Friday, August 27, 2010

Rahsia penjagaan diri...

Menjaga diri agar sentiasa sihat dan bertenaga adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah. Oleh kerana ia adalah perintah Allah, maka ini bermakna ia adalah satu kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam.

Justeru, sebenarnya selaras dengan perintahNya yang sedemikian, Islam telah menyediakan resepi penjagaan diri tersebut. Tanpa memerlukan belanja yang besar...ia boleh diamalkan dengan mudahnya. Ikutilah rahsia penjagaan diri resepi dari Ilahi...

1. Agar wajah selalu segar, berseri-seri dan cantik, cucilah paling minima 5 kali sehari dengan air wudhu'. Jangan terus dilapkan atau dikeringkan, biarkan menitis dan kering sendiri. Lalu ambillah sejadah, solat, berzikir, dan berdoa.

2. Untuk menghilangkan stress, perbanyaklah ‘aktiviti bersenam’. Solat adalah senaman diri yang cukup baik. Ketika solat, kita mengerakkan seluruh tubuh. Lalu berkonsultasilah pada Allah SWT dengan zikir dan doa. Dengan bersolat, manfaat fizikal dan mental akan dapat diperolehi secara langsung. Manfaat fizikalnya adalah dari rukun fi'li yang dilakukan, manakala manfaat mental adalah dari rukun qalbi dan qauli yang dilaksanakan dengan sempurna.

3. Untuk pelembab agar awet muda, gunakanlah senyuman. Tidak hanya di bibir tapi juga di hati. Jangan lupa bisikkan ‘kata kunci’, “Allahuma Kamma Hassanta Khalqii Fahassin Khuluqii” (Ya Allah sebagaimana engkau telah memperindah kejadianku, maka perindah pula akhlaqku).
(Hadis Riwayat Ahmad)

4. Untuk memiliki bibir yang cantik, sentiasalah berzikir dengan membisikkan kalimat-kalimat Allah padanya, elakkan berbohong atau menyakiti hati orang lain, tidak menyombongkan diri atau takbur.

5. Agar tubuh langsing dan mulus, diet yang teratur telah dinyatakan iaitu dengan berpuasa seminggu 2 kali, Isnin dan Khamis. Jika kuat, lebih bagus lagi puasa Nabi Daud AS secara berselang satu hari. Makanlah makanan halal, perbanyak sayuran, buah-buahan, dan air putih.

6. Untuk mengembangkan diri, sebarkan salam dan sapaan. Dengan demikian kita akan banyak dikenali dan disayangi. Hidup yang sentiasa disayangi akan lebih bermakna...akan lebih ceria. Dan keceriaan itu biarlah lahir terus dari hati yang ikhlas...pasti membahagiakan.


No comments:

Post a Comment