Monday, August 2, 2010

Andai benar kalian menyayangiku...

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” ( Hadis riwayat Bukhari )

Dan sabda baginda SAW lagi yang bermaksud :

“Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari”. ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )



Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa.” ( Surah al-Zukhruf ayat 67 )



Sahabat...
Andai benar kalian menyayangiku..
bicaralah denganku dengan ingatan berisi cinta padaNya..
tunjukilah daku arah meraih kasihNya..
bimbinglah daku agar mampu ku berpaut di dahanNya..

Sahabat...
Andai benar kalian menyayangiku..
ingatkanlah daku melagukan lagu kasih kalam Ilahi..
Kalam agung yang menjulang kehebatanNya..
ingatkanlah daku mendendangkan lagu cinta sabdanya Nabi..
Sabda yang lebih dulu menebarkan cinta buat ummatnya..

Sahabat…
Andai benar kalian menyayangiku…
usah biarkan diriku hanyut di lambung ombak kealpaan..
usah kau taburi pujian menggunung kepalsuan..
tapi,
hujanilah daku dengan nasihat membukit..
sinarilah daku dengan kasih kesedaran yang membangkit..
Agar lenyap segala impian palsu godaan syaitan..
Agar pudar angan-angan mainan nafsu yang merosakkan..

Sahabat...
Andai benar kalian menyayangiku..
Berilah peringatan dengan kasih yang menyedarkan..
Agar robek keasyikan mimpi palsu ciptaan nafsu..
Biar terkedu tangisku mengenang kekhilafan..
Biar tersendu ku merintih dalam keinsafan..
Dari aku tersenyum kosong pengertian..
Apatah lagi tertawa dalam kepalsuan yang membinasakan...

Sahabat...
Andai benar kalian menyayangiku..
Tebarkanlah wangian kasih..
lewat jalinan ukhuwah Islamiyah..
Agar ikatan persahabatan yang dibina sekian lama..
tetap mekar dan harum di laman cinta Ilahi..

Sahabat…
Sayangilah daku kerana-Nya..
Cintailah daku kerana-Nya..
Dan aku pasti menyayangimu jua kerana cinta-Nya..
Moga pertemuan dan perpisahan antara kita jua adalah kerana-Nya...

Sahabat...
Andai benar kalian menyayangiku..
Ingatlah daku dalam doamu..



Puisi cinta...adalah lagu kasih luahan jiwa..


No comments:

Post a Comment