejayaan seperti teman-teman yang lain.

Tidak banyak yang dapat diceritakan tentang remaja ini, tetapi dapatlah dibayangkan betapa peritnya pengalaman dalam kembaranya. Sesekali, cukup terasa keperitan yang dilalui dalam kembaranya sebenarnya 'lebih baik' kerana pastinya dia sudah 'bersedia' untuk tiba ke destinasinya pada bila-nila masa sahaja. Pastinya Tuhan sentiasa dekat dihatinya. Pastinya maghfirah daripada Allah sentiasa membasahi bibir dan kalbunya. Pastinya, selain berusaha mengembalikan sisa-sisa kesihatan yang ada, redha dan menyerah diri kepada Allah sentiasa memenuhi jiwa. Akhirnya pada hari dan bulan yang mulia, tepat 10 Ramadhan 1431H / 20 Ogos 2010M, adalah saat yang tepat untuk tiba di taman syurga. Maka berakhirlah sebuah keperitan, berakhirlah sebuah pengembaraan.....Dengan seraut wajah yang cukup tenang...remaja 'bertuah' mengucapkan 'selamat tinggal' buat semua yang menyayanginya dan yang disayanginya...dengan meninggalkan sebuah 'janji' untuk 'ketemu di sana'....Al-Fatihah.


Itu adalah kisah remaja 'bertuah'. Benarkah semua orang mengalami pengalaman sepertinya semuanya bertuah?...semuanya makin dekat dengan Allah? Semuanya tetap mengingati Allah dan bersolat? Semuanya pasrah dan redha....? Alangkah malangnya pengembara yang sebaliknya . Bagaimana dengan pesakit yang meninggalkan solat saat ditimpa penyakit yang masih 'mewajibkan'nya solat? Adakah cukup dengan hanya berdoa agar dipercepatkan sembuh? Adakah cukup dengan memohon ampun kepada Allah?

Banyak juga kisah 'pengembaraan' sedemikian yang ditemui. Apakah Allah boleh menerima hambanya yang diuji kesakitan, tetapi meninggalkan solat dengan alasan akan menggantikannya bila 'sihat' nanti. Sedangkan kita tahu, solat itu wajib walau dalam apa keadaan sekalipun, asal saja syarat kewajipannya masih terpenuhi. Apakah pesakit tahu dan yakin, penyakitnya akan sembuh? Bagaimana jika ia berlaku sebaliknya? Bagaimana jika penyakitnya itu bakal 'menjemputnya' menemui Ilahi? Apakah ia diterima oleh Allah?

Justeru, berwaspadalah selalu. Waspadalah setiap saat dalam kembara ini. Namun, usahlah menanti saat diuji baru untuk mendekati Ilahi. Hargailah setiap saat yang dilalui dengan sentiasa berusaha mendekati Rabbi sedaya nafsi. Usia yang dilalui dengan kelapangan dan kesihatan yang baik ini wajib disyukuri. Jangan biarkan ia berlalu dengan sia-sia.

Allah Maha Kaya, Maha Adil. Bukan namanya ujian itu hanya dalam bentuk kesakitan dan keperitan hidup cuma, tetapi kesihatan dan kelapangan juga adalah dugaan Allah. Bila seseorang diuji dengan kesakitan dan keperitan, sebenarnya Allah ingin melihat sejauhmana ketabahan, kesabaran dan keredhaan yang lahir dari hatinya. Dan bila seseorang diduga dengan kelapangan dan kesihatan, sebenarnya Allah ingin melihat sejauhmana kesyukuran dan keabdian yang terpancar dari jiwanya.

Sejauhmana sekalipun kembara usia seseorang itu, maka ia wajib dusyukuri dengan melakukan ketaatan dan keabdian yang setulus hati kepada al-Khaliq. Inilah kejayaan sebuah kembara....


Sesungguh dari Allah kita datang dan kepadaNya lah kita kembali...'

No comments:

Post a Comment