Saturday, May 22, 2010

Kesihatan yang Wajib disyukuri..


Salam mesra buat pembaca semua.

Tajuk 'Universiti' yang saya pilih ini adalah dari lontaran ilham yang dicetuskan dari Blog Ustaz Amin yang menjadi antara blog kegemaran saya. Lantaran daripada seringkali mengikuti blog beliau maka tercetuslah pula idea untuk 'meniru' teknik yang sama dalam penulisan blog ini. Apa yang menarik dalam Blog Ustaz Amin ialah tentang paparan tentang diari hariannya yang begitu mengkagumkan seorang insan naif seperti saya. Ustaz Amin yang selalu muncul di TV9, begitu saya kagumi lantaran 'amal jariah' yang dilakukan olehnya, iaitu menjadi Penaung rumah anak-anak yatim al-Ijabah. Sebagai orang yang bertanggungjawab terrhadap rumah anak-anak yatim, maka setiap peristiwa dan aktiviti al-Ijabah turut dirakamnya untuk tatapan umum. Ada yang tersirat disebalik 'diari hidup Ustaz Amin', itulah yang dapat saya kutip sebahagian daripada falsafah hidupnya.

Sebagai memulakan penulisan dan merakam peristiwa 'diari kehidupan' ini, saya ingin berkongsi cerita tentang perasaan saya pada hari ini. Lewat jam 5:30 petang tadi, saya dan keluarga meluangkan sedikit masa untuk melawat seorang saudara sepupu saya yang sedang sakit di hospital. Kami turut melawat abang ipar saya yang hampir sebulan terlantar di hospital akibat sakit mata. Sebenarnya kali ini bukanlah kali pertama kami menziarahinya di sana, tetapi sudah berulang-ulang kali sejak beliau dimasukkan ke hospital.

Sebagai pembuka cerita, biarlah saya ceritakan mengenai penyakit abang ipar saya terlebih dahulu. Lebih kurang sebulan yang lalu, abang ipar saya diserang penyakit mata. Pada awalnya, matanya merah-merah saja.Dia menyangkakan sakit mata biasa saja, lalu beliau pergi mendapatkan rawatan ke klinik biasa saja. Hampir dua minggu, sakit matanya tidak juga berkurang, lalu beliau mendapatkan rawatan di hospital. Pada waktu itu, menurut doktor, penyakit matanya pada tahap kritikal, iaitu terkena jangkitan kuman dan bernanah. Beberapa hari kemudian mata hitamnya telah tertutup oleh nanah yang memutih, dan penglihatannya sama sekali telah hilang.

MasyaAllah, Subhanallah...nikmat penglihatan yang begitu bermakna telah hilang secara tiba-tiba...saya tidak dapat membayangkan perasaannya ketika itu. Memang dia terlalu sedih dan seakan-akan putus asa, tetapi siapalah kita untuk semua itu. Saya mengingatkannya, bahawa mungkin ada hikmat disebalik setiap sesuatu perkara yang berlaku, saya menasihatinya agar jangan mudah berputus asa, sebaliknya banyakkan bersabar kerana Allah SWT lebih mengetahui segalanya. Janganlah sesekali kita bersangka buruk terhadapNya, kerana setiap ujian yang diberikan oleh Allah SWT adalah untuk mengetahui sejauhmana teguhnya keimanan seseorang itu. dan Allah SWT tidak akan memberikan ujian kepada hambaNya melainkan Dia tahu hambaNya mampu menerimanya..Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud; "Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa apa yang dikerjakannya."

Hari ini sudah hampir seminggu pembedahan pemindahan kornea ke atas matanya telah dilakukan dan Alhamdulillah, ada sedikit perkembangan yang baik telah berlaku. Sedikit demi sedikit matanya kembali dapat melihat walaupun agak samar-samar.

Itu bab abang ipar saya, yang lebih teruk ujiannya pun ada. Di dalam wad yang sama dengan abang ipar saya ada yang lebih teruk penyakitnya. Menurut pesakit tersebut, sebelum ini beliau dapat melihat semua warna-warna kehidupan yang indah di dunia ini, tetapi kini kedua-dua nikmat penglihatan yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepadanya telah minta dipulangkan semula. Sudah agak lama dia menerima nasibnya itu. Kini, katanya dia sudah 'tiada masa' untuk menonton telivisyen, tetapi dia 'lebih suka' mendengar kaset-kaset orang mengaji dan ceramah-ceramah agama. Hampir 600-700 keping kaset telah tersimpan dalam koleksinya. Saya amat terharu sekali mendengar luahan hatinya...apatah lagi melihat tangannya yang 'teraba-raba' mencari tisu atau gelas air, hati saya terasa luluh dan sayu....Ya Allah, Maha Suci Engkau Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...berikan kekuatan dan kesabaran kepada pesakit ini....Allah SWT berfirman ; "wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan bersabar dan (mengerjakan) solat. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar (QS al-Baqarah : 153)

Sejurus kemudian, saya melangkahkan kaki pula ke wad di tingkat 8 Selatan...tercari-cari katil milik orang yang dikenali beberapa minit, barulah berjumpa dengan kakak sepupu saya. Terbaring dikatil sambil tercungap-cungap menyedut bantuan pernafasan ialah suaminya yang tercinta. Hampir-hampir saya tidak mengenalinya. Badannya telah menjadi 'besar' (sembab) dan membengkak, wajahnya begitu jauh berubah...Dia mengidap penyakit paru-paru berair. Di kiri dan di kanan katilnya terdapat sederet lagi para pesakit yang kebanyakannya 'koma'....

MasyaAllah, Subhanallah....begitulah kekuasaanMu yang Allah. Sesungguhnya, kami tiada daya dan upaya melainkan segalanya dengan kekuatan yang Engkau kurniakan untuk kami semua...Setiap sesuatu yang berlaku di atas mukabumi ini, semuanya adalah di atas kehendakMu.

Saat itu, hanya doa dapat saya titipkan buat semua pesakit di wad tersebut, agar Allah mengasihani dan mengampuni segala dosa-dosa hambaNya, dan moga-moga dengan izinNya juga pesakit diberi kesembuhan. Amin ya rabbal Alamin.

Sesungguhnya, sesekali menjenguk ke hospital menziarahi orang sakit menimbulkan seribu keinsafan buat kita semua. Betapa sebenarnya diri kita ini tiada apa-apa, semuanya milik Allah yang harus kita syukuri dan kita jaga sejajar mentaati perintahNya. La haula wala quwwata illa billahil aliyyil azim......




'Universiti Kehidupan : Pendidikan Sepanjang Hayat...'

No comments:

Post a Comment