Sunday, August 1, 2010

Santai : Soalan yang bermanfaat....

Ramai orang suka bertanya. Pelbagai soalan yang mereka kemukakan.Memang bagus pun tabiat suka bertanya ni. Malah ramai juga orang yang suka bertegur sapa. Ini pun memang baik untuk menjalinkan hubungan silaturrahim.

Tetapi bukan semua soalan itu baik untuk diajukan. Dan bukan semua sapaan itu enak didengar di corong telinga. Jadi berhati-hatilah jika ingin bertanya dan bertegur sapa. Bertanya atau bertegur sapa juga perlu kepada seni.

Contohnya, ramai orang tidak suka disapa dengan pertanyaan sebegini : " Apasal nampak 'sihat' je sekarang? " Soalan begini, memang nampak baik, tetapi secara tidak disedari boleh mengguris perasaan orang yang ditanya. Adalah lebih baik, jika bertemu seseorang, soalan-soalan berunsur peribadi tidak dikemukakan. Lebih baik, soalan-soalan yang hendak ditanya itu diselidiki ada atau tidak manfaatnya untuk kedua-dua belah pihak?

Adalah lebih baik, soalan mengenai 'sihat' itu ditukar kepada bentuk harapan seperti: "Saya harap awak sihat sejahtera hendaknya". Ia lebih nampak ikhlas jika disertai dengan sikap dan reaksi wajah yang tampak tulus.

Soalan yang berunsur manfaat untuk pengetahuan umum sahaja, tidaklah begitu sensitif dan tiada salahnya, tetapi soalan yang berunsur 'sinis' yang tiada manfaat untuk kedua-dua belah pihak sepatutnya dielakkan.

Demikian juga, jika seseorang itu bertemu seseorang yang sedang membeli belah di pasaraya, maka situasi begini juga akan muncul soalan yang tidak bermanfaat, seperti: " Sedang membeli ke?," sedangkan dia sudah sedia maklum, bahawa sudah pasti 'membeli-belah' adalah aktiviti di pasaraya. Alangkah baiknya jika pertanyaan itu, digantikan dengan soalan yang lebih bermanfaat, seperti: "Selalukah datang membeli-belah di sini?" mungkin soalan ini lebih bermanfaat dari soalan tadi, kerana ada maklumat yang akan diperolehi daripada jawapannya. Mungkin jawapannya : "Selalu juga kerana agak murah berbanding dengan tempat yang lain" atau " Jarang, inipun sambil singgah saja" Secara tidak langsung, daripada jawapan yang diberikan kita dapat membuat satu rumusan mengenai pasaraya tersebut.

Berhati-hatilah bila bertanya atau bertegur sapa...



Santai...tapi penuh pengertian.


No comments:

Post a Comment