Thursday, June 17, 2010

Kenduri Arwah...?

Apakah kenduri arwah atau dipanggil juga kenduri tahlil satu perkara yang dianggap ibadat atau adat? Sebagai seorang Islam, kita disuruh dan digalakkan melakukan sesuatu perkara yang memperolehi ganjaran pahala kebajikan dan mengelakkan daripada melakukan sesuatu perkara yang hanya menjadi kebiasaan atau adat saja...kerana dikhuatiri ia akan menjadi sia-sia di sisi Allah.

Persoalan tentang kenduri arwah atau tahlil ini sama ada sebagai ibadat atau adat, bagi pendapatku, ia bergantung pada niat pelaksananya. Kenduri sempena kematian seseorang sebenarnya bukanlah sesuatu yang wajib. Tetapi jika ia ingin dilakukan maka ia bukanlah pula satu larangan.

Biasanya, kenduri arwah atau kenduri tahlil ini dilakukan sebagai tanda mengingati dan tanda kasih sayang si anak atau si isteri atau suami terhadap ibubapa atau terhadap suami atau isteri yang telah meninggal dunia. Selain daripada tanda ingatan ia juga bertujuan untuk memohon doa agar dilimpahkan kesejahteraan terhadap arwah kepada Allah swt.

Kenduri arwah atau kenduri tahlil ini biasanya dimulakan dengan sedikit bacaan tahlil secara beramai-ramai, diikuti dengan bacaan doa dan kemudiannya para hadirin dihidangkan dengan sedikit juadah.Oleh yang demikian,jika ia mampu dilakukan, biarlah ia dilakukan dengan ikhlas hati sama ada bagi pihak penganjur mahupun para hadirin. Keikhlasan menyediakan juadah kepada hadirin sebenarnya memberikan ganjaran kebajikan kepada pelaksananya, manakala doa yang dipanjatkan, mudah-mudahan dapat membantu roh si mati.

Apapun, terdapat beberapa senario yang positifnya boleh didapati daripada majlis seperti ini antaranya;

1. 'ajakan yang makruf' atau amar makruf untuk sama-sama berzikir dan berdoa dalam majlis tersebut.

Namun, apa yang positif ini biarlah bukan hanya seketika itu cuma, tetapi hendaknya biarlah ia memberi suntikan keinsafan dalam setiap sanubari bahawa siapapun kita di dunia ini, pasti akan mati....dan sebaik-baik manusia ialah yang banyak amalan kebaikannya semasa di dunia...bukannya mengharapkan doa dan 'tahlil' daripada orang lain selepas matinya, kerana semua itu belum tentu dapat membantu kita sebagaimana hadis nabi yang menyatakan bahawa; sebaik sahaja mati seseorang anak adam itu, maka terputuslah segalanya kecuali tiga perkara iaitu amalannya, sedekah jariahnya dan doa daripada anaknya yang soleh....

2. memberi makan kepada orang lain juga merupakan sesuatu yang sangat mulia.

Apapun, amalan ini janganlah pula hanya dilakukan sempena kenduri arwah sahaja, bahkan biarlah ia menjadi kelaziman dalam kehidupan bermasyarakat.

Walau apapun, setiap yang baik itu, jika tidak dilakukan tepat dengan caranya,bimbang pula seandainya berlaku perkara yang mungkin tidak sepatutnya berlaku tentang keputusan mengadakan kenduri tahlil ini, iaitu 1. kemungkinan timbul'rasa terbeban' dengan kepenatan menguruskan kenduri yang telah menjadi 'adat' ini lalu telah menimbulkan pelbagai rungutan demi rungutan...Dan mungkin juga membawa kepada ketidaksefahaman berlaku antara anak-anak si mati...Siapa tahu pergaduhan juga boleh tercetus....Jika ini berlaku, ia adalah suatu perkara yang amat dikesali...kerana niat yang baik tadi (ibadat) telah bertukar menjadi hanya suatu adat sahaja.

Hal ini adalah perkara yang paling menyedihkan, lalu jadilah majlis tersebut tidak ubah seperti satu upacara ritual atau adat sahaja, dan mungkin di sisi Allah ia cuma satu perkara yang sia-sia....Alangkah ruginya jika ia berlaku....dan adalah lebih baik tidak perlu diadakan kenduri tersebut, tetapi digantikan dengan amalan berdoa oleh anak-anak secara tertutup atau 'sendiri-sendiri' untuk kesejahteraan ibubapa kita yang telah meninggal dunia. Itu adalah perkara yang lebih mulia lagi, kerana ia dapat memastikan bahawa keikhlasan yang sebenarnya terletak pada hati masing-masing, bukannya terletak pada pengurusan kenduri....

Renung-renungkanlah...renungkanlah dengan mata hati yang penuh keimanan....agar setiap apa yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah swt.

Buat kedua ayahbondaku yang telah pergi menemui Ilahi...sekalung Al-Fatihah kupersembahkan buatmu...moga-moga Allah menempatkan kalian ditempat orang-orang yang soleh...Amin.Ya Rabbal Alamin.

No comments:

Post a Comment